Tuesday, January 11, 2022

Hijrahkan Laguku, hiburan penyubur dakwah

HALAMAN HIBURAN 

1. Shahir juara Hijrahkan Laguku 
Shahir Zawawi juara Program Hijrahkan Laguku TVALHIJRAH. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI.

Kuala Lumpur: Penyanyi, Shahir Zawawi diumumkan sebagai juara program realiti Hijrahkan Laguku musim pertama yang berlangsung malam tadi.

Atas kemenangan itu, Shahir berjaya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM100,000, plak Hijrahkan Laguku dan Hijrah Prihatin ke Langkawi.

"Alhamdulillah. Terima kasih kepada TV Alhijrah yang membuka peluang kepada saya untuk menyertai program ini," katanya.

Di pentas akhir program Hijrahkan Laguku yang ditayangkan secara langsung di TV Alhijrah itu, Shahir menyampaikan lagu solo, Madahku yang diambil dari lagu asal Madah Berhelah nyanyian Ziana Zain.

Dia kemudiannya tampil mempersembahkan lagu Perjalanan Jiwa secara duet bersama Datuk Nash. Perjalanan Jiwa diambil daripada lagu asal, Kamelia yang dipopularkan Sweet Charity.

Tiga peserta akhir lain iaitu Nash, Iwan Syahman dan Mark Adam masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000.

Selain itu, turut diumumkan pemenang Anugerah Sawa' Assabil iaitu Iwan dan berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 yang diwakafkan serta Hijrah Prihatin ke Langkawi.

Selain persembahan peserta, penonton turut dihiburkan dengan persembahan pembukaan oleh Zamani, Mawi dan Cat Farish menerusi lagu Tak Mungkin Berpaling.

Semua peserta turut mempersembahkan lagu bonus sebagai persembahan selingan berjudul Malam yang diambil daripada lagu asal, My All nyanyian Mariah Carey.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad dan diiringi Ketua Pegawai Eksekutif TV Alhijrah, Namanzee Harris.

Program Hijrahkan Laguku diacarakan Faizal Ismail dan Bell Ngasri. Juri tetap pula terdiri daripada Fauzi Marzuki dan Hazamin Inteam serta juri jemputan, Ustaz Don Daniyal.

2. Shahir juara pentas akhir Hijrahkan Laguku

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Shahir Zawawi dinobatkan sebagai juara pentas akhir program Hijrahkan Laguku yang berlangsung semalam.Shahir atau nama sebenar Ahmad Shahir Zawawi mengenepikan pencabarnya Iwan Syahman, Datuk Nash dan Mark Adam sekaligus membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai berjumlah RM100,000.

Anak kelahiran Kampar, Perak itu mendendangkan lagu, Madahku yang merupakan lagu asal Madah Berhelah dipopularkan penyanyi Ziana Zain. Selain itu Shahir juga tampil berduet bersama Nash menyanyikan lagu Perjalanan Jiwa gubahan daripada lagu asal, Kamelia yang dipopularkan kumpulan Sweet Charity.

Bekas juara Akademi Fantasia musim ke-8 itu meluahkan rasa syukur atas kemenangannya malam tadi.

“Bukan hadiah yang kami kejar. Tetapi, saya bersyukur.

“Bukan soal juara ataupun tidak, yang penting program ini mudah-mudahan juara di hati para pendengar. Harap-harapnya begitu.

“Abang-abang saya di sini semuanya hebat-hebat belaka, termasuk empat orang lagi yang juga ada di sini. Insya-Allah, harapnya ada musim kedua yang dapat diteruskam sebagai medium ataupun platform bagi kami yang sedia menyebarkan dakwah ini,” katanya.

Dalam pertandingan sama, tiga peserta akhir lain, Iwan, Nash dan Mark berkongsi di kedudukan naib juara dan masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM20,000.

Selain itu, Iwan yang terkenal dengan jolokan raja dangdut dipilih sebagai penerima anugerah kategori Sawa’ Assabil sekaligus membawa pulang wang tunai berjumlah RM3,000.

Kemenangan diberikan atas usahanya mengubah lebih 30 buah lagu untuk jalan dakwah.

Pentas akhir Hijrahkan Laguku yang bersiaran di TV AlHijrah menampilkan Faizal Ismail dan Bell Ngasri sebagai pengacara.

Peserta diadili komposer terkenal, Fauzi Marzuki dan anggota kumpulan Inteam, Muhammad Hazamin Harun. Program tersebut turut mengetengahkan penceramah terkemuka, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid sebagai juri undangan.

Pertandingan realiti televisyen yang bermula sejak lapan minggu lalu itu turut disertai beberapa artis terkenal termasuk Pengeran Adam, Zaf VE, Zack Kool dan Rahmad Mega.

3. Hijrahkan Laguku TV Al-Hijrah: Hiburan penyubur dakwah

JABATAN Seni, Budaya dan Sukan (DACS), Dewan Pemuda PAS Negeri (DPPN) Perak menyambut baik pelaksanaan program realiti hiburan Islamik dijayakan bersama TV Al Hijrah dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

Program sebegini sewajarnya diteruskan lagi di musim akan datang di mana konsep dakwah dalam lagu serta menghijrahkan lirik lagu asal kepada berbentuk ketuhanan amat baik dan bermanfaat kepada masyarakat keseluruhannya.

Islam sebagai agama yang sesuai dengan fitrah manusia juga memerlukan hiburan dalam kehidupan yang boleh menggembirakan hati, merehatkan minda, menyenangkan jiwa dan menyedapkan pendengaran.

Malah Islam tidak pernah menyekat umatnya mencari hiburan selagi mana tidak keluar daripada batas serta landasan syarak serta tidak melalaikan dalam menyempurnakan segala perintah Allah S.W.T. Namun, kesederhanaan sangat penting dalam usaha mencari hiburan.

DACS Perak mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pihak yang telah menjayakan program realiti Hijrahkan Laguku musim pertama khususnya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat Senator Ustaz Idris Ahmad yang menyiarkan program hiburan Islamik ini.

Justeru, DACS Perak juga menyarankan semua pihak termasuk stesen TV kerajaan dan swasta dapat mengambil langkah perlu dalam menyusun rancangan hiburan yang bersesuaian serta patuh syariah demi kesejahteraan hidup masyarakat keseluruhannya, Insya-Allah.

“Memacu Perpaduan”
“Legasi Perjuangan”

Sekian, terima kasih

ABDUL HADI AZMAN
Pengarah Jabatan Seni, Budaya dan Sukan (DACS)
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak – HARAKAHDAILY 11/1/2022

1 comment:

Anonymous said...

Kalau pee pee perintah tak merasalah lagu nasyid. Dengak lagu cina @ scorpion.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails