Thursday, July 22, 2021

Mampukah Zii Jia dan rakan-rakan atasi pencapaian Olimpik Rio?

 

SUKAN

KUALA LUMPUR: Sejak mula dipertandingkan di Barcelona pada 1992, badminton merupakan penyumbang utama pingat untuk Malaysia di Sukan Olimpik, kecuali Sydney 2000 dan Athens 2004.

Malah semasa edisi sebelumi ini, pada 2016 di Rio de Janeiro (Rio 2016), pemain badminton negara membawa pulang tiga pingat perak yang merupakan pencapain terbaik mereka di dalam temasya Sukan Olimpik.

Selain menyumbang pingat sulung buat Malaysia pada Sukan Olimpik menerusi beregu Datuk Razif Sidek-Datuk Seri Jalani Sidek di Sukan Olimpik Barcelona 1992, badminton telah menyumbang lapan daripada 11 pingat semenjak penyertaan Malaysia selama 65 tahun di temasya sukan itu.

Daripada lapan pingat itu, legenda badminton negara Datuk Lee Chong Wei muncul sebagai pemain paling berjaya, memperoleh tiga perak berturut-turut pada edisi Beijing 2008, London 2012 dan Rio 2016 yang juga merupakan penampilan terakhir beliau dalam temasya sukan terbesar dunia itu.

Kini, cabaran untuk memenuhi impian dan harapan peminat  itu  terletak di bahu Lee Zii Jia dan rakan sepasukan

Pada Olimpik Tokyo, jaguh perseorangan lelaki negara Zii Jia yang mengetuai kem badminton akan diiringi tujuh pemain terdiri daripada Soniia Cheah dalam perseorangan wanita, Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki), Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean (beregu wanita) dan  Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (beregu campuran).

Semua mata sudah pasti akan tertumpu kepada Zia Jia, anak kelahiran Kedah itu sama ada beliau berupaya menyumbang pingat di Tokyo berikutan kejayaannya dalam kejohanan All-England 2021 selepas menumpaskan Viktor Axelsen dari Denmark 30-29, 20-22, 21-9 pada final di Birmingham, Mac lepas.

Selain menewaskan Axelsen, Zee Jia yang diletakkan sebagai pilihan kesembilan di Olimpik Tokyo juga pernah menundukkan jaguh badminton dunia, Kento Momota dari Jepun 21-16, 21-19 dalam suku akhir All England 2021 dan melakukan kejutan ke atas juara bertahan Olimpik, Chen Long dari China pada suku akhir All England 2020 dengan keputusan 21-12 dan 21-18.

Bagaimanapun berdasarkan prestasi semasa, tidak banyak dapat diperkatakan mengenai peluang pemain lain selain Zii Jia kerana tiada dalam kalangan mereka yang meraih kejayaan di dalam semua kejohanan disertai merekatahun ini  dan tambahan pula tiada penyertaan pertandingan sejak Mac lepas berikutan pandemik COVID-19.

Bukan itu sahaja, laluan sukar bakal dihadapi beberapa pemain seawal peringkat kumpulan di Olimpik Tokyo yang bakal bermula Jumaat ini.

Zii Jia diletakkan dalam Kumpulan M bersama Brice Leverdez dari Perancis yang mengejutkan Chong Wei pada pusingan pertama Kejohanan Dunia 2017 dan pemain Ukraine Artem Pochtarov.

Dalam kategori beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berhadapan tugas berat dalam Kumpulan D berhadapan pilihan kedua kejohanan Hendra Setiawan-Mohammad Ahsan dari Indonesia dan beregu Korea Selatan, Choi Solgyu-Seo Seungjae serta Jason Anthony Ho-Shue/Nyl Yakura dari Kanada.

Pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016, Peng Soon-Liu Ying diundi dalam Kumpulan D atau kumpulan maut bersama pemenang pingat perak Kejohanan Dunia 2019 dan pilihan kedua kejohanan Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping dari China, pasangan Jerman Mark Lamfuss-Isabel Hettrich juga wakil Hong Kong Tan Chun Man-Tse Ying Suet.

Dengan beberapa hari lagi tinggal sebelum gelanggang badminton di Plaza Sukan Musashino Forest dibuka kepada pemain Sabtu ini, debaran sudah pasti mula dirasai mereka.

Bagaimanapun, Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Wong Choong Hann memberitahu Bernama beliau telah menasihatkan pemain supaya terus berjuang dan menghayati semangat Sukan Olimpik tidak kira keputusan yang diperoleh semasa hari perlawanan.

“Pusingan akhir persiapan berjalan lancar dan kami sekarang lebih menumpukan kepada membina daya ketahanan mental untuk semua pemain sebelum perlawanan bermula,” katanya.

Persoalannya sekarang mampukah kem badminton negara mengatasi pencapaian Rio 2016? – BERNAMA

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails