Monday, June 07, 2010

Muktamar Di Jangka Panas: Gandingan Nas-Hadi Lemah?

Nasharudin dikatakan gagal menjadi timbalan yang berkesan kepada Hadi semenjak dilantik semula tahun lalu..

KL. 7 Jun 10: Muktamar Tahunan PAS kali ini di Kota Baru tidak melibatkan pemilihan, tetapi ia disebut-sebut akan tetap panas lagi menarik tumpuan dengan fokus terhadap keberkesanan kepimpinan barisan kanan sebagai persiapan menghadapi pemilihan tahun depan dan juga pilihan raya umum ke-13.

Nasharudin dikatakan gagal menjadi timbalan yang berkesan kepada Hadi semenjak dilantik semula tahun lalu. Difahamkan pemimpin yang akan menjadi tumpuan dan berada dalam senarai teratas sebutan perwakilan ialah Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa, yang menewaskan dua pesaingnya dalam pemilihan setahun lalu.

Pada Jun lalu, Nasharudin dengan mudah mengetepikan kedua-dua naib presiden ketika itu Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu. Turut disebut-sebut akan menjadi tumpuan persidangan ialah Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali, yang turut didakwa mempunyai “hubungan rapat” dengan Umno tetapi awal tahun ini terlepas daripada hukuman ringan jawatankuasa disiplin.

Seorang perwakilan mendakwa keberkesanan gandingan Presiden dan Timbalan Presiden PAS akan disentuh memandangkan ada pihak dalam parti berpendapat bahawa Nasharudin, yang juga Ahli Parlimen Bachok, tidak memainkan peranan sebagai gandingan secara berkesan kepada orang nombor satu sejak dipilih semula sebagai timbalan presiden tahun lalu.

“Kami mahukan seorang timbalan presiden yang berkesan kepada presiden, yang dapat memainkan peranan dengan baik sebagai timbalan presiden,” kata pemimpin ini yang akan menghadiri muktamar sebagai perwakilan, seperti yang dilaporkan The MalaysianInsider.

Perkara tersebut akan ditimbulkan pada muktamar bagi memperkuatkan kepimpinan PAS bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang selaku rakan dalam Pakatan Rakyat. “Kami mahu PAS dilihat sebagai rakan mantap dalam Pakatan Rakyat... untuk itu, timbalan presiden (harus) menjadi gandingan mantap kepada presiden,” kata perwakilan dengan merujuk kepada gandingan kepimpinan bekas presiden Allahyarham Datuk Fadzil Mohd Noor dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Ada kawasan yang hendak membawa usul, ada yang hendak memberikan nasihat ketika perbahasan dengan harapan akan ada perubahan (dalam tempoh setahun ini).

“Jika tiada perubahan, langkah susulan akan diambil semasa pemilihan tahun depan,” kata perwakilan itu dengan merujuk kepada pemilihan tahun depan.

Tindakan ini dilihat bukan sesuatu yang mengejutkan memandangkan pada Oktober lalu, kira-kira empat bulan selepas pemilihan parti, Mursyidul Am PAS telah mendesak diadakan muktamar khas untuk menukar beberapa pemimpin kanan parti termasuk Nasharudin.

Juga difahamkan sentimen itu masih wujud sehingga sekarang dan akan dibawa ke muktamar minggu ini. PAS hanya dijadual mengadakan pemilihan pada tahun depan. Dikatakan, pemerhatian menunjukkan Nasharudin yang mendapat “sokongan” kumpulan ulama dan “restu” Hadi semasa pemilihan tahun lalu kelihatan masih mempunyai hubungan rapat presiden.

Nasharudin menghadiri majlis perasmian Dewan Perhimpunan Penyokong PAS yang diadakan di Klang bulan lalu. Gerak-geri beliau memperlihatkan masih menjalin hubungan sihat dengan Hadi dengan memainkan peranan sebagai seorang timbalan presiden. Dilaporkan, Nasharudin sudah tidak “serapat” dengan Hadi berbanding dulu.

Malah perwakilan itu mendakwa Hadi juga ada meluahkan pendapatnya mengenai isu kepada rakan-rakan rapatnya tetapi kesahihan belum dapat disahkan. Mengulas isu tersebut seorang ahli jawatankuasa PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad mengakui ada mendengar dakwaan sedemikian. Bagaimanapun beliau hanya menyifatkannya sebagai satu “persepsi politik” semata-mata.

“Ia kemungkinan satu perspesi sahaja, yang mungkin tidak dikongsi oleh semua orang,” kata Ahli Parlimen Kuala Selangor ini dan juga bekas pengarah pusat penyelidikan PAS. Pemilihan jawatan timbalan presiden tahun lalu juga dilihat sebagai saingan kumpulan profesional yang mahu memperkukuhkan Pakatan Rakyat dan kumpulan ulama yang sedia bekerja dengan Umno demi kepentingan Islam, yang dikaitkan dengan kerajaan perpaduan.

“Bagi sesetengah daripada kami, pendirian Nasharudin masih belum jelas (dalam isu kerajaan perpaduan).

“Isu kerjasama dengan Umno tidak ditangani dengan sepenuhnya,” kata seorang lagi pemimpin PAS dengan merujuk kepada kenyataan Nasharudin yang menyentuh tentang hubungan PAS-Umno Mac lalu, pada majlis yang turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Berucap pada majlis pelancaran buku Natrah: Cinta, Rusuhan dan Air Mata, Nasharudin dipetik berkata yakin usaha mewujudkan perpaduan di kalangan parti politik yang mewakili umat Islam boleh dicapai jika semua pihak berusaha bersungguh-sungguh ke arah itu.

Beliau berkata, semua pihak tidak harus bersikap mengalah walaupun beberapa usaha sebelum ini bagi mewujudkan persefahaman antara parti politik terbesar umat Islam iaitu PAS dan Umno terhenti di separuh jalan. Muktamar tahunan kali ini akan diadakan di Kota Baru sempena 20 tahun pentadbiran kerajaan negeri Kelantan di bawah pimpinan Nik Aziz.

Juga difahamkan pentadbiran Kelantan juga tidak akan terlepas daripada kritikan dan pandangan panas para perwakilan. Husam merupakan salah seorang Exco dalam pentadbiran itu, yang kebelakangan ini dikaitkan secara langsung dengan isu-isu menyentuh kerajaan negeri Kelantan dan kepimpinan Nik Aziz.

Ini termasuk pemberian konsesi balak, pelantikan blogger Syed Azidi Abdul Aziz atau mesra dikenali Kickdefella ke dalam Perbadanan Menteri Besar Kelantan dan dipecat akhir tahun lalu. Isu menantu Nik Aziz, Abdul Ariffahmi Abd Rahman yang diminta melepaskan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif PMBK juga dipercayai akan disentuh. “Bagaimanapun perwakilan akan berhati-hati apabila menyentuh Tok Guru disebabkan populariti beliau di luar parti,” kata seorang ahli PAS dari Kelantan.

Sementara itu, Dewan Muslimat PAS meneruskan usaha serius mereka untuk mendapatkan satu kerusi naib presiden untuk kaum wanita dengan sekali lagi mahu membahaskan usul berhubung perkara itu minggu ini. Sayap PAS itu pernah membawa usul meminta agar diperuntukkan satu kerusi naib presiden untuk wanita tahun lalu, tetapi tidak menemui hasil yang disasarkan. Kali ini usul mengenainya dibincangkan di peringkat Dewan Muslimat Khamis ini dan juga satu lagi usul telah dibawa oleh PAS kawasan ke peringkat pusat. (2MA)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails