Thursday, June 10, 2010

Sebuah Bahtera Melayu Hampir Karam.. -Nasrudin Hasan

June 10, 2010 :The Malaysian Insider.
Pemuda: PAS terima bukan Islam tak ancam orang Melayu
Seorang perwakilan Muktamar Dewan Muslimat di Kota Baru hari ini melangkah hiasan bendera Amerika dan Israel sebagai tanda protes terhadap rejim Yahudi. – Gambar Choo Choy May
KOTA BARU, 10 Jun - Dewan Pemuda PAS mempertahankan usaha parti itu membentuk Dewan Himpunan Penyokong PAS dengan menegaskan, langkah tersebut tidak bercanggah dengan usaha mengekalkan sokongan bukan Melayu dan meraih sokongan lebih luas daripada masyarakat Melayu.

“Dewan Pemuda PAS begitu meyakini, rahmat yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w kepada seluruh alam adalah daripada Allah s.w.t. Tuhan yang maha Penyayang.

“Ia merupakan satu jaminan masyarakat Melayu dan bukan Melayu boleh hidup dengan harmoni dalam negara ini,” kata Nasrudin Hasan at-Tantawi dalam ucapan dasarnya pada Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat di sini hari ini.

Nasrudin berkata, dengan gandingan pelbagai pihak PAS mahu meningkatkan sokongan Melayu-Islam sehingga antara 15 hingga 20 peratus. Nasrudin, hanya golongan yang berpegang kepada politik perkauman yang sempit seperti Umno dan BN, beranggapan masyarakat Melayu akan terancam sekiranya keadilan diberikan kepada masyarakat bukan Melayu.

“Sedangkan menurut Islam, keadilan itu merupakan sesuatu yang wajib diberikan kepada golongan bukan Islam sebagaimana firman Allah swt dalam ayat ke 8, surah al-Mumtahanah,” katanya.

Bertitik tolak daripada hakikat itu, kata beliau, Dewan Pemuda PAS menyeru kepada pendukung dan penyokong parti supaya menghentikan perselisihan dalaman yang tidak berkesudahan.

“Yakinlah bahawasanya tiada percanggahan antara usaha untuk mempertahankan sokongan masyarakat bukan Melayu seperti yang diperolehi oleh PAS dalam pilihan raya umum ke-12 yang lalu dengan usaha untuk meraih sokongan masyarakat Melayu untuk pilihan raya umum ke-13 yang akan datang.

“Kedua-dua golongan masyarakat bukan Melayu (ummah al-da`wah) dan masyarakat Melayu (ummah al-ijabah) sepatutnya didekati supaya mereka boleh memahami hala tuju perjuangan PAS,” katanya.

Dewan Himpunan Penyokong PAS dibentuk dengan menaikkan taraf Kelab Penyokong PAS yang ditubuhkan enam tahun lalu bagi mengiktiraf penyokong bukan Islam. Di sebalik usaha itu timbul keperluan bagi PAS itu untuk mengekalkan pangkalan sokongan orang Melayu khususnya di kawasan luar bandar.

“Ayuh! mari kita gemblengkan tenaga untuk mendekati mereka demi membina negara Malaysia yang sejahtera, adil, saksama dan mendapat keredhaan Allah berteraskan prinsip yang digariskan oleh al-Quran,” katanya.

Nasrudin menambah, setelah lebih 50 tahun Malaysia diterajui oleh Perikatan dan BN yang ditunjangi oleh Umno, negara ini kian jauh daripada keamanan dan kemakmuran.

“Hasil-mahsul yang dikurniakan oleh Allah s.w.t yang melimpah ruah tidak dapat dikecapi oleh rakyat kebanyakan sama ada Melayu ataupun bukan Melayu, sebaliknya ia hanya dirasai oleh segelintir manusia yang dapat menikmatinya,” katanya.

Tambahan pula katanya, naluri kemanusiaan dalam masyarakat juga terus runtuh dengan pelbagai gejala fasad dan keji, memangsakan manusia tanpa kasihan dan tidak mengenal usia.

“Oleh itu, Dewan Pemuda PAS menyeru kepada seluruh masyarakat Melayu-Islam supaya sama-sama berkongsi hasrat dengan PAS ke arah membina sebuah negara yang sejahtera, adil, saksama dan mendapat keampunan Allah s.w.t , seterusnya meninggalkan perjuangan perkauman yang sempit,” katanya.

Kepada para pencinta Islam dari kalangan para agamawan dan pertubuhan bukan kerajaan, Nasrudin menambah, Umno bukanlah selayaknya menjadi sandaran untuk mempertahankan Islam sebagai manhaj Rabbani, sebaliknya telah terbukti mengkhianati amanah Allah dan menzalimi rakyat.

“Dengarlah, seruan ini saya tujukan khusus untuk para agamawan dan NGO-NGO Islam, marilah kita mengeratkan kerjasama atas dasar al-birr wa al-taqwa supaya masyarakat Melayu-Islam akan lebih mengenali keadilan Islam dan kezaliman taghut.

“Dewan Pemuda PAS menginsafi, kami tidak berupaya meneroka segenap wilayah dakwah, maka diyakini saudara-saudaralah yang berupaya menyempurnakan visi dan misi kita bersama,” katanya.

Sambil mendakwa Umno sebuah bahtera Melayu yang hampir karam, Nasrudin mengajak bekas naib presiden PAS Datuk Nakhaie Ahmad dan menteri dan timbalan menteri kerajaan persekutuan Datuk Jamil Khir Baharom, Datuk Ahmad Shabery Chik, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi dan seluruh ahli Umno yang pernah berkongsi cita-cita menegakkan keadilan berasaskan manhaj Rabbani supaya kembali ke pangkuan PAS. (2MA)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails