Monday, May 11, 2009

Isytihar Mahkamah Tinggi, Ir Nizar MB Sah!


KUALA LUMPUR Isnin Mei 11, 2009. Mahkamah Tinggi sebentar tadi mengisytiharkan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin dari Pakatan Rakyat sebagai Menteri Besar Perak yang sah. Hakim DatukAbdul Aziz Abdul Rahim memutuskan perkara itu selepas mendapati kerusi itu tidak kosong kerana Nizar tidak pernah meletak jawatan. Nizar telah kehilangan jawatan tersebut awal Februari berikutan krisis politik Perak.

Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir telah memohon agar menangguhkan pelaksanaan keputusan sementara mahu mengemukakan rayuan. Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim mula membacakan kertas penghakiman bermula kira-kira 2.30 petang. Nizar daripada Pakatan Rakyat memfailkan kesnya 13 Februari lalu supaya mahkamah mengisytiharkan beliau sebagai Menteri Besar yang sah. Nizar, 52, dilantik sebagai Menteri Besar pada 17 Mac 2008 setelah pakatan DAP, Pas dan PKR menang 31 daripada 59 kerusi dalam pilihan raya umum 8 Mac 2008.

Bagaimanapun pada 4 Februari lalu, tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak daripada Pakatan memutuskan untuk keluar daripada parti masing-masing untuk menjadi ADUN Bebas tetapi menyokong BN. Tindakan itu menyebabkan BN secara automatik telah memiliki sokongan majoriti dalam DUN Perak. Sultan Perak Sultan Azlan Shah telah berkenan melantik Zambry sebagai Menteri Besar yang baru pada 6 Februari lalu. Nizar dalam afidavitnya berkata, beliau masih Menteri Besar atas alasan tidak ada sebarang undi tidak percaya dibuat terhadapnya dalam DUN dan beliau juga tidak meletak jawatan.

Semasa prosiding Khamis lalu, peguam utama yang mewakili Mohammad Nizar, Sulaiman Abdullah memberitahu mahkamah bahawa krisis politik di Perak boleh diselesaikan dengan memberikan semula mandat kepada rakyat untuk memilih pemimpin mereka. Zambry diwakili peguam Datuk Cecil Abraham, Sunil Abraham dan Farah Shuhadah Razali manakala Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail bertindak sebagai pencelah. (Sumber Mystar Online dll. AK)

1 comment:

Qorie Afifi said...

Taniah buat mahkamah ! Dan keputusan ini sebenarnya mengejutkan jutaan rakyat Malaysia. Yang lebih mengejutkan lagi adalah nasib Camry yang pernah dikeluarkan tawaran lelong oleh En. Zambry serta SUK yang pernah jerkah Nizar depan Sultan. Selepas ini kita akan saksikan apakah ada tuntutan dari Nizar melalui mahkamah tentang beberapa kontrak yang pernah di tandatangai oleh Zambry yang perlu di batalkan sekiranya keputusan rayuan En. Zambry mengalami kegagalan.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails