Friday, December 24, 2010

Ancak: Semak Semula Kenyataan Mufti Perak -N/Presiden PAS


TEMERLOH, 24 Dis 10: Berhubung isu ancak, Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyeru Majlis Fatwa Kebangsaan untuk campurtangan menyemak semula kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.

Harussani sebelum ini dilaporkan mempertahankan tindakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir meletakkan ancak sebagai tidak khurafat.

“PAS memohon Majlis Fatwa Kebangsaan melakukan semakan terhadap kenyataan yang dikeluarkan Mufti Perak bahawa tindakan Menteri Besar Perak melakukan upacara ancak, tepung tawar tiang seri rumah dengan pelbagai upacara tidak bercanggah dengan syarak,” kata Tuan Ibrahim dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily.

Di dalam satu laporan akhbar minggu lepas, Harussani dilihat sebagai terpaksa menghalalkan dengan mengkategorikan tindakan Zambry yang merenjis dan menepung tawar semasa memasang ancak tiang seri baru-baru ini sebagai ‘satu amalan biasa dalam masyarakat Melayu dan tidak bercanggah dengan syarak’.

Kenyataan tersebut dikeluarkan selepas bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin yang juga Adun Pasir Panjang membangkitkan semula perkara itu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) baru-baru ini. Sebelum ini, Nizar juga mendakwa kenyataan Harussani bukan sahaja boleh mengelirukan umat Islam di negara ini, malah turut mencalarkan kredibiliti ulamak termasuk mufti.

Lebih bahaya menurut Nizar, perbuatan Zambry itu dibuat di dalam kawasan kampung yang sekaligus memberi gambaran amalan itu boleh terus diamalkan dan tidak khurafat. Dalam kenyataan hari ini, Tuan Ibrahim, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang turut membidas tindakan Harussani sambil berkata bahawa PAS khuatir kenyataan Harussani akan menyemarakkan lagi amalan khurafat yang semakin menghakis kini kerana beliau dilihat sebagai seorang mufti yang berpengaruh di negara.

“PAS melihat beliau sebagai seorang mufti yang berpengaruh, beliau sepatutnya menasihati umat Islam agar menjauhi amalan yang tidak mendasari hukum syarak, bukan kenyataan yang tidak membantu memperkukuhkan akidah ummah,” bidas Tuan Ibrahim.

Sementara itu, Dewan Pemuda PAS Perak sedang merancang bertemu dengan ahli majlis fatwa dan ulama, bagi medapatkan penjelasan berhubung isu ancak secara lebih dekat.

Untuk permulaan, mereka telah mengadakan pertemuan dengan salah seorang Ahli Jawatankuasa Majlis Fatwa Negeri Perak, Haji Abdul Majid Zainal Abidin semalam.

Pertemuan hampir dua jam itu antara lain membincangkan permasalahan ummat Islam yang masih meneruskan amalan khurafat khususnya di Perak. Ketua Pemuda PAS Perak, Zawawi Hassan memaklumkan mereka akan turut mengadakan pertemuan dengan tokoh-tokoh agama lain. (AK)

2 comments:

Anonymous said...

maaf ingin bertanya...dikampung saya ada sebuah masjid baru hendak dibina....asal kontraktor adalah orang islam...tetapi penanam cerucuknya telah di sub kan kepada bukan islam...satu hari lepas isyak saya lalu dari masjid lama dihadapan laluan masjid hendak dibina terdapat ancak(soja)telah dinyalakan hampir setengah lebih kurang 50 batang serta sebungkus nasi berlauk telur dadar..dengan marah saya telah memusnahkan dengan menyepak dengan kaki supaya hilang nyalaan dengan disaksikan oleh imam...keesokan harinya setelah ahli masjid mendapat tahu saya telah dimarahi oleh seorang ajk masjid kerana saya tidak mengikut surah al kafirun dan bendahari masjid kerana kekuatan hantu akan menyebabkan saya boleh mati kerana kurang ilmu didada untuk menmusnahkan ancak tersebut....TOLONG BERI KOMEN

Anonymous said...

IMIDIETLY...SEBAB PERKARA BARU SEMALAM BERLAKU...APAKAH SURAH AL KAFIRUN BERKAIT DALAM PERKARA TERSEBUT KERANA YG HENDAK DIBINA ADALAH MASJID BUKANNYA TOKONG ATAU KUIL...ATAU RUMAH AJK ATAU BENDAHARI TERSEBUT...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails