Monday, May 11, 2009

Rumah Ini (Gambar).. Tempat Sembunyi Militan JI.


RUMAH ini berada sebuah kampung terpencil di Johor. Lokasinya tidak terdapat di dalam peta atau pun laman carian peta Google. Rumah kampung tradisional di Kampung Tawakal - sebuah kampung kecil yang penduduknya kurang daripada 100 orang. Terletak kira-kira 10 kilometer (km) dari Lebuh Raya Utara-Selatan berdekatan jalan keluar ke Kempas, yang mana kebarangkalian untuk mengesan lokasi kampung itu adalah sesuatu yang mustahil bagi sesiapa yang tidak biasa dengan kawasan itu.


Kawasan itu hanya dikelilingi pokok kelapa sawit dan tidak ada sebarang papan tanda untuk menuju ke kampung tersebut di sepanjang jalan utama yang menghubungkannya iaitu Jalan Kampung Maju Jaya. Kita-kira lima km dari kampung itu ada sebuah kelab golf eksklusif, Starhill Golf and Country Club. Penduduk di Kampung Tawakal dikatakan masih lagi terkejut selepas mengetahui pelarian yang diklasifikasikan sebagai merbahaya oleh pihak berkuasa, selama ini tinggal di kawasan mereka.


Menurut beberapa penduduk, Mas Selamat jarang sekali meninggalkan rumahnya dan jika ada pun, dia hanya akan keluar pada malam. Setiap kali keluar dia akan mengenakan jubah putih labuh dan serban putih. Ada masanya, dia kelihatan berkebun menggunakan cangkul. "Kadangkala, kami memberi salam kepadanya dan dia akan membalasnya. Tidak ada yang lain," kata seorang kanak-kanak 10 tahun yang enggan didedahkan namanya. "Dia tidak bercakap dengan sesiapa dan hanya menyendiri dan dia tidak pernah bersembahyang di surau kampung ini," kata seorang penduduk, Mohd Saat Marjo, 56, yang tinggal bertentangan dengan rumah Mas Selamat.


Apabila ditunjukkan gambar Mas Selamat yang disiarkan oleh The Star, dia dengan pantas memberitahu: "Ya, ya, dialah lelaki yang tinggal di sini!"


Kejadian penangkapan Mas Selamat awal April lalu masih segar dalam ingatan penduduk kampung apabila pihak polis menyerbu rumah tersebut dan menahan penjenayah itu. Mas Selamat ditangkap oleh polis Cawangan Khas awal bulan lepas di Skudai, Johor, dan kini ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Mas Selamat, 48, yang dikatakan merancang melakukan beberapa letupan bom di sini terus melarikan diri setelah dapat melepaskan diri dari kawalan maksimum di pusat tahanan Whitley Road.


Mohd Saat ketika mengimbas kembali kejadian itu berkata: "Ketika itu kira-kira pukul 6 pagi. Lebih kurang 30 anggota polis bersenjata mengepung kawasan itu dan mengarahkan Mas Selamat supaya keluar dari rumahnya… Apabila dia enggan, mereka merempuh masuk melalui dua pintu," katanya sambil menggambarkan kejadian itu seperti siri televisyen, Gerak Khas.


Mohd Saat berkata, penduduk kampung kemudiannya melihat Mas Selamat dibawa keluar dengan mukanya ditutup dengan kain berwarna biru tua sebelum dimasukkan ke dalam kereta dan dibawa pergi. Katanya, pihak polis juga menggunakan alat pengesan bom bagi memastikan rumah tersebut bebas daripada sebarang bahan letupan.



Lihat. Dalam rumah didapati keadaan begitu kemas dan bersih, ecuali sebuah akuarium mengandungi ikan mati yang terapung dalam air yang berkeladak. Sebuah 'punching bag' juga kelihatan di ruang depan. Rumah tersebut dikelilingi dengan pokok manggis, jambu batu, kelapa dan pisang.


Menurut Mohd Saat lagi, Mas Selamat tinggal di tingkat bawah rumah yang telah dibersihkan Dia dipercayai menyewa rumah itu daripada seorang lelaki bernama Johar, yang tinggal di tingkat atas rumah bersama isteri dan dua anak kecil. Penduduk kampung berkata, Johar dan keluarganya juga hidup bersendiri dan tidak melibatkan diri dengan aktiviti kampung. "Mereka juga tidak pernah didatangi tetamu," kata Mohd Saat. (Sumber Mstar Online dll. AK).


Sila lihat lanjut di blog ini..

Friday, May 8, 2009 Mas Selamat Disyaki Pengganas JI Guna Pelampung Larikan Diri.

Friday, May 8, 2009 Mas Selamat Pemimpin JI (?) Ditangkap Di Malaysia..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails