Saturday, August 20, 2022

Tutup Crackhouse, syabas DBKL! & 3 syor dasar halal.

 

1.  Tutup Crackhouse selamanya: Syabas DBKL

KUALA LUMPUR: “Tahniah dan syabas diucapkan kepada kepada pihak-pihak berwajib yang telah mengambil tindakan segera di dalam menyelesaikan isu-isu seperti ini,” ujar Pengarah Jabatan Tarbiyah dan Perkaderan PAS Pusat, Ustaz Noor Najhan Mohamad Salleh.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan bahawa pemilik Crackhouse Comedy Club (Crackhouse) yang telah disenarai hitam seumur hidup daripada mendaftarkan lesen perniagaan mana-mana premis di sekitar ibu negara ini.

Ia adalah merujuk kepada kenyataan media Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, semalam yang berkata Jawatankuasa Pelesenan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang bermesyuarat pada 29 Julai lepas, bersetuju membatalkan lesen perniagaan kelab komedi berkenaan berkuat kuasa 30 Julai lalu.

Sehubungan itu, DBKL  juga mengumumkan telah mengambil keputusan untuk menyenaraihitamkan pemilik kelab berkenaan daripada mendaftarkan lesen perniagaan di Kuala Lumpur buat selama-lamanya. 

“Ini bermakna pemilik kelab itutidak boleh mendaftarkan sebarang aktiviti perniagaan di Kuala Lumpur walaupun menggunakan nama dan syarikat berlainan selepas ini,” ujar Jalaluddin. 

Mengulas lanjut, Ustaz Noor Najhan berkata, keputusan DBKL itu sesuatu yang wajar dan tepat.    

Menurut beliau, tindakan tegas terhadap kelab komedi tersebut perlu dibuat dalam menunjukkan ‘izzah’ agama itu sendiri. 

“Di sini, kita perlu melihat apa jua unsur-unsur atau elemen yang boleh mengganggu kemurnian agama walaupun dilakukan oleh penganut agama tersebut  khususnya agama Islam. 

“Izzah adalah merujuk kepada kesucian atau kemuliaan, sebuah harga diri dan kehormatan perempuan sebagai seorang Muslimah,” ujarnya kepada HarakahDaily.

Beliau turut memberitahu bahawa tidak dapat dinafikan dalam kehidupan ini, sebahagian daripada masyarakat kita memerlukan hiburan. 

Namun begitu, setiap hiburan yang akan ditayang dan dipersembahkan di mana-mana tempat terbuka mahupun tertutup seharusnya memerlukan garis panduan yang lengkap agar ia tidak menyentuh sensitiviti agama Islam, mahupun agama-agama lain di negara ini.

“Ia bukan perkara yang boleh dibuat main-main,” tegasnya..  

Nuridah Mohd Salleh

Dalam masa yang sama, Noor Najhan  turut menyarankan agar bukan setakat DBKL sahaja yang mengambil tindakan tegas sebegitu. 

“Malah, kebersamaan semua pihak termasuk masyarakat awam juga memainkan peranan penting untuk turut melaporkan kepada pihak berwajib agar diambil tindakan yang sepatutnya.

“Secara tidak langsung ia dapat mencegah perkara-perkara yang tidak sepatutnya berlaku lagi pada masa hadapan. 

“Pihak berkuasa tempatan di lain-lain tempat atau negeri juga perlu mengambil tindakan segera yang sama seperti yang telah dilakukan oleh pihak DBKL kepada pemilik Crackhouse Comedy Club,” ujarnya.

Menurut beliau, hal ini supaya perkara ini dijadikan sebagai peringatan kepada pihak yang cuba bermain  dengan sensitiviti agama di negara ini. 

Sehubungan itu, Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh  pula berkata, arahan daripada Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama supaya tindakan tegas dilakukan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) juga membuktikan komitmen untuk mengelakkan agama Islam dipersendakan. 

Menurutnya, tindakan tegas perlu diambil dengan segera supaya rakyat tidak menjadikan agama sebagai bahan lawak. 

“Syabas atas tindakan pantas DBKL yang telah menggantung sementara operasi premis berkenaan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah menahan wanita tersebut (Siti Nur Amira Abdullah). 

“Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan menyeru rakyat Malaysia agar tidak menjadikan agama sebagai bahan sendaan dan semua pihak mesti bekerjasama untuk menghalang perkara sebegini dari berleluasa demi keharmonian negara,” katanya menerusi kenyataan di laman sosialnya pada 15 Julai yang lalu.

Nuridah turut menyeru agar semua pihak tidak menjadikan agama sebagai bahan sendaan dan mesti bekerjasama menghalang perkara sebegini dari berleluasa demi keharmonian negara.

Terdahulu pada 13 Julai lalu, media melaporkan Crackhouse Comedy Club di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), di sini, yang digantung sementara operasi oleh DBKL pada 10 Julai lalu didapati tidak mempunyai lesen hiburan sejak 2014 hingga 2017.

Jalaluddin dilaporkan berkata, pemilik premis itu hanya diberikan lesen restoran dan minuman keras tetapi sebenarnya tidak mempunyai lesen hiburan.

Sebelum ini, media melaporkan pengasas dan pemilik bersama Crackhouse Comedy Club, Rizal Van Geyzel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga tuduhan memuat naik video di tiga platform media sosialnya yang menyentuh isu sensitiviti perkauman pada 22 Julai lalu.

Rizal menjadi tumpuan kontroversi selepas video yang tersebar di media sosial menyebabkan pihak tertentu tidak berpuas hati dengan persembahan komedinya.

Sebelum itu, kontroversi telah dicetuskan oleh Siti Nuramira, 26, yang tular selepas menanggalkan baju kurung dan tudungnya di kelab komedi tersebut sebelum wanita itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebabkan suasana tidak harmoni menggunakan agama dalam  kalangan sesama Islam di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 13 Julai lalu.

Teman lelaki wanita berkenaan, penulis bebas, Alexander Navin Vijayachandran turut didakwa di mahkamah berasingan atas tuduhan memuat naik kandungan jelik di media sosial pada hari sama. – HARAKAHDAILY 18/08/2022

2. Bajet 2023: Dewan Melayu saran 3 syor perkasa Dasar Halal Negara  

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) disaran membuat penyelarasan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mempermudahkan perusahaan mikro dan kecil (PMK) mendapat pensijilan halal.

Ia antara tiga cadangan dikemukakan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (Dewan Melayu) bagi menyokong usaha JAKIM memperkasa ekonomi halal melalui Dasar Halal Negara yang akan dimasukkan dalam Bajet 2023.

Presiden Dewan Melayu, Dr Abdul Halim Husin, berkata cadangan itu berikutan PMK yang merangkumi lebih 76 peratus daripada keseluruhan syarikat berdaftar di Malaysia dan menyumbang lebih 34 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), berdepan kesukaran mendapat pensijilan halal kerana keperluan lesen PBT.

"Maka, terdapat keperluan penyelarasan di peringkat JAKIM dan PBT dalam mempermudahkan keperluan ini untuk pensijilan halal JAKIM dengan penetapan prosedur mudah bagi membantu usahawan PMK," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Halim turut mencadangkan JAKIM melaksanakan audit secara terus di negara pengeluar produk halal luar negara, berbanding melakukannya menerusi badan pengiktirafan halal negara berkenaan.

Katanya, ia berikutan isu pematuhan proses bahan mentah serta penyembelihan yang meragukan dikesan ketika ini, seperti beberapa kes yang berlaku di Australia.

Jelasnya, cadangan itu boleh dilaksanakan dengan JAKIM menawarkan kepakaran dalam bidang pensijilan halal dan meletakkan keperluan syarat untuk mengambil eksekutif halal (HE) dari Malaysia.

"Menerusi kaedah ini, kita dapat meningkatkan peluang pekerjaan HE di luar negara, di samping memantau proses halal di kilang berkenaan. Logo Halal JAKIM juga dapat ditingkatkan dan dijamin mutunya," katanya.

Saran JAKIM iktiraf badan pensijilan halal Asia

Abdul Halim turut menyarankan JAKIM mengiktiraf badan pensijilan halal Asia bagi membolehkan industri di Malaysia membeli bahan mentah dalam kalangan negara Asia, walaupun kilang itu mempunyai sijil halal negara lain.

"Menerusi pengiktirafan ini, langkah penipuan halal dapat dielakkan sama sekali. Contohnya kilang di Vietnam, tetapi sijil halal adalah dari China," katanya.

Tegasnya, Dewan Melayu yakin potensi ekonomi halal bakal melonjak hingga mencecah AS$1.3 trilion (RM5.81 trilion) sekiranya dikembangkan ke luar negara menerusi jaminan pensijilan halal JAKIM.

Katanya, ia selaras dengan peningkatan permintaan dan kunjungan dewan perniagaan negara asing pasca pandemik COVID-19, yang mahu membincang dan mempromosikan produk halal.

Malah, katanya, perbincangan dengan dewan perniagaan asing itu juga menyentuh mengenai kepakaran dalam menyediakan ekosistem halal untuk negara luar, khususnya bagi negara bukan Islam.

"Justeru, Dewan Melayu mengesyorkan kerajaan dapat mengambil kira input ini dalam Bajet 2023, yang akan memperkasakan Dasar Halal Negara secara tuntas," katanya. (BH)


Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

1 comment:

Anonymous said...

Senarai konsert sampai hujung tahun ni. kut la hamba allah dua orang yang ulas ni nok bagi ulasan macam time jadi bangang dulu, dah tak menderap dah sejak dapat sagon.. ye tak

10 September 2022 - Dewa 19
1 Oktober 2022 - Fourtwnty
15 Oktober 2022 - Boys Like Girls
25 Oktober 2022 - Justin Bieber
27 Oktober 2022 - Calum Scott
3 November 2022 - Russ
6 November 2022 - LANY
25 November 2022 - Boy Pablo
2 & 3 Disember 2022 - Keshi

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails