Saturday, December 25, 2010

BN Tabur RM100.9 Juta Kepada Peneroka Felda.

Datuk Seri Najib Razak

KL, 25 Dis 10: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) akan membayar Bonus Insentif Produktiviti kepada para peneroka di tanah rancangan seluruh negara berjumlah RM100,916,600. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata bonus itu adalah bagi menghargai sumbangan peneroka terhadap kemajuan industri sawit dan getah Negara selain sebagai insentif kerana menghantar hasil melalui Felda.

Beliau berkata kadar bayaran bonus yang dibayar pada tahun ini ialah minimum RM400 dan maksimum RM1,200 bergantung kepada penghantaran hasil.

“Pembayaran bonus insentif ini melibatkan seramai 94,281 atau 83.70 peratus daripada 112,635 peneroka Felda seluruh negara.

“Bayaran Bonus Insentif Produktiviti Peneroka 2010 akan dibayar secara tunai di pejabat rancangan pada awal Januari 2011,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Najib (gambar) berkata peneroka yang menghantar hasil melalui pengurusan rancangan dinilai berdasarkan penghantaran hasil dari Januari hingga Oktober tahun ini.

“Bagi peneroka sawit, kelayakan minimum ialah 8.01 tan/hektar manakala ganjaran maksimum ialah mereka yang menghantar hasil melebihi 17 tan/hektar ke atas.

“Bagi peneroka getah, kelayakan minimum ialah 600.01kg/hektar dan ganjaran maksimum diberi kepada yang menghantar hasil melebihi 1,400kg/ hektar,” katanya.

Beliau berkata bilangan peneroka yang terlibat dalam penghantaran hasil sawit dan getah ini adalah seramai 30,611 orang manakala 61,170 yang sedang menanam semula bersama Felda akan menerima bayaran maksimum RM1,200 seorang.

“Pada tahun ini, Felda turut memberikan pertimbangan khas kepada peneroka di beberapa rancangan yang prestasi hasilnya rendah sepanjang masa disebabkan tanaman tidak produktif dan menunggu giliran untuk ditanam semula.

“Ini termasuk juga kawasan kebun peneroka yang diambil bagi tujuan pembangunan. Termasuk juga dalam kategori ini ialah tanaman peneroka yang hasilnya rendah disebabkan serangan musuh penyakit seperti ganoderma, serangan ulat bungkus dan lain-lain,” katanya.

Kira-kira 2,000 peneroka terlibat dalam kategori pertimbangan khas itu dan kadar yang diberi kepada peneroka terlibat adalah sebanyak RM400 seorang, katanya. Najib berkata seramai 18,354 peneroka atau 16.29 peratus pula didapati tidak layak menerima bayaran insentif kerana tidak menghantar hasil kepada Felda dan juga kerana hasil mereka kurang daripada hasil minimum yang telah ditetapkan.

Selain itu, katanya peneroka yang menguruskan sendiri kebun mereka dan tidak menghantar hasil, tidak dibayar bonus insentif ini.

“Kerajaan berharap pemberian bonus ini akan menjadi perangsang kepada peneroka di seluruh negara untuk berusaha lebih gigih bagi meningkatkan produktiviti masing-masing.

“Saya juga ingin mengajak semua peneroka untuk menyertai program bersama dengan Felda selaras usaha berterusan yang dilaksanakan oleh agensi tersebut bagi meningkatkan pendapatan mereka melalui penyelidikan dan khidmat nasihat yang disediakan,” katanya. (Sumber: Bernama)

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Mengapa begitu pentingnya peneroka Felda bagi BN? Teringat kepada ucapan di Muktamar Tahunan ke 55 lalu, perwakilan Kelantan mencadangkan PAS memperuntukkan dana RM1 juta setahun kepada jentera parti itu yang mengendalikan hal ehwal peneroka Felda di bawah pimpinan Mazlan Aliman.

Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berucap membahaskan ucapan dasar presiden berkata, daripada 68 kawasan parlimen yang PAS tandingi dalam pilihan raya lalu sebahagian besarnya ada kawasan yang mempunyai tanah rancangan Felda.

"Dikawasan-kawasan ini hanya PAS sahaja yang mampu berhadapan dengan Umno dan jentera parti yang membuat kerja khususnya berkaitan hal ehwal kebajikan masyarakat Felda ini perlu diberi peruntukan yang banyak," kata beliau.

Kadang-kadang projek perlu dilawan dengan projek juga?

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails