Thursday, February 10, 2011

Rundingan MILF-Filipina Di KL.. Capai Keputusan?

Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF)
PEKAN, 10 Feb !!:Malaysia berharap rundingan damai antara Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dan kerajaan Filipina akan mendapat persetujuan muktamad dalam mewujudkan perjanjian perdamaian ti dak lama lagi.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, peranan Malaysia sebagai fasilitator dalam rundingan damai itu akan diteruskan dan masih berjalan atas persetujuan kedua-dua pihak.

“(Rundingan) diteruskan sehingga kita buat apa-apa keputusan nanti, tak ada had tempoh, selagi kedua-dua pihak itu berkehendakkan Malaysia, kita jadi orang tengah,” katanya dipetik Bernama.

Rundingan dua hari antara kedua-dua pihak itu di Kuala Lumpur bermula semalam.

Kelmarin, BusinessWorld, akhbar perniagaan Filipina dalam talian melaporkan bahawa ketua perunding kerajaan Mario Victor F. Leonen berkata panel kerajaan telah diarahkan oleh Presiden Filipina Benigno S. C. Aquino III untuk merangka satu penyelesaian yang berkekalan dan komprehensif terhadap pemberontakan itu, yang disasarkan dalam masa setahun.

Beliau berkata mesyuarat panel perdamaian itu di Kuala Lumpur antara lain akan membincangkan tempoh lanjutan Pasukan Pemantauan Antarabangsa (IMT) yang diketua oleh Malaysia dan Kumpulan Tindakan Bersama Ad Hoc (AHJAG).

Leonen juga berkata bahawa kerajaan Filipina turut berminat menghidupkan semula mekanisme yang dikenali sebagai Kepimpinan Bangsamoro dan Institut Pengurusan yang dicadangkan oleh MILF dalam rundingan sebelum ini, di mana menerusi mekanisme ini, pemimpin muda Moro mungkin dilatih lagi untuk mengetuai dan mengurus pada masa akan datang.

Beliau juga berkata MILF dijangka menjelaskan isu membabitkan peletakan jawatan Komander Ameril Umbra Kato dan pembentukan Pejuang Pembebasan Islam Bangsamoro. (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails