Wednesday, May 13, 2009

Rayuan Nizar Didengar 18 Mei ini, Perintah MR Kepada Zamry Salah?


PETALING JAYA Mei 13, 2009: Mahkamah Rayuan menetapkan 18 Mei ini untuk mendengar rayuan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan semalam yang membenarkan penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi.

Tarikh itu ditetapkan selepas Mohammad Nizar memfailkan notis usul itu di pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di sini pada 2.20 petang melalui firma guaman Tetuan Leong & Tan. Kelmarin Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin ialah Menteri Besar Perak yang sah. Turut disertakan bersama notis usul itu ialah sijil supaya kes itu disegerakan.

Bagaimanapun Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Ramly Ali hari ini membenarkan Datuk Seri Dr. Zamry Abdul Kadir kekal sebagai Menteri Besar Perak sehingga Mahkamah Rayuan menyelesaikan kes rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi semalam yang mengisytiharkan Mohamad Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Dalam afidavit sokongannya, Mohammad Nizar berkata keputusan Mahkamah Rayuan semalam yang memberikan perintah kepada Zambry adalah salah dan beliau (Nizar) mengemukakan permohonan untuk membetulkan perkara itu. Mohammad Nizar berkata Mahkamah Tinggi telah membuat takrif yang betul terhadap Perkara 16 (6) Undang-Undang Tubuh Negeri Perak. Beliau berkata sekiranya perintah pelaksanaan itu diberikan, ia akan merampas haknya serta membuat keputusan Mahkamah Tinggi mengisytiharkannya Menteri Besar Perak sebagai sia-sia.

Menurutnya perintah yang diperoleh Zambry itu akan mengganggu pelaksanaan secara lancar dan baik pentadbiran kerajaan negeri Perak selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak. Mohammad Nizar juga berkata perintah berkenaan akan mengelirukan rakyat negeri itu mengenai siapakah Menteri Besar yang sah serta menjadikan keadaan politik lebih tegang dan krisis perlembagaan lebih mendalam. (2MA)

1 comment:

Anonymous said...

Kenapa satu permohonan penting yang mana terang-terang seorang Menteri Besar perlu yang sah perlu menunggu 7 hari untuk mendapatkan haknya kembali?
Sedangkan seorang pencuri tarbus yang dengan mudah merampas rumah orang dari seorang hakim yang turun bersidang hanya selepas notis 2 jam?
Pelik lagi bila mahkamah rayuan boleh bersidang dengan seorang hakim sahaja?
Bila pernah berlaku dalam sejarah mahkamah rayuan di dunia yang boleh bersidang selepas petiition masuk ke pejabat mahkamah dalam tempoh 2 jam sahaja? Alangkah pelik bila dokumen yang diserahkan oleh perayu boleh disemak dan dibincangkan dan dipersetujui untuk satu pendengaran sesingkat 2 jam?
Adakah kita rakyat marhaein pernah mendapat hak dan layanan secepat dan semesra ini?
Bagaimana pula keputusana boleh dikeluarkan dalam tempoh 2 jam kemudiannya tanpa hak penghujahan oleh telahpun disahkan tuan punya rumah?
Di manakah keadilan ini?
Adakah para hakim di Malaysia ini sudah pasti tidak akan mati?
Atau hakim di Malaysia ini begitu warak tahajud dan berzikir malam dan berada dimaqam yang amat tinggi yang tidak boleh disentuh oleh malaikat munkar dan nankir?
Mungkin para hakim ada kelebihan dan tau bila akan mati dan boleh bersedia untuk alam barzakh dengan kelapangan, tidak seperti rakyat marhain?

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails