Thursday, June 10, 2010

Laksanakan Undang Syariah Di Negeri PR.. -D/Ulama

MACHANG, 10 Jun 10: Dewan Ulama PAS menggesa agar segala peraturan undang-undang pentadbiran syariah di negeri-negeri pimpinan Pakatan Rakyat (PR) dilaksanakan sepenuhnya sehingga masyarakat Islam dan bukan Islam dapat melihat kebaikan pentadbiran ikatan itu.

Dalam ucapan dasarnya, Ketua Dewan Ulama Datuk Harun Taib berkata, menjadi tanggungjawab sayap PAS itu di negeri-negeri ditadbir PR agar berbincang, bermuzakarah dengan pihak berkenaan sehingga semua perkara yang berkaitan dengan hukum syarak dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin tanpa adanya perasaan kurang senang dari pihak-pihak tertentu.

Menyentuh konteks hubungan dengan bukan Islam, kata beliau golongan ulama perlu menyediakan teks panduan berdasarkan nas Quran dan hadis tentang kedudukan bukan Islam dalam masyarakat Islam. “Ulama juga perlu menangani isu yang melibatkan hukum dalam hubungan dengan bukan Muslim,” kata beliau dalam ucapannya yang dibacakan oleh timbalannya Datuk Ahmad Yaakob di Markas Dewan Ulama (Madu) di sini pagi ini.

Dewan Ulama PAS Pusat mengadakan muktamar tahunan sehari di sini hari ini. Ketika ditanya mengenai penerimaan bukan Islam jika semua undang-undang Islam dilaksanakan, Harun berkata, beliau tidak melihat akan ada masalah dalam penerimaannya. Selain mereka ada pilihan sama ada mahu menggunakan undang-undang konvensional sedia ada atau undang-undang Islam, kata beliau, undang-undang Islam yang dimaksudkan akan memanfaatkan semua pihak.

Sebagai contoh kata beliau, jika ada hukuman denda ia akan disalurkan kepada keluarga mangsa di bawah undang-undang Islam. Sedangkan di bawah undang-undang bukan Islam semasa kutipan denda pergi kepada kerajaan, katanya.

Malah menurut beliau, undang-undang Islam bukan setakat merujuk kepada hudud atau qisas tetapi juga undang-undang Islam dalam bidang lain seperti ekonomi. Dalam ucapannya Harun berkata, perkara tersebut telah ditekankan dalam muktamar Dewan Ulama tahun lalu, namun disebabkan tajuk ini adalah semasa, maka seluruh perwakilan ulama mesti memberi idea bagi tujuan pemerkasaan ini.

“Begitu juga halnya dengan tahaluf yang telah dilakukan oleh PAS dengan bukan Muslim.

“Perlu diingatkan kepada semua ahli PAS, terutamanya ahli Dewan (Ulama) bahawa salah satu tujuan utama kita bertahaluf ialah supaya kita mempunyai ruang yang lebih luas bagi melaksanakan Islam dalam politik yang kita perjuangkan,” katanya.

Harun menambah, tujuan PAS bertahaluf dengan parti bukan Islam adalah untuk menyampaikan dakwah yang sempurna selain mengajak mereka kepada titik pertemuan yang boleh dikongsi bersama seperti keadilan, keamanan, kesejahteraan disamping meyanggah segala bentuk amalan negatif seperti ketidakjujuran, ketidakadilan, salah guna kuasa dan merebaknya maksiat.

“Dengan itu, adalah sewajibnya kita meletakkan asas tersebut apabila kita diberikan sedikit kuasa di negeri yang kita berkongsi kuasa dengan Pakatan.

“Usaha hendaklah dilakukan sepenuh tenaga untuk mempastikan pelaksanaan Islam dalam negeri diperkukuhkan sebaik mungkin.

“Kita yakin dengan prinsip tadaruj dalam pelaksanaan hukum Islam,” katanya.

Oleh itu kata Harun, adalah menjadi tugas “kita untuk mempastikan bahawa pengharaman arak dan judi kepada orang Islam perlu dikuatkuasakan.” (AK)

Lihat Ucaptama Ketua Dewan Ulama..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails