Saturday, December 25, 2010

Sukan, M'sia Bertemu Indo Esok:. 60% Tak Suka M'sia?

SUKAN

JAKARTA, 25 Dis 10: Ketika Malaysia dan Indonesia bersiap sedia untuk bertarung pada pusingan pertama Piala Suzuki AFF di Kuala Lumpur esok, satu hasil kajian menunjukkan hampir 60 peratus rakyat republik itu tidak suka pada Malaysia disebabkan perkembangan semasa.

Hasil kajian yang menemui 1,000 rakyat Indonesia pada September dan Oktober lalu menyebut 59.2 peratus tidak menyukai Malaysia. Kajian itu dikendalikan ketika situasi tegang ekoran siri demonstrasi di Kedutaan Malaysia di Indonesia tiga bulan lalu.

Ketika itu juga wujud cadangan agar Putrajaya memanggil balik duta Malaysia di Indonesia sekiranya rundingan mengenai jaminan keselamatan Kedutaan Malaysia di Jakarta gagal mencapai kata sepakat. Ketika itu isu “Ganyang Malaysia” dibawa oleh Benteng Demokrasi Rakyat Indonesia (Bendera).

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman ketika itu berkata, isu dibawa Bendera bukan perspektif seluruh pemimpin dan rakyat republik tersebut. Kajian kendalian firma Indonesian Survey Circle (LSI) itu dikeluarkan kelmarin, tiga hari sebelum pasukan kedua-dua negara turun gelanggang pusingan pertama Piala Suzuki AFF.

Malaysia dan Indonesia bertemu di Bukit Jalil malam esok sebelum pertemuan susulan Rabu depan di sini. Laporan Jakarta Globe menyebut, hasil kajian itu mendapati 59.2 peratus responden dari 100 kawasan di seluruh Indonesia tidak menyukai Malaysia — kadar yang lebih tinggi berbanding dengan sentimen negatif dan tidak senang 46.4 peratus terhadap Amerika Syarikat.

Ia juga mendapati 67.5 peratus responden percaya bahawa hubungan bilateral antara Indonesia dan Malaysia sangat buruk, sekali gus menyumbang kepada sentimen negatif. Terdapat sekitar 1.1 juta pekerja asing Indonesia di negara sekarang. Penyelaras kajian itu, Ardian Sopa berkata, sentimen itu berkaitan dengan layanan buruk ke atas pekerja-pekerja asing Indonesia di Malaysia, isu sempadan dan isu warisan budaya seperti batik dan lagu yang dituntut oleh Malaysia.

Beliau juga mengaitkan dengan isu penahanan tiga pegawai maritim Indoneia oleh pihak berkuasa Malaysia di sebalik penahanan nelayan-nelayan Malaysia oleh republik itu beberapa bulan yang lalu. Ardian juga berkata, kira-kira 60 peratus responden juga kecewa dengan komitmen yang ditunjukkan oleh kerajaan Indonesia bagi menyelesaikan isu-isu hubungan dua hala dan 50 peratus responden percaya kerajaan mereka tidak melakukan apa-apa untuk menyelesaikan perkara-perkara berbangkit.

Katanya, sentimen kurang senang itu banyak diperlihatkan oleh responden golongan muda dan mereka memperoleh pendapatan yang agak selesa manakala generasi berusia dan memiliki wang yang sedikit kelihatan kurang bermasalah dengan negara jiran Malaysia. Penemuan signifikan, menurut beliau ialah 63 peratus responden menyatakan kesediaan untuk berperang dengan Malaysia bagi mempertahankan Indonesia. (AK)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails