Thursday, November 17, 2022

BERSATU pertahan kestabilan. Kluster mahkamah PH...

 


1. BERSATU pertahan kestabilan negara

BERSATU menjadi anggota PH sebelum PRU-14 dengan satu tujuan untuk menyelamatkan negara daripada kerosakan yang dibuat oleh kerajaan kleptokrat BN. 

Pada masa yang sama, sebagai sebuah parti politik pribumi yang juga turut disertai oleh orang bukan-Melayu sebagai ahli bersekutu, BERSATU mempunyai dasar perjuangan yang sederhana atau moderate  sesuai dengan realiti Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum.

Perlembagaan BERSATU menetapkan perjuangan BERSATU antara lain adalah untuk:

● Mempertahankan hak keistimewaan Bumiputera dan hak-hak yang sah bagi semua kaum;

● Memelihara agama Islam sebagai agama Persekutuan serta menjamin hak semua individu untuk mengamalkan ajaran agama masing-masing; 

● Menjunjung kemuliaan institusi Raja-raja Melayu; dan 

● Mempertahankan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan serta menjamin hak kaum-kaum lain untuk mempelajari bahasa ibunda masing-masing.

Dengan mengamalkan dasar perjuangan parti yang moderate inilah kita dapat menjamin kestabilan negara dan keharmonian rakyat berbilang kaum dan agama di Malaysia. Inilah amalan di negara kita sejak zaman berzaman yang menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang aman, makmur dan stabil.

Namun, apabila PH menjadi kerajaan, kestabilan ini mula diganggu-gugat dari dalam kerajaan sendiri. Saya yang berada di dalam Majlis Presiden PH dan Kabinet Kerajaan PH melihat sendiri apa yang berlaku di depan mata saya.

Ada agenda tertentu yang dibawa oleh DAP yang dominan di dalam PH. Perkara-perkara ini ada kaitan pula dengan tugas saya selaku Menteri Dalam Negeri pada waktu itu.

Antaranya ialah tindakan DAP menggesa supaya Akta Hasutan dimansuhkan. Selaras dengan Manifesto PH untuk mengkaji undang-undang yang dikatakan zalim, saya telah menubuhkan sebuah jawatankuasa di KDN yang dianggotai oleh pakar-pakar untuk mengkaji cadangan ini.  

Jawatankuasa ini kemudiannya melaporkan kepada saya bahawa Akta Hasutan tidak boleh dimansuhkan begitu sahaja kerana ia melibatkan kedudukan istimewa Raja-raja Melayu di bawah Perlembagaan Persekutuan. Di bawah Akta ini, adalah menjadi suatu kesalahan bagi mana-mana pihak untuk menimbulkan kebencian terhadap Raja-raja Melayu dengan tujuan untuk menghasut. Bertindak atas nasihat pakar, saya menangguhkan pemansuhan Akta Hasutan sehingga kajian yang lebih terperinci dibuat.

Tetapi, pemimpin DAP kecam saya secara terbuka kerana kononnya saya gagal memansuhkan Akta Hasutan. Sedangkan apa yang saya buat ialah mempertahankan kedudukan Raja-raja Melayu yang selaras dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan asas perjuangan BERSATU yang termaktub dalam Perlembagaan parti.

Saya tahu jika saya turuti kehendak DAP, institusi Raja-raja Melayu akan terdedah kepada penghinaan, keharmonian rakyat berbilang kaum di Malaysia akan tergugat dan kestabilan negara kita akan terancam.

Walau apa pun tuduhan yang mereka lemparkan terhadap saya dan pimpinan lain dalam BERSATU, kami tegas mempertahankan kestabilan negara. Inilah dasar perjuangan kami.

TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN

Pengerusi PERIKATAN NASIONAL – HARAKAHDAILY 15/11/2022


2. Mengapa kluster mahkamah PH masih bertanding PRU15? 

PAKATAN HARAPAN acapkali menyatakan keteguhan pegangan mereka terhadap prinsip dan integriti dan inilah yang diperjuangkan mereka terutamanya ketika PRU 15 kali ini.

Pakatan Harapan sebelum PRU 15 menyatakan bahawa mereka tidak akan mengadakan kerjasama dengan ‘Kleptokrat’ yang dirujuk kepada ‘Kluster Mahkamah’ daripada Umno demi prinsip dan integriti.

Berdasarkan ketegasan atas prinsip tersebut menyebabkan pada 2021 Pakatan Harapan mahu mengkaji semula MOU Kerjasama antara Kerajaan dan Pakatan Harapan yang dimenterai sebagai usaha untuk menstabilkan ‘suhu’ politik negara yang panas pada ketika itu.

Jika berpegang pada prinsip dan integriti tersebut, Pengerusi Kebangsaan DAP Lim Guan Eng dan Presiden Muda, Syed Saddiq juga tergolong dalam ‘Kluster Mahkamah’ ataupun ‘Kleptokrat’ kerana mempunyai kes yang sedang dibicarakan di mahkamah atas tuduhan rasuah.

Oleh itu Pakatan Harapan sewajar tidak mencalonkan Lim Guan Eng dan Syed Saddiq untuk bertanding pada PRU kali ini sehingga kes mereka selesai dibicarakan di mahkamah berdasarkan penolakan dan kenyataan-kenyataan mereka sebelum ini terhadap ‘Kluster Mahkamah’ dari Umno.

Persoalannya,

Mengapa Lim Guan Eng dan Syed Saddiq dicalonkan dan bertanding pada PRU kali ini jika berpegang teguh pada prinsip dan integriti?

Adakah selama ini prinsip dan integriti hanya cakap-cakap kosong Pakatan Harapan dan telah hilang bila menjelmanya PRU kali ini?

Adakah selama ini segala kenyataan mengenai PRINSIP dan INTERGRITI hanya umpama melepaskan batuk di tangga?

Sewajarnya Pakatan Harapan perlu memberikan penjelasan kepada rakyat Malaysia.

YB DR MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI Pengerusi Lajnah Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.-HARAKAHDAILY 16/11/2022

Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails