Thursday, March 22, 2012

Penduduk Marah Projek Dawei Di Myanmar


BEBERAPA orang bekerja di projek pelabuhan laut dalam Dawei di Myanmar pada 27 Januari lalu. - AFP

MAYINGYI - Kemarahan orang ramai meningkat di Myanmar ekoran rancangan untuk membina sebuah pelabuhan laut dalam yang bakal menyebabkan ribuan penduduk kampung terpaksa berpindah.

Projek pelabuhan Dawei itu merupakan kunci utama dalam rancangan negara miskin ini untuk membangunkan ekonominya dengan memberikan jirannya, Thailand laluan ke Lautan Hindi dan pasaran ke Barat.

Namun, ketika pentadbiran di negara yang pernah dikenali dengan nama Burma itu giat melakukan pembaharuan, penduduk kampung di selatan negara ini semakin lantang menyuarakan bantahan mereka terhadap rancangan berkenaan.

"Kami tidak mahu berpindah. Rantau kami memiliki kelapa, buah pinang, gajus dan asam jawa. Kami ada semua yang kami perlukan," kata seorang petani yang berusia 53 tahun, San Nyein.

Menurut anggaran rasmi, kira-kira 20,000 penduduk yang tinggal di penempatan sepanjang perairan Andaman dekat sempadan Thailand akan dipindahkan bagi membolehkan projek tersebut dilaksanakan.

Pihak berkuasa telah berjanji akan menempatkan penduduk kampung ke kawasan kediaman baharu yang dilengkapi kemudahan sekolah, hospital dan kedai selain kemudahan air paip dan bekalan elektrik.

Projek Dawei melibatkan pembinaan sebuah pelabuhan laut dalam dengan dilengkapi rangkaian jalan raya yang menghubungkan Myanmar dengan Thailand, Kemboja dan Vietnam. Ia juga melibatkan pembinaan sebuah zon industri mega, jalan kereta api, talian komunikasi dan saluran paip gas serta minyak.

Kos keseluruhan projek itu dianggarkan boleh meningkat kepada AS$50 bilion (RM153.83 bilion).

Projek itu diketuai syarikat gergasi Ital-Thai dari Thailand. - AGENSI

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails