Tuesday, May 12, 2009

Zamri Tetap Meneruskan Tugasnya Sebagai MB, Nizar & 7 Exconya Keluar..


SELASA Mei 12, 2009. PUKUL 1.20 tengah hari tadi Mahkamah Rayuan mengumumkan keputusan yang membolehkan Zambry kekal sebagai Menteri Besar sehingga Mahkamah Rayuan menyelesaikan kes rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah. Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Ramly Ali membenarkan permohonan Zambry bagi penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Ramly juga berkata, mahkamah akan menetapkan tarikh awal untuk mendengar rayuan Zambry. Kata Ramly, beliau berpuas hati bahawa terdapat keadaan khas untuk membenarkan penangguhan pelaksanaan keputusan itu kerana rayuan Zambry akan dianggap sebagai tidak berguna jika penangguhan itu tidak dibenarkan. Dalam pada itu, Zambry ketika ditemui di sini pukul 2 petang tadi berkata, "saya berharap ia (keputusan Mahkamah Rayuan) akan dihormati sebagaimana saya hormati keputusan mahkamah semalam."

Kata Zambry, pihaknya akan kembali untuk menjalankan tugas di bangunan SUK seperti sebelum ini. "Bila-bila boleh, saya tak seperti mereka (Pakatan). Saya akan maklumkan anda," katanya. Difahamkan beliau akan berbuat demikian pagi esok. Sehingga petang ini bangunan SUK masih dikawal oleh anggota FRU. Tambah beliau, dengan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini segala keputusan dan ketetapan yang dibuat oleh mesyuarat Exco Nizar adalah tidak sah.

Sementara itu, ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Rayuan di Putrajaya, Zambry yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri berkata, beliau akan tetap meneruskan tugas sebagai Menteri Besar dan akan kembali ke pejabatnya bila-bila masa. Semalam Mahkamah Tinggi mengisytiharkan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin dari Pakatan Rakyat sebagai Menteri Besar sah. Pagi tadi, Zambry memfailkan rayuan berhubung keputusan mahkamah semalam.

Nizar dan barisan Exconya seramai tujuh orang keluar dari bangunan SUK pukul 2.30 petang sebagai tanda menghormati keputusan Mahkamah Rayuan tengah hari tadi. "Kami telah mengambil keputusan untuk keluar pukul 2.30 petang tadi dan kami hormati keputusan Mahkamah Rayuan walaupun belum lagi melihat kandungan keputusan lagi.

"Kami tidak mahu nanti ada pihak keluarkan notis minta kami kosongkan pejabat dan tinggalkan bangunan SUK," kata beliau pada sidang media pukul 3.30 petang tadi di Wisma DAP di sini. (2MA)

1 comment:

Anonymous said...

dulu saya fikir tindakan Nizar tersangat tidak masuk akal, tetapi sekarang saya tengok sebenar nya Zamri yang kemaruk kuasa dan BN sangat takut berdepan dengan rakyat.... tapi dalam TV meka sentiasa mengatakan mereka mendapat sokongan rakyat?... biar betul!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails