Friday, December 06, 2019

Hukum Jenayah Tak Solat Jumaat, Pedulikan LFL!


 
Sokong penguatkuasaan tegas tak solat Jumaat


Buat pertama kalinya di Malaysia, Mahkamah Rendah Syariah Hulu Terengganu telah menjatuhkan hukuman denda RM2,500 dan sebulan penjara bagi seorang tertuduh yang merupakan ketua keluarga dan RM2, 400 denda dan sebulan penjara bagi lima orang lagi tertuduh.
Hukuman ini dilihat menaikkan imej sistem pentadbiran jenayah Islam, yang umum mengetahui mempunyai kuasa penghukuman yang terhad dan wujud kesalahan-kesalahan yang jarang dikuatkuasakan dan diambil tindakan sebelum ini.

Saya merujuk kepada satu laporan akhbar yang melaporkan kenyataan kumpulan peguam Lawyers for Liberty (LFL) menyatakan bahawa hukuman yang dikenakan adalah berlebih-lebihan dan kesalahan seumpamanya perlu dipertimbangkan semula.
Kenyataan tersebut adalah satu kenyataan yang tidak sesuai dikeluarkan oleh kelompok peguam yang sepatutnya lebih memahami bahawa Perlembagaan Persekutuanlah yang telah memberi kerangka pentadbiran jenayah syariah kepada Mahkamah Syariah.
Kesalahan tidak solat Jumaat juga tidak wajar dipertikaikan kerana moral dan jenayah adalah berkait rapat dan tidak dapat dipisahkan untuk melindungi kehidupan bermasyarakat. Merendahkan kadar hukuman pula hanya akan menjejaskan lagi kredibiliti undang-undang syariah.
Saya juga ingin menyeru agar tindakan ini disambut pihak penguat kuasa dan pihak berkuasa. Jenayah tidak solat Jumaat ini semakin berleluasa terutamanya di kawasan-kawasan bandar dan tanpa penguatkuasaan akan menjadi proses normalisasi kepada masyarakat Islam Malaysia. Hal ini dapat dilihat apabila begitu banyak kedai makan yang dibuka ketika waktu solat Jumaat di mana pekerja dan pelanggannya terdiri daripada kaum lelaki.
Tindakan penguatkuasaan yang tegas ini juga perlu mendapat sokongan moral daripada seluruh umat Islam di Malaysia agar pihak-pihak yang ingin mencabar wibawa undang-undang Islam tidak berani memberi penentangan secara terbuka.
“Islam Memimpin Perpaduan”
YB HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Ahli Parlimen Kuala Terengganu
5 Disember 2019/ 8 Rabi’ulakhir 144H – HARAKAHDAILY 5/11/2019

Hibur Hibur Sikit

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails