Friday, June 03, 2022

Bau Busuk, jabatan berwibawa bertindak terus. Xmacam PH. Ini..

 

Pemandangan sekitar Black Lake di Bandar Mahkota Cheras, Selangor yang tular dikongsi di media sosial, semalam (FOTO Facebook Rozie Roziah)

1. Bandar Mahkota Cheras berbau busuk: Tuan Ibrahim arah JAS siasat

KUALA LUMPUR: Susulan isu sebahagian penduduk sekitar Bandar Mahkota Cheras terpaksa menghidu bau busuk dipercayai berpunca daripada sebuah tasik kuari dikenali sebagai Black Water Lake (Black Lake) dikhuatiri tercemar telah mendapat perhatian Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man semalam telah mengarahkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) agar segera menjalankan siasatan.

Aduan mengenai pencemaran bau dan tasik itu dipercayai berpunca daripada aktiviti pembuangan sampah secara haram sejak Disember lalu sehingga mengganggu keselesaan penduduk sebelum ini ditularkan seorang penduduk tempatan melalui akaun Facebooknya. Rozie Roziah.

Rozie berkongsi info dan foto terkini dengan FB Komuniti Bandar Mahkota Cheras pada Selasa, tentang keadaan tasik berkenaan dan mendakwa bau busuk itu berpunca daripada tasik itu.

Sehubungan itu, siasatan mendapati kejadian berpunca daripada tapak pembuangan sampah haram di Seksyen 5, Bandar Mahkota Cheras dengan keluasan tapak lebih kurang 1 ekar serta berdekatan kolam takungan semula jadi. 

“Air kolam berwarna hitam, penuh sampah sarap dan berbau busuk. Semalam (Selasa) juga, pihak MPKj (Majlis Perbandaran Kajang) telah menutup tapak pelupusan sampah haram tersebut. Operasi turut dihadiri oleh JAS, LUAS, Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat dan Ahli Parlimen Bangi.   

Gambar Black Lake dari atas yang juga tular di media sosial, semalam. (FOTO Facebook Razi Mokhtar)

“Pengukuran ke atas air kolam takungan telah dijalankan dan mendapati Dissolved Oxigen (D.O) kurang daripada 3 mg/l dan bacaan pH 9. 

“Kes telah diserah kepada MPKj dan Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat untuk tindakan lanjut di bawah bidangkuasa jabatan tersebut,” ujar Rozie dalam hantaran FB miliknya itu.

Sementara seorang lagi pengguna FB, Razi Mokhtar berkongsi foto tasik berkenaan dengan kapsyen “Next to the blue lake…full of rubbish! (Penuh sampah sarap…bersebelahan tasik biru!).

Terdahulu, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) semalam dilaporkan telah menutup laluan masuk ke Black Lake yang terletak berdekatan Seksyen 5 Bandar Mahkota Cheras yang mana anggota penguat kuasa ditempatkan di lokasi itu bagi pemantauan berkala, selain pemilik tanah persendirian itu sedang dikenal pasti. – HARAKAHDAILY 2/6/2022

2. Tiada pelupusan buangan terjadual di Black Lake – JAS 

Keadaan di Black Water Lake (Black Lake) di Bandar Mahkota Cheras, di Selangor setelah menjadi tempah pelupusan sampah haram. Foto dirakam pada 2 Jun 2022 oleh HARAKAHDAILY/MUHAMMAD ZHARIF ZULKIFLEE

KUALA LUMPUR: Tiada pelupusan buangan terjadual atau sebarang aktiviti pembakaran terbuka berlaku di tapak pembuangan sampah haram di Black Water Lake (Black Lake), di Bandar Mahkota Cheras, di sini berdasarkan siasatan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Ketua Pengarah Alam Sekitar, Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, ujian ke atas kualiti air kolam takungan itu mendapati airnya bersifat alkali dengan kadar oksigen yang sangat rendah akibat daripada aktiviti pelupusan sisa domestik.

“Siasatan mendapati tiada pelupusan buangan terjadual dan aktiviti pembakaran terbuka yang tertakluk dibawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Bau busuk berpunca daripada kolam takungan semula jadi yang telah dijadikan tapak pelupusan haram sisa pembinaan dan sampah domestik.

“Air kolam takungan didapati berwarna hitam, berbau busuk dan dipenuhi dengan sampah sarap,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Menurut Wan Abdul Latiff, aktiviti pelupusan sisa pembinaan dan sampah domestik tertakluk di bawah Seksyen 34A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi Jadual Kedua Aktiviti 14: Pengolahan dan Pelupusan Buangan, Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Ditetapkan) (Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling) 2015.

Justeru menurutnya, aktiviti pelupusan sampah haram itu boleh diambil tindakan atas kesalahan tiada kelulusan laporan penilaian kesan alam sekitar (ΕΙΑ).

Beliau berterima kasih kepada orang awam yang membantu memberi maklumat mengenai aktiviti yang mencemarkan alam sekitar.

“JAS memandang serius dan sentiasa mengambil tindakan tegas serta tiada kompromi terhadap penjenayah alam sekitar,” ujarnya.

Orang awam disaran melaporkan aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari atau e-mel ke aduan_k@doe.gov.my dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my. – HARAKAHDAILY 2/6/2022

3. Pulihkan Black Lake kembali kepada asal – MPKj 

Sampah sarap memenuhi sebahagian permukaan Black Lake, di Bandar Mahkota Cheras, Selangor pada 2 Jun 2022. Foto HARAKAHDAILY/MUHAMMAD ZHARIF ZULKIFLEE

KAJANG: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) memberi syarat kepada pemilik tanah tapak pembuangan sampah haram di Black Water Lake (Black Lake), di sini, supaya memulihkan lokasi berkenaan.

Pegawai Perhubungan Awam, Unit Perancangan Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Kamarul Izlan Sulaiman berkata pihaknya kini dalam usaha mengenal pasti pemilik tanah berkenaan sebagai langkah untuk menjalankan tindakan undang-undang kepada pemilik atas kejadian itu.

“Hasil lawatan bersama beberapa agensi tempoh hari, kita mensyaratkan kepada pemilik untuk pulihkan tanah ini supaya kembali kepada asal. Ini salah satu tindakan tidak bertanggungjawab oleh pemilik dengan membiarkan tanah milik mereka dijadikan tempat pembuangan sampah.

“Ini boleh menimbulkan keresahan penduduk setempat dan menyebabkan pencemaran alam sekitar,” katanya kepada HarakahDaily ketika ditemui selepas menyita tapak pembuangan sampah haram itu, di Bandar Mahkota Cheras, di sini, hari ini. 

Kamarul Izlan Sulaiman ketika ditemui Harakahdaily semasa membuat tinjauan di Black Lake. Foto HARAKAHDAILY/MUHAMMAD ZHARIF ZULKIFLEE.

Menurut Kamarul Izlan, MPKj melihat serius kejadian itu dan berharap untuk menyelesaikannya secepat mungkin.

Katanya, kemungkinan terdapat tindakan susulan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) daripada hasil tinjauan bersama pada Selasa yang juga disertai Ahli Parlimen Bangi, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) serta Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Hulu Langat.

Ditanya jika MPKj mempunyai solusi berhubung bau busuk yang di dakwa penduduk berkemungkinan berpunca daripada sebab lain, kata Kamaruzl Izlan, MPKj tidak mempunyai kepakaran untuk mengesahkannya.  

Black LLake sebelum menjadi tapak pelupusan sampah haram. Foto Google Izaq Aidil.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan MPKj akan memantau lokasi berkenaan.

“Tindakan MPKj, kita boleh kawal aktiviti di mana kita sudah sita lebih kurang enam atau tujuh buah lori yang membuang sampah dalam kawasan ini dalam tempoh tiga bulan kebelakangan ini.

“Kita juga buat kawalan secara statik, tetapi tidak 24 jam, kawalan hanya secara berkala untuk memastikan aktiviti ini tidak berlaku,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/6/2022

4. Lebih busuk daripada bau bangkai, adakah bahan toksik?- penduduk  

Pemandangan di sekitar Black Lake berhampiran Seksyen 5, Bandar Mahkota Cheras, Selangor pada 2 Jun 2022. (FOTO HARAKAHDAILY/SYAHIRAH SALLEH)

KAJANG: Penduduk Taman Seri Budiman, Abdullah Hadaran, 51, mendakwa bau busuk yang dipercayai berpunca daripada tapak pembuangan sampah haram di Black Water Lake (Black Lake) berhampiran kawasan perumahannya tidak mengeluarkan bau sepanjang masa.

Menurutnya, aliran air dalam longkang bersebelahan rumahnya yang dipercayai mengalir dari Black Lake hanya mengeluarkan bau pada waktu tertentu seawal pagi dan tengah malam sejak tiga bulan kebelakangan ini.

“Dalam tempoh seminggu, akan ada sekali atau dua air busuk itu mengalir dalam longkang tersebut seolah-olah ia dilepaskan ke situ. Kadang-kadang tengah malam ataupun pagi, biasa pagi semasa penduduk keluar hendak pergi kerja.

“Bau dia semerbak, Allahu Akbar, susah untuk gambarkan, melekat pada baju, masuk dalam rumah, bau macam bau bangkai, busuk amat sangat,” katanya ketika ditemui HarakahDaily, di kediamannya, di Bandar Mahkota Cheras, di sini, hari ini.  

Abdullah Hadaran ketika ditemubual HarakahDaily di Taman Seri Budiman, berhampiran Seksyen 5, Bandar Mahkota Cheras, pada 2 Jun 2022. (FOTO HARAKAHDAILY/SYAHIRAH SALLEH)

Menurut Abdullah, dia dapat menyaksikan aliran air berwarna hitam pekat itu kerana dia sering meluangkan masa bercucuk tanam di kawasan sekitar longkang berkenaan.

Katanya, sesekali kira-kira jam tiga atau empat  pagi dia akan terjaga disebabkan bau busuk itu memandangkan rumahnya hanya terletak bersebelahan longkang berkenaan.

“Kalau bau itu berlalu pergi begitu sahaja tidak mengapa, tetapi bau itu melekat. Tidak kira hujan atau tidak hujan. Kalau hujan, kurang sedikit (bau) sebab ikut alir hujan, tetapi kalau tidak hujan, bau busuk itu seratus peratus dengan air mengalir deras.

“Aliran air dalam longkang itu tidak mempunyai jangka masa lama, hanya mengalir sekitar satu hingga ke dua jam. Longkang ini juga ada mengalir air dari alur lain yang bersih dan tidak tercemar,”  katanya. 

Sampah sarap kelihatan meliputi hampir keseluruhan Black Lake ketika dirakam pada 2 Jun 2022. (FOTO HARAKAHDAILY/SYAHIRAH SALLEH)

Tambah Abdullah, sepanjang tiga bulan kebelakangan ini penduduk sering tertanya-tanya punca bau tersebut, namun persoalan mereka itu terjawab apabila foto Black Lake dipenuhi sampah itu di media sosial Selasa lalu.

Sepanjang 14 tahun menetap di Taman Seri Budiman, kata Abdullah, ini tahun pertama kejadian itu berlaku. Katanya, jika perkara itu dibiarkan, dia bimbang ia akan memberi masalah dan bahaya kepada kesihatan penduduk.

Sementara itu, seorang juruteknik, 49, yang enggan mendedahkan namanya, turut mendakwa bau busuk itu hanya dihidu penduduk sejak kebelakangan ini. 

Pelbagai sofa buruk antara barangan yang banyak dibuang di Black Lake. (FOTO HARAKAHDAILY/SYAHIRAH SALLEH)

Katanya, dia tidak tahu mengenai lokasi pembuangan sampah haram itu dan hanya dimaklumkan penduduk yang mendaki di sekitar bukit berhampiran tasik berkenaan.

Justeru, dia mengesyaki bau busuk tersebut berkemungkinan bukan berpunca daripada tapak pembuangan sampah secara haram di Black Lake.

“Sekarang memang tiada bau, sebab air berwarna hitam itu tidak mengalir (dalam longkang), kita buat aduan kerana tidak tahu daripada mana air itu datang. Tapi bau busuk itu lebih busuk daripada bau bangkai.

“Kami sudah buat aduan kepada JAS (Jabatan Alam Sekitar) apabila ada bau itu, dan saya suruh semua penduduk buat aduan sama. 

Selain di kawasan berair di Black Lake, sampah sarap turut kelihatan terkumpul di sekitar tanah rata berhampiran tasik tersebut angkara pembuagan secara haram di situ. (FOTO HARAKAHDAILY/SYAHIRAH SALLEH)

“Kemudian saya telefon JAS dan maklumkan kawasan perumahan kami terletak di bawah Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan JAS terus memaklumkan akan mendapatkan kerjasama MPKj. Itu yang kami baru tahu bahawa ada sampah banyak di Black Lake. Mungkin sampah itu sudah lama, cuma saya rasa ada lori tangki yang buang bahan toksik lain ke situ atau kawasan berhampiran.

“Kalau sebab sampah, ia sudah lama berada di situ. Jika sampah yang menyebabkan bau busuk, mesti sudah hari-hari kita menghidu bau busuk itu. 

Koleksi lukisan tidak ketinggalan antara yang dibuang sebagai sampah sarap di Black Lake. (FOTO HARAKAHDAILY/SYAHIRAH SALLEH)

“Ini tidak, dia macam ada benda toksik yang mereka buang, itu yang air sungai jadi warna kelabu hitam. Saya rasa ada isu berbeza, satu disebabkan sampah, satu lagi disebabkan toksik. Sebab kalau hujan, mungkin hujan itulah punca bau busuk itu, tapi yang peliknya sampah itu tetap berbau busuk walaupun hari tidak hujan.

Bagaimanapun, juruteknik itu sedikit terkilan apabila JAS yang datang ke Black Lake pada Selasa hanya mengambil sampel air di situ dan tidak dari kawasan longkang di Taman Seri Budiman. 

“Rasanya JAS hanya mengambil sampel air di Black Lake sahaja tetapi tidak dari longkang di Taman Seri Budiman ini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 2/6/2022

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Dapat saja berita bau busuk, jabatan berwibawa JAS pimpinan Tuan Ibrahim terus bertindak terus, siasat. Dan seterusnya. 

Apakah begini yang dilakukan oleh pemerintah PH (Pakatan Harapan) yang berkuasa 22 bulan terhadap pengaduan rakyat waktu itu? Padan pun PH ghuyup, sebagai hukuman Yang Maha Kuasa.

Pada rakyat, Nabi Muhammad SAW pernah berpesan 'jangan dipagut ular 2 kali dalam satu lubang!'. Justeru tolaklah PH dan kuncu-kuncunya dalam PRU 15 akan datang. 

Undi PAS dan rakan kumpulannya!


PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails