Friday, August 19, 2022

7 cedera, bom bakar gegar di 17 lokasi S/Thai..

 


Siri pengeboman, kebakaran gegar selatan Thailand

BANGKOK: Sekurang-kurangnya 17 lokasi di tiga wilayah di selatan Thailand berdepan serangan bom dan letupan yang menyebabkan kebakaran hari ini, sehingga mencederakan tujuh orang awam.

Pihak berkuasa yang mengesahkan perkara itu berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan serangan berkenaan dilakukan secara terancang.

Menurut kenyataan polis dan tentera, serangan berlaku selepas waktu tengah malam tadi dengan menyasarkan kedai serbaneka dan stesen minyak.

Jurucakap tentera, Pramote Promin, berkata tiga daripada tujuh yang cedera itu membabitkan orang awam namun tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab sehingga kini.

"Penyerang dalam siri pengeboman kali ini menyamar sebagai wanita dan menunggang motosikal bagi melontarkan bom petrol ke lokasi yang disasarkan.

"Jelas bahawa kumpulan pemberontak ini kekal komited untuk menggunakan keganasan terhadap orang awam, menggugat keyakinan terhadap ekonomi, mencetuskan huru-hara dan cuba menjejaskan sistem kerajaan," katanya.

Kapten Polis, Sarayuth Kotchawong, berkata beliau menerima laporan sejurus selepas tengah malam tadi bahawa seorang susupek memasuki kedai serbaneka di sebuah stesen minyak.

"Dia meletakkan sebuah beg hitam di dalam kedai dan memberi amaran kepada kakitangan supaya segera meninggalkan premis itu jika 'tidak mahu mati'.

"Semua kakitangan berjaya keluar dan letupan berlaku kira-kira 10 minit kemudian," katanya.

Serangan terkini itu berlaku selepas kerajaan Thailand pada awal tahun ini memulakan kembali perbincangan dengan kumpulan pemberontak utama, Barisan Revolusi Nasional (BRN), selepas ia ditangguhkan selama dua tahun akibat wabak COVID-19.

Pertubuhan Pembebasan Bersatu Patani (PULO), yang diketepikan daripada usaha terbaru rundingan itu, melakukan pengeboman pada Ramadan lalu kerana mendakwa dialog terbabit tidak bersifat inklusif.

Namun, kerajaan sebelum ini menyatakan bersedia untuk berbincang dengan semua kumpulan.

Ketua pertubuhan itu, Kasturi Makhota, bagaimanapun memberitahu Reuters bahawa PULO tiada kaitan dengan serangan pada hari ini.

Serangan itu adalah yang paling berprofil tinggi sejak awal April, apabila kerajaan Thai dan BRN Melayu Patani iaitu kumpulan pemberontak yang dipercayai terbesar di Thailand, ​​bersetuju untuk menghentikan keganasan semasa bulan Ramadan lalu.

Wilayah selatan Thailand di sepanjang sempadan dengan Malaysia menyaksikan pemberontakan selama berdekad lamanya.

Kerajaan Thailand juga sekian lama berusaha memerangi kumpulan itu, yang menuntut kemerdekaan untuk wilayah Pattani, Yala, Narathiwat dan sebahagian Songkhla, di mana majoriti penduduknya beragama Islam.

Penduduk Islam di situ mendakwa mereka dilayan seperti warga kelas kedua di Thailand dan gerakan pemisah dilihat bergerak cergas secara berkala sejak beberapa dekad lalu.

Menurut kumpulan pemantau keganasan itu, Deep South Watch, lebih 7,300 orang terbunuh dalam konflik itu sejak 2004.

Walaupun ada rundingan damai yang bermula pada 2013, semua usaha yang diambil setakat ini menemui jalan buntu. - AGENSI.


Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails