Thursday, December 23, 2010

Zulkifli, Rakyat M'sia Bersembunyi Di Selatan Filipina

Zulkifli Dipercayai Berada Di Selatan Filipina

KL 23 Dis 10: : Seorang rakyat Malaysia yang dikehendaki Polis Antarabangsa (Interpol) kerana kaitan dengan rangkaian pengganas antarabangsa dipercayai bersembunyi di Selatan Filipina.

Sumber polis berkata Zulkifli Abdhir, 44, melarikan diri ke negara itu sejak tahun 2002 sejurus selepas kejadian pengeboman di Bali yang telah meragut nyawa 110 rakyat Australia. "Zulkifli memang merupakan salah eorang pengganas yang diburu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dipercayai terlibat dalam pengeboman itu," katanya.

Beliau berkata Zulkifli tidak dapat dikesan sehingga sekarang kerana dipercayai disembunyikan oleh kumpulan pengganas yang berada di sana.

"Kenyataan daripada isteri serta ahli keluarganya juga telah lama diperolehi dan kita masih lagi memburunya," katanya.

Sebuah akhbar melaporkan Zulkifli yang berasal dari Muar, Johor dikehendaki di Amerika Syarikat selepas disyaki terlibat dalam kegiatan subversif termasuk merancang beberapa siri keganasan di lokasi tidak dinyatakan dan waran tangkap ke atasnya dikeluarkan di San Jose, California baru-baru ini. - BERNAMA

Berita lalu... PENGGANAS : RM98.7j nilai 16 kepala

HARIAN METRO – Harga nyawa 16 penjenayah kelahiran Malaysia yang ‘mengukir nama’ di kancah antarabangsa kini persis emas berikutan ganjaran ditawarkan bagi penangkapan mereka sama ada hidup atau mati, mencecah AS$30 juta (RM98.7 juta).

Ganjaran lumayan itu menyebabkan penjenayah ternama warganegara Malaysia terbabit kini menjadi buruan pelbagai pihak termasuk Polis Antarabangsa (Interpol) dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat, berikutan tahap ancaman mereka didakwa mampu meragut ribuan nyawa.

Malangnya, kelompok kecil warga Malaysia itu pada masa sama turut mencalar nama baik negara selepas memasuki senarai ‘penjenayah amat dikehendaki’ polis antarabangsa.

Jurucakap Interpol di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini berkata, maklumat pergerakan semua penjenayah terbabit terus diberikan perhatian, malah kebanyakan nama mereka masih diletakkan dalam Notis Merah Interpol sebagai individu paling dikehendaki.

“Setakat ini Interpol Malaysia turut bekerjasama dengan pihak berkuasa negara lain bagi memberkas suspek. Kita mempunyai hubungan rapat dengan pasukan keselamatan antarabangsa serta berkongsi maklumat dan berusaha menangkap mereka jika memasuki Malaysia semula,” katanya kepada Harian Metro.

Antara yang menduduki carta teratas penjenayah berbahaya ialah Zulkifli Hir, 42, yang dikehendaki pihak berkuasa AS kerana didakwa antara pengganas paling berbahaya di dunia selain Ramadan Shallah.

Zulkifli yang turut menggunakan nama samaran Marwan dianggap pakar bom yang terbabit dengan puluhan serangan dan letupan di Filipina sejak 2001.

Suspek yang kini dipercayai bersembunyi di Mindanao, selatan Filipina, menghadapi 16 pertuduhan oleh Jabatan kehakiman AS bersama abangnya, Rahman atau Sean Kassim, 43, kerana dipercayai menyokong kegiatan militan di Filipina.

Kerajaan AS menawarkan ganjaran AS$5 juta (RM17 juta) untuk pemberi maklumat sehingga tertangkapnya Zulkifli yang turut disenaraikan dalam laman web www.rewardsforjustice.net sebagai seorang daripada 37 pengganas antarabangsa paling dikehendaki.

Difahamkan, AS mendakwa Zulkifli yang menjalin hubungan dengan Kumpulan Militan Malaysia (KMM) dan Jemaah Islamiyah (JI), pernah mengikut latihan membuat bom untuk kumpulan Abu Sayyaf dan kini berada di Filipina untuk mengadakan kerjasama dengan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).

Zulkifli melarikan diri dari Malaysia pada Januari 2002 selepas polis menyerbu dan menahan anggota JI di sebuah sekolah agama di Ulu Tiram, Johor.

Malah, ‘nilai badan’ penjenayah terbabit yang juga seorang jurutera yang pernah bertugas di Afghanistan, mencecah RM50,000 menerusi ganjaran ditawarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada sesiapa yang berjaya menangkapnya.

Terbaru, Zulkifli yang pernah mendapat tunjuk ajar membuat bom daripada seorang lagi pengganas warga Malaysia, Dr Azahari dikatakan bertanggungjawab dalam kes penculikan dan tebusan wartawan popular stesen ABS-CBN, Ces Drilon, jurukamera dan profesor universiti, wang tebusan 15 juta peso (RM1.1 juta) pada 11 Jun lalu.

Turut tersenarai ialah Noordin Mat Top yang dikehendaki polis Indonesia selepas didakwa mendalangi beberapa serangan di negara itu, termasuk serangan bom di Bali pada 2002 yang menyebabkan 202 orang mati, serangan ke atas Jakarta pada 2003 dan 2004 yang menyebabkan 21 maut serta serangan di Bali pada 2005 yang mengorbankan 20 nyawa.

Penjenayah bernilai AS$25 juta (RM72.5 juta) berdasarkan tawaran ganjaran polis AS itu didakwa antara pemimpin utama kumpulan JI Asia Tenggara yang dikaitkan dengan kumpulan Al-Qaeda.

Difahamkan, Noordin yang gagal diberkas sehingga kini, mahir membuat bom jangka daripada bahan potasium menyebabkan dia muncul ketua militan paling digeruni di Asia Tenggara.

Suspek yang beberapa kali bolos ketika sarang persembunyiannya diserbu polis, dipercayai melarikan diri dari Indonesia, baru-baru ini,

Seorang lagi penjenayah terkemuka yang terus diburu polis antarabangsa ialah Micheal Soosai, 44, yang turut mendapat jolokan ‘penjahat dari kubur’ berikutan dia pernah memalsukan kematiannya.

Suspek yang dikehendaki bersabit kes bunuh rakyat Malaysia, Subramaniam Nookaiah, 47, di India selain penipuan cek dan pemalsuan dokumen, kini dipercayai terus bersembunyi di India.

Soosai mula diburu polis Malaysia pada 2001 berhubung 16 kes penipuan cek membabitkan nilai RM1.035 juta. Namun, kes terbabit digugurkan dua tahun kemudian selepas dia didakwa mati akibat sakit jantung.

Bagaimanapun, komplot licik itu terbongkar selepas seorang lelaki rakyat tempatan, Subramaniam dipercayai dibunuh penjenayah terbabit di India, pada 12 Disember 2004.

Susulan itu, polis memberkas tiga lelaki termasuk bekas atendan Hospital Kuala Lumpur (HKL), K Subramaniam, 29, peniaga besi lusuh, V Sanjeev Kumar, 29, dan J Kumaresan, 23, yang disyaki memalsukan sijil kematian serta pengebumian untuk Soosai.

Selain itu, polis antarabangsa memburu seorang lagi rakyat Malaysia dikenali sebagai Nyo Ah Hai, 44, kerana mendalangi kegiatan mencuri dan membawa masuk secara besar-besaran kereta curi di Malaysia membabitkan beberapa model seperti BMW, Mercedes Benz, Hummer, Toyota Land Cruiser, Toyota Hilux dan Mitsubishi.

Suspek yang turut diburu polis Singapura dan Polis Republik Indonesia (Polri) didakwa mampu menyeludup sehingga 154 kenderaan ke luar negara dalam sehari menjadikannya perancang utama yang mempunyai jaringan besar pakar mencuri kereta mewah di Malaysia.

Dua lagi dikehendaki ialah Diong Chee Meng, 24, dan Cheong Mun Yau, 27, yang didakwa menyeludup lebih setengah juta pil Ecstasy bernilai lebih RM17 juta (AS$5 juta) ke Indonesia, sejak awal tahun lalu.

Mereka yang diyakini masih bersembunyi di Indonesia, dikesan terbabit secara aktif dalam jaringan pengedaran pil Ecstasy bermutu tinggi antarabangsa ke Indonesia selain merancang mendirikan kilang pil khayal itu di republik berkenaan.

Selain itu, polis antarabangsa memburu seorang lagi suspek dikenali Baptist Nicholas, 34, dan Ng Khien Sin, 29, yang mempunyai lebih tiga waran tangkap berhubung kes penipuan dan pemalsuan di Hammond dan Indiana, AS selain di Singapura sejak beberapa tahun lalu.

Lebih mengejutkan apabila seorang rakyat Malaysia yang dikenali sebagai William Chua, 42, berasal dari Melaka, turut dikehendaki polis Vietnam berhubung beberapa kes jenayah seksual dan rogol di negara berkenaan.

Seorang lagi rakyat Malaysia, Trung Truc Nguyen, 55, turut diburu polis Vietnam kerana pembabitannya dalam kes penipuan.

Sementara itu, enam rakyat Malaysia, Chewwai Chin, 40, Weangen Chiok, 33, K Manogaran, 38, Nadesan Muniyandy, 42, Ng Sai Hoe, 33, dan Al Ramsamy Vijayan, 32, menjadi buruan pihak berkuasa Emiriah Arab Bersatu (UAE) berhubung berpuluh-puluh kes penipuan dan kecurian di negara berkenaan.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails