Tuesday, March 20, 2012

Banjir S'ngor, MB, Sila Ambil Perhatian!

MB Selangor, sila ambil perhatian

Banjir: Selangor tanggung baiki rumah rosak

SHAH ALAM, 19 Mac 12: Kerajaan Negeri Selangor telah mengenal pasti 11 buah rumah yang rosak teruk dalam kejadian banjir di Kampung Lembah Jaya Utara, Ampang pada 7 Mac lalu, dengan kos kasar pembaikan dianggarkan sebanyak RM105,000.

Rumah-rumah itu dicadangkan untuk diperbaiki oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lembah Jaya, Khasim Abdul Aziz. Sekretariat Pejabat Menteri Besar dalam satu kenyataan hari ini memberitahu kesemua rumah itu dimiliki penduduk tempatan bukan berstatus penyewa.

“Setiap pemilik rumah ini akan menerima bantuan antara RM1,500 sehingga RM30,000 bergantung kepada tahap kerosakan,” ujar kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Terdapat sebuah rumah yang mengalami kerosakan teruk dan kerajaan negeri bercadang menggantikan rumah baharu di bawah Program Kerajaan Prihatin.

Kebanyakan rumah-rumah itu mengalami kerosakan pada dinding, dapur dan siling yang perlu dibaiki untuk membolehkan pemiliknya menduduki semula rumah mereka.

Dalam pada itu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan bantuan wang tunai kepada mangsa banjir ditambah kepada RM1,000 setiap keluarga bagi meringankan beban yang terpaksa ditanggung.

Beliau membuat pengumuman itu pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor oleh Sultan Selangor, Tuanku Sharafuddin Idris Shah, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri sangat prihatin dengan beban yang ditanggung mangsa banjir dan langkah segera akan diambil untuk mengelak kejadian sama berulang termasuk menyegerakan kerja-kerja mendalamkan sungai.

Pertubuhan Misi Bantuan Kemanusian Selangor (Pantas) yang diketuai Exco negeri, Rodziah Ismail juga mengadakan program gotong royong membersihkan rumah penduduk pada 17 dan 18 Mac baru-baru ini.

Anggota sukarelawan Pantas seramai 80 orang membantu mangsa banjir membersihkan peralatan rumah yang ditenggelami air, membersihkan sampah sarap dan longkang yang dipenuhi lumpur, membersihan surau selain memberi bantuan pakaian dan makanan. (Hrkh)

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Semalam dan hari ini, beberapa bloger termasuk Blog Ibnu Hasyim meninjau komen 'rakyat biasa' yang terlibat dalam banjir kilat Hulu Langat/Ampang.

Antara komen-komen mereka..

Satu: Bantuan dari kerajaan Selangor tidak mencukupi walaupun ditambah dari RM100,000 kepada RM300,000 (menurut mereka). Hal ini..

  • berbanding dengan kerosakan tertimpa lebih teruk,
  • berbanding dengan bencana terdahulu di Ulu Klng yang melibatkan rumah 'orang berada'.
  • berbanding dengan kerajaan Selangor yang 'banyak wang'.

Dua: Pemimpin-pemimpin Pakatan (semua parti gabungan) tidak ramai yang menjengok, walaupun Presiden PAS ada turun gelanggang. Wakil-wakil Rakyat lebih ramai berlagak 'pemikir & perancang parti (sebagai helah)' dari yang turun ke gelanggang bersama rakyat.

Tiga: Pembantu-pembantu mangsa tidak banyak, terutama yang melibatkan keseluruhan parti Pakatan. Seolah-olah tiada perpaduan gerak kerja.

Empat: Tiada kemudahan air dan lain-lain yang perlu bagi menguruskan bantuan.

Lima: Dari 20 keluarga sekitar kawasan itu, yang kami temui, dulunya mengundi PR dalam PRU12, terdapat 15 orang yang hilang kepercayaan untuk mengundi PR dalam PRU13 akan datang.

Maaf, pihak Weblog IbnuHasyim hanya merakam suara rakyat yang malang, maka terpulanglah kepada pihak bertanggung jawab menilainya. Wallahu 'aklam. (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails