Friday, July 23, 2021

Penerbitan kartun unsur komunis berlaku era PH

 

KOTA BHARU: Tentunya ramai lagi masih ingat penyebaran komik ideologi komunis dan sosialisme yang mana prakata komik tersebut turut membabitkan seorang pemimpin kanan DAP.

Lebih mengelirukan lagi komik tersebut juga dikatakan diterbitkan di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) yang menempatkan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, dan pejabat Ketua Menteri.

Berikutan itu Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dilapor menyerbu Muzium Kebuayaan Komik di KOMTAR dan merampas naskhah komik tersebut.

Komik tersebut yang dinamakan ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ disebut KDN membawa ideologi komunis dan sosialisme yang jelas bertentangan dengan dasar negara ini.

Malah pada 23 Oktober 2019, KDN mengeluarkan perintah larangan penerbitan komik tersebut dalam bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa Cina.

Timbalan Ketua Penerangan PAS Kelantan Ahmad Fathan Mahmood berkata, tidak dapat dinafikan banyak berlaku perkara yang dianggap mencabar keharmonian kaum dan agama berlaku sepanjang pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Begitu juga penerbitan buku kartun yang cuba menyebarkan fahaman komunis juga berlaku ketika PH menguasai pentadbiran negara sebelum ini ” katanya di sini.

Baru-baru ini ketika konvensyen penerangan PAS Kelantan, Ketua Penerangan PAS Pusat Kamaruzaman Mohamad mendedahkan banyak kepincangan yang berlaku sepanjang 22 bulan PH mentadbir negara sebelum ini.

Justeru, semua ahli dan penyokong PAS hendaklah bertindak sebagai agen penerangan bagi membolehkan isu yang diketengah di peringkat PAS Pusat dan negeri dapat disebar secara meluas di segenap lapisan masyarakat.– HARAKAHDAILY 19/7/2021

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails