Thursday, April 28, 2022

Murid gadai nyawa seberang sungai guna rakit, bakul

 illahhafiz.abdulaziz@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Sekumpulan murid di sebuah daerah di Sabah bergadai nyawa setiap hari ke sekolah apabila terpaksa menyeberangi sungai menggunakan rakit uzur dan bakul yang ditarik selepas jambatan dan jalan raya yang menghubungkan rumah mereka roboh.

Lebih membimbangkan, murid yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Nangkawangan, Keningau itu bukan saja terpaksa mendayung rakit tanpa pengawasan orang dewasa, malah rakit yang digunakan juga dilihat terlalu uzur.

Malah, aktiviti menarik kanak-kanak di dalam bakul menggunakan tali juga dipertikaikan tahap keselamatan kerana ia dilihat sangat berbahaya, selain arus sungai yang kelihatan deras.

BH difahamkan, sebelum ini penduduk dihubungkan dengan sebuah jabatan gantung namun ia roboh sejak dua bulan lalu berkemungkinan akibat dibawa arus sungai.

Luqman Long yang berkongsi perkara itu di Twitter berkata, situasi yang berlaku di situ adalah begitu mendukacitakan kerana pelajar, guru termasuk ibu bapa diibaratkan terpaksa menempuh satu perjalanan yang berbahaya dan boleh meragut nyawa.

"Saya dimaklumkan kawasan itu ada jambatan gantung tetapi ia putus sejak dua bulan lalu. Saya juga tidak pasti ia putus akibat banjir, cuaca atau kerana sudah terlalu uzur.

"Amat malang apabila tiada langkah segera diambil sehingga hari ini seperti menyediakan bot keselamatan, menyediakan jambatan baharu dan kit keselamatan seperti jaket keselamatan," katanya.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) berkata, kerajaan negeri Sabah perlu mengambil tindakan segera untuk menyediakan laluan yang selamat kepada penduduk di kawasan Nangkawangan.

"Kementerian Pendidikan (KPM) juga kena pastikan pelajar di Sabah boleh belajar dalam suasana yang selamat tanpa mengira kawasan, lokaliti dan negeri.

"Ini juga bukan kali pertama kita dengar hal-hal yang menyedihkan kepada pelajar di Sabah. Kerajaan tidak boleh lagi menunggu ada insiden yang tidak diingini berlaku, baru mahu mula bertindak. Bertindak sebelum terlambat," katanya.

Dalam perkongsian Luqman di Twitter, beliau juga berkata penduduk sekitar dijanjikan bot tetapi sehingga kini belum diperoleh biarpun jalan raya sudah terputus hubungan.

Sementara itu, perkongsian itu menarik perhatian ramai warganet yang kebanyakannya terkejut apabila melihat situasi daif yang berlaku terhadap penduduk di daerah berkenaan.

"Hati saya hancur, ia sangat mengecewakan," kata @aver_agedFi

"Sedih apabila mengetahui ia terjadi di Malaysia," kata clrthehoman.

"Ini bukan zaman Jepun, ini 2022. Tak kisahlah pembangkang ke kerajaan ke, korang ada kroni yang ada duit berjuta-juta, tolonglah melabur sikit dalam pembangunan Sabah dan Sarawak," kata joehann_.

"Mereka hanya kanak-kanak, kenapa mereka perlu menderita sedemikian," ciap j_istheloml.

"Jika anda berasakan hidup anda sukar anda perlu lihat ini. Semoga anak-anak sekolah ini terus kuat," ciap Mastura77833046.

2 comments:

Anonymous said...

Apa yg atok buat selama 22 tahun. Sebuk kaut harta. Nasib rakyat tak peduli. Ni boboi atok pulak nak ganti atok. Tak boleh bagi. Nanti rakyat sambong derita. Cukuplah atok and family dalam politik malaysia. Rakus dan korup. Pandai buat perangkap.

Anonymous said...

Orang jepun tak perlu pun bahasa inggeris. Tapi sangat maju. Orang korea tak perlu pun bahasa inggeris. Jauh lebih maju. Tapi atok sebok nak bahasa inggeris dlm sains dan matematik. Bincang idak, rancang idak. Nampak atok tak waras. Gila kuasa, nak semua patuh. Budak budak pun bingung dibuat oleh atok. Last last kosong rancangan atok. Bahasa tah ke mana. Sains tah ke mana. Matematik tah ke mana. Belanja besar, tapi gagal.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails