Monday, August 15, 2022

Melihat gambar ini, Konsert Yuna 'patuh syariah'?

 

Mengubah strategi, Yuna menghasilkan lima EP yang kemudiannya digabung dalam projek album kelimanya di AS. Foto NSTP Saifullizan Tamadi

HALAMAN HIBURAN

Yuna teringin buat konsert di KL

PUCHONG: Penyanyi berpangkalan di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS), Yuna berhasrat mementaskan konsert di Kuala Lumpur selepas melihat industri kreatif tempatan kembali rancak dengan penganjuran acara persembahan.

Yuna atau nama sebenar, Yunalis Mat Zara'ai, 35, yang sudah lebih sedekad membangunkan kerjaya muzik di pasaran antarabangsa, merancang menganjurkan konsert dalam masa terdekat, namun, bergantung kepada ruang dan peluang.

"Saya ada niat tetapi semuanya masih dalam perancangan. Saya teringin hendak buat konsert di Dewan Plenari, Kuala Lumpur City Centre (KLCC) sekali lagi seperti dahulu.

"Jadi, saya harapkan tahun ini. Saya mencari masa sebab masih dalam pembikinan album kelima di AS.

"Pada masa sama, saya akan mengadakan siri jelajah mini di AS membabitkan bandaraya seperti Seattle, Portland, San Francisco, Los Angeles, Boston dan sebagainya pada awal November depan.

"Jadi, tengoklah macam mana. Mungkin saya boleh buat konsert sebelum saya pulang ke Los Angeles," katanya ditemui pada majlis resepsi perkahwinan sahabat baiknya, Aizat Amdan dan Elyssa Alia di di sebuah premis acara di sini, hari ini.

Yuna teruja mementaskan konsert kerana ramai artis melakukannya sekarang.

"Saya rasa geram untuk buat konsert. Pada 'show' itu, saya boleh nyanyi banyak lagu lama dan perlahan-lahan memperkenalkan dendangan baharu.

"Saya tahu, lagu baharu tidak mudah membuatkan peminat jatuh cinta. Jadi, perlahan-lahan saya boleh cuba," katanya.

Yuna berkata, dia terbang dari Los Angeles untuk menghadiri majlis perkahwinan Aizat dan menjayakan persembahan di Kuala Lumpur.

"Sudah tentu Aizat kahwin, saya kena balik. Alhamdulillah, kisah cinta Aizat ada naik dan turun.

"Sebagai seorang kawan yang sudah berbelas tahun bersahabat dengannya, saya nampak Aizat lelaki yang menyayangi keluarga. Saya bangga dapat panggil Aizat sebagai kawan rapat dan bekerja dengannya.

"Sekarang Aizat sudah berumahtangga, saya gembira untuknya. Akhirnya dia jumpa wanita yang sempurna buatnya. Saya lihat Aizat dan Elyssa sangat serasi dan melengkapi antara satu sama lain.

"Saya juga gembira saya dapat pulang dan meraikan hari istimewa ini dengan semua rakan dan keluarga," katanya.

Yuna berkata, dia bekerjasama dengan Aizat menerusi album bahasa Inggeris temannya itu, Ai.Z, dan teruja untuk memperdengarkan bingkisan itu kepada peminat.

"Album itu akan dilancarkan tidak lama lagi. Saya banyak tolong Aizat jalin kolaborasi dengan penerbit di AS. Kali terakhir Aizat di AS, dapatlah dia bekerjasama dengan produser di sana.

"Saya sangat bangga dengan Aizat dan tidak sangka dia boleh membawa muzik sebegitu, seperti Justin Bieber. Jadi saya teruja dengan album itu," katanya.

Pada masa sama, Yuna menggunakan masanya di Malaysia untuk merakamkan muzik video untuk album kelimanya.

"Alang-alang di sini, saya buat kerja lain. Saya buat penggambaran muzik video untuk Y4. Saya sekarang sedang membuat album terbaharu iaitu album kelima untuk pasaran AS.

"Kali ini, saya buat cara berbeza di mana saya keluarkan lima EP. Setiap EP ada tiga lagu. Saya namakan EP itu Y1, Y2, Y3, Y4 dan pada November depan, saya gabungkan semua dalam Y5.

"Saya mahu buat sedikit eksperimen untuk lihat cara peminat menerima muzik. Cara penerimaan sekarang sudah lain.

"Peminat sudah tidak mendengar album, jadi mungkin cara ini dapat memudahkan mereka," katanya yang kini bergerak sendirian tanpa mana-mana label.

Keputusan Yuna tidak bernaung di bawah mana-mana syarikat rakaman juga membuatkan dia seronok merancang perjalanan karier sendirian.

"Lebih mudah untuk saya buat keputusan. Sekarang saya ada masa untuk berehat dengan keluarga. Tidaklah saya terlalu kuat bekerja.

"Selepas pandemik COVID-19, kita ubah sikit cara lihat kehidupan dan bagaimana kita hendak menjaga kesihatan dan sebagainya," katanya yang menandatangani kontrak bersama United Talent Agency (UTA) yang menguruskan persembahannya di AS. (BH)

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Melihat gambar seperti di atas ini, adakah mampu 'Konsert Yuna' dilaksanakan berdisiplinkan 'patuh syariah'? 

Cuba fikir-fikir demi umat Islam di negara ini... Insya Allah!

Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails