Thursday, June 10, 2010

PAS: Guna Peluang Terbaik Menuju Putrajaya..

Oleh G. Manimaran


Gambar-gambar sekitar muktamar hari ini

June 10, 2010 -The Malaysian Insider

ANALISIS, 10 Jun — Beberapa pemimpin PAS yang ditemui sebelum dan selepas majlis perasmian ketiga-tiga sayap parti itu di Kota Baru malam tadi memberikan pendirian yang sama — fokus kali ini mereka ialah memperkukuh dan memantapkan kerjasama dalam Pakatan Rakyat.

Bagaimana dengan kerajaan perpaduan atau UG (unity government) dengan Umno-BN? Tidak, demikian rumsuan mereka.

Pendirian ini semakin jelas berbanding dengan senario setahun lalu. Malah lebih jelas selepas pilihan raya umum ke-12 Mac lalu.

Susulan pertemuan di Ipoh dan Shah Alam, pada malam tadi Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan tegas menekankan bahawa parti Islam ini sudah tidak lagi berminat dengan idea kerajaan perpaduan bersama Umno-BN.

Dimaksudkan lebih awal berbanding tahun lalu kerana Menteri Besar dalam ucapan perasmian muktamar ketiga-tiga sayapnya PAS di Kota Baru menekankan bahawa beliau sudah pahit dengan pengalaman empat dekad lalu.

Jika pada muktamar lalu, Nik Aziz, yang juga Menteri Besar Kelantan menyatakan pendirian tidak memihak kepada idea kerajaan perpaduan ketika sedang berlangsungnya muktamar PAS Pusat, tetapi kali ini beliau menekankan pendirian beliau dengan jelas secara langsung tanpa menyebut perkataan “UG” ataupun “kerajaan perpaduan”.

Sebagaimana dalam pertemuan dengan The Malaysian Insider di pejabatnya pagi semalam, Nik Aziz memulakan ucapan perasmian beliau dengan mengimbas apa yang berlaku di Kelantan empat dekad lalu. Pengalaman di Terengganu juga dikongsi.

Pendirian beliau dinyatakan kepada kesemua sayap PAS serentak. Rata-rata mereka yang menghadiri majlis perasmian malam tadi merupakan mereka yang bakal mewarisi kepimpinan PAS pada masa-masa mendatang. Sama seperti pengalaman dilalui oleh Nik Aziz empat lalu.

Dalam ucapannya kira-kira 30 minit, kata Nik Aziz, PAS memilih untuk berjuang melalui medan siasah iaitu medan yang ditutup rapat pada zaman penjajah.

“Itulah penjajah Inggeris di Tanah Melayu, Belanda di Indonesia, Inggeris dan Perancis di Timur Tengah. Siasah PAS adalah politik-dakwah. Maka, kita bergerak sebagai parti politik dan kita berdakwah (berkempen) ketika bertanding dalam pilihan raya dan selepasnya demi mencapai cita-cita untuk mempersembahkan Islam yang sebenar kepada masyarakat.

“Dalam perjuangan inilah, PAS telah melalui sejarah panjang yang dipenuhi dengan peristiwa jatuh bangun di dalam arena politik-dakwah.

“Kesemua pengalaman pahit manis ini merupakan khazanah PAS yang berharga dalam mendepani cabaran pada masa akan datang,” katanya.

Dalam menyertai pilihan raya, PAS pernah bersendirian meraih sokongan rakyat. Hasilnya, PAS berjaya menguasai Kelantan dan Terengganu dalam pilihan raya umum pada tahun 1959.

“Sekalipun berdepan dengan parti gabungan Perikatan pada masa itu, namun kita berjaya mentadbir Kelantan dan Terengganu dengan baik. Sejarah juga mencatit bagaimana PAS telah diajak masuk bergabung ke dalam Barisan Nasional oleh Allahyarham Tun Abdul Razak.

“Kita menyertai Barisan Nasional demi perpaduan, namun kesannya amat parah kepada PAS khususnya di Kelantan, PAS sendiri telah berpecah empat — selain PAS, munculnya Bebas Bersatu, Hamim dan Berjasa,” katanya.

Kata Nik Aziz, PAS hampir-hampir ranap akibat perpecahan tersebut.

“Ia ditambah lagi dengan peristiwa PAS ditendang daripada Barisan Nasional dan akhirnya kehilangan kerajaan di Kelantan pada tahun 1978,” katanya.

“Inilah sejarah jatuh bangun PAS di dalam politik negara. Saya rakamkan semula di sini bukan untuk mengungkit luka lama agar berdarah kembali, jauh sekali mahu melemparkan bara dendam untuk dimarakkan, tetapi untuk menjadi pengajaran kepada kita semua dalam menongkah perjuangan,” kata Nik Aziz dengan mengulas lanjut bahawa “ingin saya peringatkan, lembaran sejarah mencatit Umno dan Barisan Nasional ialah rakan yang tidak setia, tangan kanan menghulur salam, tangan kiri melipat senjata.”

Dengan membawa ahli-ahlinya melihat sejarah, Nik Aziz berkata PAS juga akan tetap bersama dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam menghadapi pilihan raya nanti kerana pakatan itu “semacam” pertolongan daripada Tuhan.

Beliau juga melihat Pakatan Rakyat menjadi alternatif kepada Barisan Nasional.

Nik Aziz berkata melalui Pakatan Rakyat, ia membuka pintu lebih luas untuk PAS dalam berdakwah menyebarkan Islam kepada bukan Islam.

“Selama ini Islam diajar untuk orang Melayu sahaja di pondok dan tidak kepada bukan Islam,” katanya.

Beliau juga mengulangi pendiriannya agar PAS tidak bergabung dengan Umno yang pernah mengkhianati parti pada 1978 sehingga parti itu terjejas teruk.

Pandangan-pandangan pemimpin spiritual ini turut dikongsi oleh pemimpin lapisan kedua parti Islam ini.

Naib Ketua Dewan Ulama Datuk Ahmad Yakob berkata pertemuan kali ini akan lebih menjurus kepada usaha memantapkan PAS dengan mengeratkan kerjasama bersama Pakatan Rakyat.

“Kita akan lebih kepada soal ini,” kata beliau yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan apabila ditanya sama muktamar kali ini khususnya Dewan Ulama akan turut menyentuh isu kerajaan perpaduan.

Sebagaimana dikatakan oleh Nik Aziz, PAS pernah bertanding pilihan raya secara persendirian. Kemudian ia bergabung dengan Barisan Nasional, keluar dan bertanding dalam pilihan raya tanpa gandingan dengan mana-mana pihak. Pada 1990 PAS turun gelanggang bersama Semangat 46 dan kemudian dengan kerjasama Barisan Alternatif sembilan tahun kemudian.

Yang dimaksudkan usaha itu membolehkannya menawan satu negeri, kemudian dua negeri pada 1999 dan lima negeri bersama Pakatan Rakyat.

Kejayaan PAS ini bukan bersama Umno tetapi bersama parti-parti bukan Umno.

Apakah ini memberi nilai tambah kepada PAS sehingga mereka mahu menjauhi daripada idea kerajaan perpaduan Umno-BN?

Dua tahun lalu PAS-DAP-PKR membentuk Pakatan Rakyat susulan pilihan raya umum ke-12.

Timbalan Pesuruhjaya III PAS Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah. Pertemuan kali ini akan digunakan untuk mencari jalan memperkukuhkan ketiga-tiga komponen dalam Pakatan Rakyat yang kini memerintah empat buah negeri.

Perak telah beralih tangan awal tahun lalu ekoran tindakan tiga Adun Pakatan Rakyat - masing-masing dua PKR dan seorang DAP keluar parti.

“Kami hendak memperkukuhkan Pakatan tetapi apakah pendekatan kita?” kata Nik Mohd Amar yang cuba menjelaskan pendirian PAS.

“Perlu ada pemahaman... sikap bagi dan terima. PAS boleh menerajui, sebagai contoh dengan urus tadbir yang baik, agar komponen PR boleh menjadikannya sebagai contoh,” kata beliau.

Nik Mohd Amar memberitahu The Malaysian Insider bahawa PAS kini berada dalam kedudukan yang baik memandangkan ahli-ahlinya “lebih terbuka kepada realiti politik semasa.”

“Dalam usaha memperkukuhkan PAS, kami akan meminta ahli-ahli menerima realiti politik semasa,” kata beliau sambil mengakui ia sebagai satu cabaran bagi mengajak ahli-ahli PAS menerima kehadiran DAP dan PKR bersama Pakatan Rakyat.

“Kami mahu memberi tumpuan untuk membuat persiapan menghadapi pilihan raya umum akan datang,” kata beliau sambil menambah, respons kepada PAS mengalami pertumbuhan baik.

“Kelab Penyokong PAS, mereka menerima idea negara Islam,” Nik Mohd Amar yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan.

Sambil menekankan keperluan kerjasama dalam Pakatan Rakyat dan melupakan idea kerajaan perpaduan, Setiausaha Dewan Pemuda PAS Kamaruzzaman Mohamad berkata sayap PAS itu akan membincangkan usaha-usaha untuk menghalang budaya melompat dalam parti.

Ketika ditemui di Kota Baru malam kelmarin, Kamaruzzaman memberitahu The Malaysian Insider, muktamar kali ini akan membangkitkan syor-syor kepada Pakatan Rakyat tentang cara untuk memilih calon.

“Kami menggunakan kaedah yang ketat dalam memilih calon. Calon yang dipilih melalui pelbagai tahap, mereka yang betul-betul mempunyai perwatakan moral yang baik dan juga komitmen kepada parti,” kata beliau dengan mengaitkan sejauh mana pentingnya kerjasama dalam Pakatan Rakyat dan sejauh mana seriusnya PAS dalam meneruskan kerjasama ini.

“Ini sebabnya mengapa kerajaan negeri Kelantan walaupun dengan beza satu kerusi boleh kekal antara tahun 2004 dan 2008,” kata beliau lagi.

Dua komponen Pakatan Rakyat — DAP dan PKR kehilagan lebih 10 wakil rakyat sepanjang dua tahun ini.

Ketika ditemui selepas majlis perasmian, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali menegaskan, pihaknya akan meneruskan perjuangan mereka bersama Pakatan Rakyat.

“Tidak, tidak. Bab lama (ini) sudah ditutup. Kita akan bersama Pakatan, ini sudah diputuskan,” kata beliau sambil menambah, Umno lazimnya akan cuba untuk menghidupkan semula isu ini.

“Umno boleh bawa, kami kekal dengan keputusan yang sudah dibuat... tumpuan kali ini ialah memantapkan PAS bersama Pakatan,” kata beliau.

Selepas dua tahun PAS semakin tegas dalam pendirian mereka berhubung isu idea kerajaan perpaduan. PAS kelihatan melihat masa depannya lebih cerah bersama Pakatan Rakyat.

PAS mahu memujuk ahli-ahlinya agar menggunakan peluang terbaik ini untuk menuju Putrajaya bersama DAP-PKR. Cabaran PAS: mengukuhkan kedudukan, memantapkan Pakatan Rakyat dan menjauhi idea kerajaan perpaduan serta tidak mahu mengulangi pengalaman pahit 1970-an. (AK)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails