Saturday, February 12, 2011

3 Perkara, Pemikiran Baru PAS,

CATATAN SANTAI IBNU HASYIM

ADA dua perkara rumusan saya dapat, dari perbincangan Grup Universiti Ulu Klang yang diadakan beberapa hari lepas. Perbincangan bertajuk 'Menuju Pemikiran PAS Baru'.

Pertama:

Kata saya..

"Tidak berapa tepat tajuk ini, biar lembut sikit.. Bukan pemikiran PAS Baru tetapi pemikiran baru dalam PAS. Kerana perlembagaan PAS dasarnya adalah itu juga, cuma ada pinda sikit-sikit. Jadi lebih tepat disebut pemikiran baru dalam PAS.

"Mengenai buku terbaru Dr Mujahid Yusof 'Menuju PAS Baru', saya tidak mahu sentuh banyak, kerana saya masih belum baca secara mendalam. Waktu buku itu terbit saya tdak ada di Malaysia, bila pulang, buku itu sudah habis di pasaran. Sejak itu saya masih belum jumpa beliau nak minta buku itu. Setakat ini saya baca buku yang saya pinjam sebentar saja.

"Tadi, ada kawan kita sebut, dia tanya pandangan seorang tokoh PAS Selangor di PRK Tenang, buku itu cuma retorik sahaja! Jawab tokoh itu. Ada juga tadi yang komen kulit buku itu, gambar orang pakai seluar pendek bawa bendera PAS...

"Pada saya, itulah yang Dr Mujahid mahu jadi realiti. Penyokong-penyokong PAS bukan hanya terdiri dari orang Islam, atau orang Islam mazhab Syafie saja (berpegang kepada hukum aurat lelaki mazhab Syafie antara pusat sampai lutut), bahkan dari kalangan berbagai agama." Kata saya.

Seorang dari kawan kami mencelah, "Cuba tengok gambar itu betul-betul, seluarnya di bawah paras lutut.. masih tutup aurat!". Membuat hadirin tertawa.

Teringat saya semasa berada di Iran tahun lalu, seorang rakan kami Orang Syiah solat pakai seluar pendek, nampak lutut. "Mana boleh?" Kawan saya mengkritiknya. Katanya, "Mengikut mazhab kami, aurat lelaki hanya tutup kemaluan hadapan dan belakang sahaja, tidak termasuk lutut."

Okey, baiklah, saya sambung balik pandangan saya.

"Bila dilihat menuju pemikiran-pemikiran baru dalam PAS, merujuk kepada cakap-cakap, ucapan atau tulisan Dr Mujahid dan kawan-kawan sealiran dengan beliau, sekurang-kurangnya 3 perkara besar perlu diketengahkan...

"Me'nasional'kan PAS, meng'kemaskini'kan Majlis Syura Ulama" dan melaksanakan Islam melalui perlembagaan negara yang ada.

A. Menasionalkan PAS

Me'nasional'kan PAS boleh diertikan kepada 2 perkara pula.

Satu, 'nasional'atau faham kebangsaan. Yakni mebawa balik PAS ke perjuangan zaman lampau PAS. Faham perjuangan yang bermula dari penubuhannya 1951 hingga ke zaman 'kepimpinan ulama' 1980an. Walaupun PAS parti Islam, tetapi memilih pendekatan 'kebangsaan' sesuai dengan suasana kemedekaan dan peratus bangsa Melayu yang tinggi berbanding kaum lain masa itu. Bermula dengan kepimpinan Tuan Haji Ahmad Fuad Hasan, Dr Abbas Alias, Dr Burhanuddin dan Dr Mohamad Asri Hj Muda.

Berjuang melalui demokrasi peti undi yang ada. Kemudian beralih kepada 'Kepimpinan Ulama' selepas revolusi Islam Iran yang meletakkan ulama sebagai pemimpin tertinggi. Peringkat ini bermula dengan kepimpinan Tuan Hj Yusof Rawa, Uztaz Fadzil Mohd Noor dan Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang, sekarang. Waktu inilah ditubuhkan 'Majlis Syura Ulama' yang meletakkan kuasa ulama paling tinggi dalam organisasinya.

Dua, 'nasional' atau 'kesatuan berbagai kaum'. PAS cuba menjadi payung kepada orang yang bukan Islam terdiri dari pelbagai bangsa dan kaum. Di bawah kepimpinan Tuan Hj Yusof Rawa ditubuhkan CCC, atau Majlis Perunding Orang Cina. bergerak terus hingga kini, kepada penubuhan Kelab Penyokong PAS yang akhirnya menjadi Dewan, sebahagian dari sayap PAS.

Tahap ini PAS mula mendapat sambutan berceramah di rumah-rumah ibadat orang bukan Islam. Dalam Pilihan Raya Umum ke 12 lalu, PAS bersama PAKATAN termasuk DAP dan PKR berjaya menawan 5 buah negeri, walaupun satunya dicuri balik. Antara penyebabnya, ialah kerana sokongan dari bukan Islam terutamanya kaum Cina. Oleh itu pergerakan PAS lebih berhati-hati dengan mengambil kira orang bukan Islam sebagai pengikutnya.

Contohnya perlu mencari titik-titik pertemuan dengan pelbagai agama, seperti kes bukan Islam sebut nama 'Allah', azan masjid guna pembesar suara, orang bukan Islam masuk masjid, ceramah Islam dalam gereja atau kuil dan sebagainya.
Sehingga ada yang menganggap kini dalam PAS seolah-olah terdapat dua aliran. Aliran tradisi yang dikatakan memilih pendekatan ala Taliban di Afghanistan/Pakistan, yang kononya agak keras. Dan pendekatan lembut berpemikiran baru.

B. Kemaskini Majlis Syura Ulama.

Tercatat dalam Perlembagaan Parti Islam SeMalaysia (PAS) (Pindaan 2001) Fasal 7. Hukum, Kekuasaan dan 'MAJLIS SYURA 'ULAMAK". Begitu juga FASAL 7A. Majlis Syura ‘Ulamak, dan FASAL 7B. Tugas-tugas Majlis Syura ‘Ulama. Kita boleh lihat fungsi Majlis Syura Ulama tersebut.

Menurut aliran 'pemikiran baru dalam PAS', Majlis Syura Ulama mempunyai kuasa paling tinggi dalam organisasi. Tetapi pencapaiannya masih belum sampai ke tahap yang sepatutnya. Maknanya, masih belum berfungsi, berwibawa dan keputusannya tidak dihormati, yakni tidak dilaksanakan. Yang berlaku, ialah kepada keputusan individu-individu ulama dari majlis syura itu sendiri yang terlaksana. Seolah-olah, itulah keputusan Majlis Syura Ulama.

Bagi pemikiran ini, hal itu amat merbahaya. Akan melahirkan manusia yang 'taksub' kepada pemimpin. Apalagi bila pemimpin itu tiada, akan meningalkan kesan buruk kepada PAS. Oleh itu, maka perlu dikemaskinikan Majlis Syura Ulama.

Zaman Peralihan

Teringat saya semasa zaman peralihan dari pendekatan ala kebangsaan kepada kepimpinan ulama. Segala kegiatan pendekatan ala kebangsaan, seperti tepuk tangan ditukar kepada sahutan 'takbir' semasa berceramah. Pendekatan melalui hiburan seperti menjemput kumpulan pancaragam nasyid 'Al-Hasanah', 'Al-Kawakib', 'El-Suraya' (penyanyi wanita dengan pakaian menutup aurat tidak lengkap) telah ditiadakan langsung. Lagu PAS sudah tiada kedengaran lagi. Calon muslimah tidak dicalonkan bertanding dalam pilihan raya, walaupun sebelum itu ada yang menang seperti Khadijah Sidek di Dungun. Dan Khadijah pernah menjadi Pesuruhjaya PAS Johor.

Pakaian ahli-ahli PAS ketara berubah. Muslimah, kebanyakannya memakai pakaian menutup aurat lengkap, tidak lagi berselendang macam 'wanita UMNO' . Lelakinya, kebanyakan berkupiah, berjubah-serban. Bersongkok hitam pernah dilebelkan 'songkokUMNO'. Ceramah-ceramah PAS tidak lekang dari hujah Quran dan Hadis. Kegiatan usrah, kelas pengajian agama dan ceramah bertumbuhan bagai cendawan di musim hujan.

Buku-buku agama begitu laris di pasaran. Proses tarbiah ahli-ahli amat memberangsangkan. Aliran pemikiran Ikhwanul Muslimin Mesir begitu menjadi idola orang-orang PAS. Ceramah-ceramah pemimpin PAS waktu itu seolah-olah tiada mahu berkompromi terus dengan sistem pemerintah setelah pecahnya Kerajaan Campuran BN-PAS. '..bina Islam di atas runtuhan jahilliah', 'tolak jahilliah total, terima Islam penuh', tolak faham sekular, kebendaan dan sebaganya.

C. Menerapkan Islam Melalui Perlembagaan Negara Yang Ada
Kira-kira 30 tahun PAS memilih pendekatan kebangsaan, dan 30 tahun PAS memilih kepimpinan ulama. Kini apa lagi?

Ada suara-suara pemimpin PAS ingin melihat dan mencontohi Turki yang memilih pendekatan Islam melalui sekularisme. Memperjuangkan melalui Perlembagaan Malaysia Fasal 3, Islam agama bagi Persekutuan.

Sehingga ada yang bertanya, "Kalau begitu, mengapa kita tidak masuk UMNO sahaja, kerana kita bersetuju dengan perlembagaan yang ada?"

Kerajaan Perpaduan

Kalangan pemikiran baru PAS menjawab, "Itu sebabnya wujud kumpulan yang mahukan 'Kerajaan Perpaduan' (UG). Sama tarafnya dengan 'Kerajaan Pakatan', kalau Pakatan Rakyat berjaya memerintah Malaysia pada Pilihan Raya Umum mendatang. Cuma terdapat rekod buruk UMNO dulu (zaman pemerintahan Tun Hussien Onn) pernah mengkhianati Kerajaan Campuran, yang PAS sanggup bernaung di bawah lambang dacing BN. Itu yang menghantui wujudnya Kerajaan Perpaduan sekarang."

Demikian paparan saya. Insya Allah akan bersambung lagi.
Kedua

Rumusan saya dapat, dari perbincangan Grup Universiti Ulu Klang tempoh hari, ada yang meminta supaya saya siapkan segera buku Sejarah PAS yang saya sedang tulis.

E-Buku IH-17: Fokus Sejarah PAS 1950 Hingga Kini...
(klik gambar)
E-Buku IH-17: Fokus Sejarah PAS 1950 Hingga Kini...

Saya jawab, "Insya Allah, tapi kalau lambat pun takpe, PAS sendiri sedang menyiapkannya. Kerana kemampuan saya agak terbatas..."

Wallahu Aklam.

Ibnu Hasyim Catatan Santai
alamat e-mail: ibnuhasyim@gmail.com
12Feb, 2011. KL

2 comments:

cnm said...

Minta maaflah kalau saya katakan Ridwan Md Nor keluarkan buku itu untuk cari duit. Sebab itu timbul isu dia tidak menepati kehendak soalan peserta di Kelantan.Siapalah dia berbanding Ustaz Mujahid.Suka disentuh tentang akhlak jamai. Ustaz Mujahid berhak uuntuk mencetuskan pandangannya selaku seorang aktivis dalam gerakan Islam. Bukannya menjatuhkan imej parti atau menyeleweng dari sudut akidah Islamiah.Pandangan yang membawa perubahan tajdid, sesuai dengan keadaan semasa, harus dihormati. Sedikit perbezaan pendapat, boleh di bincang secara hikmah. Pandangan secara ideal oleh seorang Ajk Pas Pusat, sepatutnya tidak wajar di musuhi oleh seorang Ajk Pemuda Pusat. Kedua-duanya berada di dalam rumah yang sama, hanya bilik saja berlainan. MB Kedah, membuat pelancaran buku itu, apakah setelah dia memahami maksud yang tersirat pada kedua-dua buku tersebut. Melancarkan buku Ridwan Md.Noor tanpa mengetahui isi kandung itu, tidak ubah seperti memalu gendang perang antara Ajk Pas Pusat dengan Ajk Pemuda Pusat. Terus mengajak pula ahli memberi sokongan terhadap peperangan itu. Kenapa boleh berlaku begitu?

hakimi said...

salam..

dalam buku Menuju PAS baru..

berapa helai yang menngupas tentang idea PAS baru??
Berapa helaian yang mengupas konflik??
dan berapa helai lampiran yang semuanya artikle tentang kelemahan dan keburukan Ulama.. sedangkan tanpa sedikit ulasan tentang kewajaran tindakan ulama??

dalam buku lebih kurang 200 helai ini..
berapa helai langkah baru yang diulas??

NAMA buku: MENUJU PAS BARU..
tapi yang terbanyak isinya ialah konflik ulama-profesional..
konflik ABIM-PAS..
Konflik IRC-PAS..

jadi... di mana MENUJU PAS BARU nya???

pada saya..
ini yang membahayakan..
kalau mahu menghuraikan konflik..
tajuk perlu diubah..
bila diberi tajuk menuju PAS baru..
tapi isi tentang PAS baru tak sampai 20 page daripada 200.. itu menyebabkan berlaku fitnah..
dan salah faham kepada pembaca yang tidak mengenal PAS dari fakta sejarah yang sebenar..

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails