Thursday, September 22, 2011

Isu IC: Nafi WikiLeaks, Perlu Panel Khas Siasat


KL, 22 Sept 11: Bekas pengerusi Mafrel Abdul Malek Hussin menafikan laporan WikiLeaks mendakwa bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman ada mengatakan lebih 60,000 rakyat asing di Sabah telah diberikan kad pengenalan palsu dan menjadi pengundi bagi membolehkan Umno-BN menguasai negeri itu.

“Itu tidak betul. Bagaimana SPR boleh mengeluarkan kad pengenalan kepada pendatang asing. Tetapi, isunya ialah ada pihak yang mengeluarkan kad pengenalan kepada pendatang asing untuk menjadi rakyat negara ini... dan menjadi pengundi,” kata Malek.

Justeru kata beliau, isunya bukan WikiLeaks ataupun Rashid, tetapi masalah yang dibangkitkan iaitu pengeluaran kad pengenalan kepada pendatang asing dari Indonesia dan selatan Filipina di Sabah sejak dahulu lagi tetapi keperluan mengadakan satu suruhanjaya diraja bagi menyiasat isu ini.

“Walaupun ini isu lama, tetapi masih diperkatakan. Jadi, kerajaan perlu mengadakan satu suruhanjaya diraja bagi menyiasat perkara ini... isunya bukan sama ada WikiLeaks atau Tan Sri Rashid,” kata beliau.

Malek menegaskan, tugas SPR hanyalah mendaftar mereka yang layak dengan memiliki status kewarganegaraan Malaysia sebagai pengundi.

“Siapa yang mengeluarkan kad pengenalan... KDN, dan agensinya ialah JPN, bukan SPR,” kata Malek.

“Apabila mereka memegang kad pengenalan bertaraf rakyat Malaysia, mereka boleh didaftarkan sebagai pengundi, di SPR,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider. (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails