Friday, October 22, 2010

Calon Galas: Dr Zul Mampu -NikAziz

GUA MUSANG, 22 Okt 10: Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, Dr Zulkefli Mohamad dipilih sebagai calon Pakatan Rakyat bagi pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Galas kerana yakin mampu meneruskan kerja cemerlang wakil rakyatnya Allahyarham Che Hashim Sulaima.

Selain itu kata Menteri Besar, PAS memilih Dr Zulkefli sebagai calon terbaik kerana beliau dikenali ramai di kawasan Gua Musang dan pernah diuji dalam dua pilihan raya umum lalu.

“Inilah pemimpin yang PAS pilih sebagai calon kita bagi pilihan raya DUN Galas... beliau adalah Dr Zulkefli Mohamad,” kata beliau ketika mengumumkan bakal calon itu di Dataran Ilmu di sini menjelang tengah malam tadi.

Dr Dzulkefli (gambar), seorang pengamal perubatan, merupakan pemangku Yang Dipertua PAS Gua Musang.

Barisan Nasional akan mengumumkan nama calonnya Ahad ini.

Dr Zulkefli, 44, merupakan anak bekas Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Guchil, Mohamed Awang pada 1974 dan merupakan anak ketujuh daripada 10 beradik.

Beliau yang memperoleh ijazah perubatan dari Universiti Malaya memiliki klinik sendiri di Ciku 3 di sini.

Beliau pernah kalah kepada Tengku Razaleigh Hamzah ketika bertanding merebut kerusi Parlimen Gua Musang dalam pilihan raya umum 2008, dengan majoriti 4,394 undi.

Walaupun kalah kepada Tengku Razaleigh pada 2008, tetapi Dr Dzulkefli memperoleh undi terbanyak dari kawasan DUN Galas berbanding Ketua Umno Gua Musang.

Bahagian Parlimen Gua Musang mempunyai tiga kerusi DUN termasuk Galas salah satunya.

Kekalahan itu merupakan kali kedua beliau tewas kepada Tengku Razaleigh dalam pilihan raya umum bagi kerusi Parlimen Gua Musang.

Dr Zulkefli juga pernah bertanding kerusi Parlimen Gua Musang pada 2004.

Pilihan raya kecil DUN Galas diadakan berikutan kematian penyandangnya Che Hashim daripada PAS, yang meninggal dunia akibat kanser usus pada 27 September lalu.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya, 11,553 pengundi layak untuk mengundi dalam pilihan raya kecil itu iaitu Melayu 7,125 orang atau 61.7 peratus, kaum Cina 2,317 atau 20.06 peratus, India 185, Bumiputera Siam 10 orang dan Orang Asli 1,889 orang.

Hadir sama pada majlis pengumuman calon semalam ialah Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Timbalan Setiausaha Agung DAP, Datuk Ngeh Koo Ham.

Dapatkan lapuran PRK DUN Galas dari mula hingga berakhir..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails