Sunday, May 29, 2022

Gaji kayangan 'kacau' ekosistem b/sepak. Ada 'tokong'?

 


SUKAN
1. Gaji kayangan 'kacau' ekosistem bola sepak negara

KUALA LUMPUR: Sejauh manakah dakwaan Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang menyatakan tindakan sesetengah pihak meletakkan 'gaji elit' boleh meruntuhkan industri bola sepak tempatan?

Ini kerana penetapan gaji pemain tertakluk di bawah bidang kuasa pasukan masing-masing dan mereka berhak untuk meletakkan berapa sahaja tangga gaji yang dirasakan wajar sebagai 'ganjaran' atas usaha pemain beraksi bersama mereka.

Ketika diminta mengulas mengenai persoalan berkenaan, pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Sadek Mustafa menjelaskan 'gaji kayangan' itu membuatkan ekosistem bola sepak negara tidak sihat apabila memberi impak kepada skuad kebangsaan.

"Apabila menerima gaji yang terlampau tinggi, timbul persoalan mengenai jatidiri mereka dari segi perkhidmatan di mana di peringkat kelab, mereka beraksi sehabis mungkin kerana majikan yang membayar gaji tetapi tidak memberikan hasil yang sama ketika bersama pasukan kebangsaan.

"Kalau ia membantu kemajuan skuad kebangsaan, tidak ada masalah untuk pemain bergaji RM80,000 atau RM90,000 tetapi ini dikhuatiri mewujudkan kelas sosial yang berbeza dalam skuad kebangsaan sehingga ada pemain yang rasa perlu diberi layanan istimewa.

"Kita pun sering mendengar pasukan yang terpaksa ditutup, jadi ini menunjukkan industri bola sepak kita tidak berkembang apabila pelaburan yang dibuat tidak setanding dengan hasil yang patut diperoleh," kata Sadek yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam. (BH)

2. Jangan ada 'tokong' bola sepak negara 

Sanusi menegaskan bola sepak adalah sukan untuk semua dan bukannya individu, sehingga menyebabkan ada yang perlu menyembah 'tokong'.

ALOR SETAR: 'Tokong' dalam arena bola sepak negara tidak boleh wujud sekiranya semua pasukan mahu berentap secara adil.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata bola sepak adalah sukan untuk semua dan bukannya individu, sehingga menyebabkan ada yang perlu menyembah 'tokong'.

Katanya, kewujudan 'tokong' ini akan menjejaskan mana-mana pasukan untuk bermain secara adil semasa permainan.

"Sebenarnya bola sepak ini bukan untuk individu, sebelum perlawanan, bawa banner besar tertulis 'fair play' tetapi ada tokong. Semua nak kena sembah tokong, nak kena tanya dia dulu jadi jenuh la nak main bola macam ini.

"Contoh berlaku satu kejadian luar biasa dalam kancah bola sepak apabila pengadil perlawanan telah memberikan tambahan masa 10 minit pada babak kedua perlawanan antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Negeri Sembilan FC (NSFC) pada perlawanan sebelum ini," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat EXCO di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, bukan beliau seorang yang mempertikaikan tambahan masa itu, malah ramai lagi yang turut mempersoalkannya di media sosial.

Katanya, masa tambahan 10 minit yang diberikan oleh pengadil itu sangat luar biasa kerana kebiasaannya masa tambahan paling lama yang akan diberikan adalah tujuh minit.

"Sebagai ahli gabungan FAM, kita nak perkara menggelikan hati begini ditangani segera. Saya rasa main bola masa tambahan paling panjang pun tujuh minit dan itu pun kalau berlaku patah kaki contohnya, yang memerlukan pemain diusung keluar.

"Dalam perlawanan itu patah jari pun tak ada, tetapi masa tambahan sampai 10 minit. Ini sesuatu yang 'very rare'," katanya.

Beliau berkata, ketika ini semua orang tahu mengenai apa yang berlaku namun mereka tidak bercakap mengenai perkara itu.

"Jangan sampai saya bercakap pula. Apa yang saya katakan ini baru permulaan dan kalau keluar semua sekali, habis.

"Saya sedang kumpulkan lagi apa benda yang patut dicakap. Saya cakap untuk kebaikan bola sepak dan kalau betul nak tingkatkan mutu bola sepak negara, perkara 'rare' begini perlu dilihat dengan mata terbuka," katanya.

Pada aksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada 11 Mei lalu, rekod tanpa kalah NSFC lebur selepas tewas 0-1 hasil jaringan penyerang import JDT, Fernando Forestieri pada hujung masa tambahan 10 minit.

Dalam perkembangan sama, beliau berharap pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dapat memperbaiki mutu permainan semasa perlawanan kerana prestasi yang kurang memberangsangkan itu hanya akan terus mengecewakan penyokong dan penaja pasukan. (BH)

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails