Monday, November 14, 2022

Serangan bom Istanbul, siapa? & Air, PH 30 bulan..

 

Pasukan forensik menjalankan siasatan di lokasi letupan bom yang menggegarkan Istanbul pada petang Ahad - AFP

1. Wanita dalang serangan bom di Istanbul

ISTANBUL: Letupan bom yang menggegarkan jalan tumpuan orang ramai membeli belah di ibu kota ini pada petang Ahad, disyaki didalangi suspek wanita, kata Naib Presiden Turkiye.

Pasukan forensik kini berada di lokasi bagi menyiasat kejadian terbabit. Agensi berita Anadolu melaporkan, lima pendakwa raya ditugaskan menyiasat insiden letupan itu.

Setakat ini, enam mangsa dilaporkan menjadi korban serangan ganas itu, manakala lebih 50 cedera. 

Terdahulu, Gabenor Istanbul, Ali Yerlikaya, berkata kejadian menggemparkan itu berlaku di Istiklal Street, di kawasan Dataran Taksim, pada jam 4.20 petang waktu tempatan.

Setakat ini, pihak berkuasa masih menyiasat punca sebenar letupan berkenaan, yang turut dirakam saksi dan ditularkan menerusi media sosial sejurus kejadian.

Jumlah sebenar mangsa yang terkorban dan cedera akibat letupan bom itu masih dalam siasatan dan belum dikeluarkan secara rasmi oleh pihak berkuasa Turkiye.

Seorang saksi, Cemal Denizci, 57, mendakwa berada dalam jarak kira-kira 50 meter ketika terdengar bunyi letupan yang teramat kuat itu.

"Asap tebal menyelubungi ruang udara sejurus letupan terbabit. Saya sempat melihat beberapa orang terbaring.

"Letupan terbabit membuatkan orang ramai panik dan lari bertempiaran.

"Ibu bapa segera mendapatkan anak masing-masing ketika berusaha menyelamatkan diri dan lari dari lokasi kejadian," katanya kepada AFP.

Wartawan AFP di lokasi melaporkan, anggota keselamatan mengepung kawasan kejadian kerana bimbang letupan kedua berlaku, selain siasatan sedang dijalankan di lokasi.

Visual kejadian itu yang disebarkan menerusi media sosial menunjukkan letupan berlaku disusuli dengan api yang mencetuskan suasana panik menyebabkan orang ramai bertempiaran lari untuk menyelamatkan diri.

Sebuah kawah hitam besar juga kelihatan dalam visual yang ditularkan dengan beberapa mayat kelihatan bergelimpangan di atas tanah berhampiran kawasan terbabit.

Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, dalam kenyataannya, mengecam serangan terbabit dan menegaskan pihak yang mendalangi kejadian itu akan dihukum.

"Tanda awal menunjukkan, kejadian itu mungkin satu bentuk serangan keganasan," katanya sebelum berlepas untuk menghadiri Sidang Kemuncak G-20 di Indonesia.

Istiklal Street adalah lokasi tumpuan pengunjung, termasuk pelancong untuk membeli-belah.

Kawasan terbabit dilaporkan pernah menjadi sasaran siri serangan bom oleh pengganas pada 2015 dan 2016.

Serangan yang didakwa didalangi oleh kumpulan IS itu, dilaporkan membunuh hampir 500 mangsa dan mencederakan lebih 2,000 orang. - Agensi


2. Apa PH buat untuk tangani isu air di Kelantan  

KOTA BHARU: Sepanjang tempoh 30 bulan Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), banyak pembaharuan dilakukan terutamanya bagi menyelesaikan masalah bekalan air di Kelantan.

Bagaimanapun katanya, masalah tersebut terus menjadi modal Pakatan Harapan (PH) memburuk-burukan kerajaan negeri dan PAS bagi mengaburi mata pengundi sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Sebaliknya kata beliau apa yang dibuat kerajaan PH ketika diberi peluang mentadbir negara selama 22 bulan bagi menyelesaikan masalah di Kelantan yang ketinggalan daripada mendapat peruntukan Pusat sebelum ini.

“PH pernah memerintah selama 22 bulan, apa yang dilakukan selama tempoh itu di Kelantan.

“Cuma saya hendak tegaskan bahawa isu yang sering tular di media sosial mengenai isu air, alhamdulillah kita berjaya siapkan pembinaan beberapa loji rawatan air (LRA), bukan kita selesai secara total,” katanya pada sidang media di Pusat Media PAS PRU15 di sini hari ini.

Beliau yang juga penyandang kerusi Parlimen Kubang Kerian berkata, sebelum pembubaran Parlimen KASA merangka pelan jangka pendek dan pelan jangka panjang bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Antaranya pembinaan LRA Kampung Teluk di Panji dengan kapasiti 30 Juta Liter Sehari (MLD) di bawah peruntukkan Kerajaan Persekutuan serta LRA Mini Telok Mesira Bachok dengan 2 MLD di bawah kerajaan negeri.

Selain itu penukaran 511 kilometer paip uzur jenis asbestos cement (AC) secara berperingkat dengan anggaran kos RM218 juta.

Sehingga sekarang sepanjang 106.2 kilometer telah diganti secara berperingkat yang melibatkan keseluruhan laluan paip sepanjang 4,491 kilometer.

“Begitu juga LRA Mini Ketereh di bawah pembiayaan kerajaan negeri dengan kapasiti 8 MLD dan LRA Mini Jelawat menghasilkan 4 MLD, selain itu Program Pengurangan Air Tidak Berhasil (NRW).

“Setelah semua LRA baharu beroperasi kapasiti penuh, kadar liputan bekalan air dijangka dapat ditingkatkan daripada 73.1 peratus kepada lebih 80 peratus dalam usaha kita menyelesaikan masalah bekalan air,” katanya.

Selain itu pembinaan rintangan air rendah (low wier) di Sungai Pahi, Kuala Krai dan Sungai Pengkalan Datu dengan kos keseluruhan sebanyak RM35 juta secara geran dan akan siap sepenuhnya pada Mac 2025.

Sementara itu bagi menyelesaikan masalah air secara jangka panjang pihaknya merancang membina Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) di Kampung Labok Machang yang mampu menghasilkan air 500 MLD.

Katanya kajian Pembangunan Sumber Air Negeri Kelantan (Fasa 2) sedang dijalankan bermula 26 Januari 2022 dalam tempoh 18 bulan untuk mengkaji potensi pembangunan sumber air permukaan di lembangan sungai di Kelantan.

“Keperluan untuk rakyat buat masa sekarang tidak sampai 500 MLD, komponennya ada tiga, satu takungan untuk menyediakan bekalan air dan tebatan banjir.

“Jadi kita manfaatkan program dwi fungsi dalam pembinaan TAPS, yang kedua LRA dan ketiga penukaran sistem paip di LRA untuk membekalkan bekalan air mencukupi kepada LRA berdekatan,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/11/2022

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Serangan bom Istanbul, siapa? & Air, PH 30 bulan..

Air, PH 30 bulan.. Banyak pembaharuan dilakukan Tuan Ibrahim Tuan Man menggalas tanggungjawab terutamanya bagi menyelesaikan masalah bekalan air di Kelantan.

Bagaimanapun, masalah tersebut terus menjadi modal PH memburuk-burukan kerajaan negeri Kelantan dan PAS bagi mengaburi mata pengundi sempena PRU15 ini.

Memang PH kokok berderai, ekor bergelomang najis..

Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails