Wednesday, November 18, 2020

Talian prihatin masyarakat boleh diakses melalui dua sumber.. -YB Dato’ Siti Zailah

 

Talian Kasih terima 159,703 panggilan sejak Januari

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato’ Siti Zailah Mohd Yusof berkata, pusat panggilan Talian Kasih 15999 telah menerima 159,703 panggilan dari bulan Januari 2020 sehingga kini.

Ujar Siti Zailah, Talian Kasih merupakan talian prihatin masyarakat yang boleh diakses oleh orang awam melalui dua sumber iaitu menerusi talian bebas tol 15999 dan aplikasi WhatsApp di nombor 019-2615 999 yang beroperasi selama 24 jam setiap hari.

“Aplikasi WhatsApp Talian Kasih diwujudkan untuk menambah baik mutu perkhidmatan Talian Kasih yang sedia ada bagi memberi fokus kemudahan kepada golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) pendengaran dan pertuturan untuk mengajukan sebarang pertanyaan, permohonan dan aduan.

“Skop perkhidmatan Talian Kasih merangkumi aspek berkaitan penderaan, kaunseling, gelandangan, perlindungan, kebajikan, talian kanak-kanak, pembuangan bayi, perkhidmatan kesihatan reproduktif, masalah sosial remaja dan perkara yang melibatkan kumpulan sasar,” kata Siti Zailah.

Siti Zailah [PAS-Rantau Panjang] menjawab pertanyaan Kasthuriraani a/p Patto [DAP-Batu Kawan] di Dewan Rakyat hari ini yang meminta kementerian berkenaan menyatakan jumlah bilangan panggilan telefon kepada Talian Kasih 15999 dari bulan Januari 2020 sehingga kini mengikut kategori jenis panggilan.

Mengulas lanjut Siti Zailah berkata terdapat tujuh pecahan kategori bagi rekod keseluruhan di Talian Kasih merangkumi 1,847 kes berkaitan kanak-kanak, 2,287 kes mengenai keganasan rumah tangga, 467 kes berkaitan gelandangan.

Selain itu, 70,177 kes berkaitan bantuan kebajikan, 4,119 kes mengenai kaunseling, 661 kes rekod yang melibatkan OKU dan 359 kes adalah berkaitan warga emas.

Beliau berkata, segala pertanyaan mengenai perkhidmatan yang disediakan oleh kementerian akan dijawab di peringkat Talian Kasih manakala segala butiran aduan dan permohonan akan disalurkan ke jabatan dan agensi di bawah kementerian untuk tindakan selanjutnya.

“Aduan dan permohonan yang telah dipanjangkan akan diambil tindakan oleh pegawai yang bertugas di daerah atau negeri berkaitan.

“Kemudiannya, maklum balas akan diberi kepada Talian Kasih selepas siasatan selesai dan status akan ditutup di peringkat Talian Kasih.

“Mutu perkhidmatan Talian Kasih kini dipertingkatkan,” jelas Siti Zailah yang turut menjawab pertanyaan Kasthuriraani tentang tindakan dan bantuan kerajaan bagi kes-kes tersebut. – HARAKAHDAILY 17/11/2020

Hibur Hibur Sikit

Album 4

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails