Thursday, March 25, 2010

Datuk Dr Zainal Abidin Meninggal Dunia. P94 H/S'ngor Panas..



KAJANG, 25 Mac: Ahli Parlimen PKR Hulu Selangor, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad meninggal dunia jam 9.30 malam ini selepas mengalami barah otak sejak sekian lama. Allahyarham menghembuskan nafasnya yang terakhir di rumahnya dekat Jalan Cheras, Kajang.

Beliau yang merupakan bekas Timbalan Menteri Besar Selangor di zaman BN meninggal ketika berumur 71 tahun dan meninggalkan seorang balu iaitu Datin Zaharah Mohd Zin serta empat orang anak.

Zainal Abidin menang dalam pilihan raya lalu atas tiket PKR di kerusi Parlimen Hulu Selangor selepas mengalahkan calon BN dari dari MIC, P Palanivel dengan hanya 198 undi. Dengan kematian ini bermakna pilihan raya kecil ke 10 akan diadakan dalam masa 60 hari.

Zainal Abidin menyertai PKR pada tahun 2005 dan menjawat jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi parti itu bagi penggal 2007/2010. Beliau turut aktif dalam pelbagai pertubuhan dan pernah menjawat jawatan seperti Pengerusi Persekutuan Pelajar Melayu, Pengerusi Majlis Pemuda Hulu Langat dan Naib Presiden Persatuan Olahraga Amatur Selangor.

Semasa dalam Umno, Zainal memenangi tiga penggal berturut-turut kerusi Dewan Undangan Negeri Dusun Tua atas tiket Barisan Nasional (BN), pada pilihan raya umum 1990, 1995 dan 1999. Kerusinya jadi rebutan. Pilihan raya umum ke-11 pada 2004, Zainal digugurkan daripada menjadi calon. Pada pilihan raya umum Mac 2008, Zainal membuat kejutan dengan merampas kerusi selamat BN di Hulu Selangor daripada penyandang Datuk G.Palanivel yang juga merupakan Timbalan Presiden MIC, dengan majoriti tipis 198 undi.

Bagaimanapun, kekosongan kerusi Hulu Selangor juga bukan berita gembira bagi Barisan Nasional yang menghadapi dilema untuk mencari calon yang sesuai. Sejak bekas menteri besar Selangor itu dilaporkan uzur, khabar angin bertiup kencang bahawa Umno cuba mendapatkan kerusi itu semula yang secara tradisinya diserahkan kepada sekutunya, MIC. Pertarungan dijangka panas. (AK)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails