Tuesday, March 20, 2012

KDN Larang 3 Buku, Termasuk Buku Syiah

KDN haram tiga buku canggah Ahli Sunnah Wal Jamaah

KL, 20 Mac 12: Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengenakan perintah larangan terhadap tiga buah buku yang diterbitkan di Indonesia kerana memuatkan bahan-bahan bercanggah dengan ajaran dan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi amalan umat Islam di negara ini.

Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran Abdul Aziz Mohamed Nor berkata buku yang diharamkan ialah “Pengantar Ilmu-ilmu Islam”, “Dialog Sunnah Syi’ah” dan “Tafsir Sufi Al-Fatihah Mukadimah”, dipetik Bernama Online.

Buku “Pengantar Ilmu-ilmu Islam” ditulis oleh Murtadha Muthahhari dan diterbitkan Pustaka Zahra dari Jakarta manakala “Dialog Sunnah Syi’ah” ditulis oleh A.Syarafuddin Al-Musawi dan diterbitkan Penerbit Mizan PT Mizan Pustaka dari Bandung.

“Tafsir Sufi Al-Fatihah Mukadimah” pula ditulis oleh Jalaluddin Rakhmat dan diterbitkan PT Remaja Rosdakarya, juga dari Bandung.

“Sekiranya penerbitan ini dibiarkan, ia boleh memudaratkan ketenteraman awam,” kata Abdul Aziz dalam satu kenyataan di sini semalam.

Katanya pewartaan perintah larangan ini adalah menurut seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang menjadi satu kesalahan menurut subseksyen 2 Seksyen 8 akta berkenaan.

“Adalah menjadi satu kesalahan sekiranya mana-mana pihak mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar atau ada dalam miliknya, bahan yang dikenakan perintah larangan itu,” katanya.

Abdul Aziz berkata mereka yang sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya. (MI)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails