

PETALING JAYA, 18 Mac:  Kira-kira 2,000 wanita berpakaian ungu berhimpun di Padang Astaka,  dekat sini petang tadi bagi menyuarakan enam tuntutan mereka ke arah  kerajaan yang bersih.
Menggelarkan diri mereka Wanita Suara  Perubahan, himpunan siang tadi menghimpunkan wanita daripada pelbagai  badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik.
Mereka yang  dibahagikan kepada dua kumpulan mula berarak jam 2.30 petang iaitu dari  Masjid Tun Abdul Aziz, Seksyen 14 dan Tasik Taman Jaya, Seksyen 10  sebelum berkumpul di Padang Astaka.
Perhimpunan yang mendapat  kerjasama pihak polis itu turut disokong Ahli Parlimen dan Ahli Dewan  Undangan Negeri (Adun) Wanita Pakatan Rakyat.
Antara yang hadir  ialah Senator Mumtaz Md Nawi dari Kelantan, Ahli Parlimen Rantau  Panjang, Siti Zailah Mohd Yusuf, Ahli Parlimen Ampang, Zuraida  Kamarudin, Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh, Ahli Parlimen Bukit  Mertajam Chong Eng, Adun Taman Medan, Haniza Talha, dan beberapa  pimpinan wanita yang lain.
Tidak ketinggalan Ahli Parlimen  Pakatan Rakyat Lelaki iaitu Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, Ahli Parlimen  Subang, Sivarasa Rasiah dan beberapa orang lagi.
Perhimpunan  diisi dengan ucapan penuh semangat wakil-wakil NGO dan wakil Pakatan  Rakyat diselang seli dengan laungan Wanita "suara perubahan", "bangkit  wanita" dan laungan-laungan semangat yang lain.
Wakil Jaringan Orang Asli Semenanjung, Fatimah turut menyampaikan ucapan. Beliau meminta tanah adat dikekalkan dan orang asal diiktiraf di Malaysia dengan tidak meminggirkan mereka.
Perhimpunan tersebut berakhir kira-kira jam lima petang. Di akhir perhimpunan, mereka membacakan enam tuntutan tersebut iaitu..
- mansuhkan akta perhimpunan awam 2011,
- kerajaan yang bebas daripada  rasuah,
- gaji yang berpatutan,
- hentikan keganasan terhadap wanita,
- pilihan raya yang bersih dan adil
- dan kualiti hidup yang lebih baik.
60 peratus Muslimat PAS
Sementara  itu, Siti Zailah yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat mengucapkan  tahniah kepada muslimat yang sanggup hadir dari pelbagai negeri untuk  menyatakan solidariti terhadap perhimpunan tersebut.
Beliau berkata, kira-kira 60 peratus peserta Wanita Suara Perubahan terdiri daripada muslimat PAS. Selain dari Kuala Lumpur dan Selangor, ada yang datang dari Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang dan Johor dengan menyewa bas.
"Tahniah kerana muslimat berjaya mengumpulkan ahli dalam jumlah yang ramai, saya kira 60 peratus yang hadir ialah muslimat kita.
"Suara  wanita tidak boleh dipandang ringan oleh pihak kerajaan dan muslimat  PAS menyokong penuh enam tuntutan ini dan kita menyokong segala perkara  yang selaras dengan Islam," katanya. (Hrkh)
 
 

No comments:
Post a Comment