Wednesday, October 30, 2019

Ibnu Hasyim Di Mekah 1987: Bersama Demontrasi Iran...


CATATAN PERJALANAN Ibnu Hasyim 
Diangkat dari Artikel 'Demontrasi Adalah Tunjuk Perasaan' 16-12-2007. KL.


TERINGAT saya sewaktu terperangkap di Airport Manila pada pertengahan tahun 80an, penerbangan terhenti kerana demontrasi anti Marcos yang menjadi Presiden Filipina pada waktu itu. Terperangkap aku beberapa hari di sana. 

Nasib baik ada beberapa jamaah Islam yang tidak ku kenali awalnya, ku temui di Masjid Manila membantu aku di sana. Waktu itu kami terkepung dalam masjid, yang kononnya berlaku pergeseran di luar masjid dengan puak-puak Kristian di situ. Mereka berkesempatan menyelamatkanku.

I. Demontrasi Manila.
Ferdinand Marcos
Ferdinand Emmanuel Edralin Marcos lahir pada tanggal 11 September 1917 dan meninggal pada tanggal 28 September 1989. Dia terpilih menjadi presiden Filipina pada tahun 1966 dan digulingkan dari kekuasaan pada tahun 1986 dalam sebuah revolusi besar-besaran tak berdarah.
Bermulalah tunjuk perasaan demi tunjuk perasaan di sana sini, yang akhirnya tersungkur juga pemimpin nombor satu negara tersebut. 

Itukah sebabnya kerajaan yang berkuasa, takut sangat dengan demontrasi walaupun berlaku secara aman?

Kita juga tidak pernah lupa dalam sejarah Malaya, orang Melayu juga pernah membuat tunjuk perasan anti komunis di Semenyeh dan beberapa tempat lagi. UMNO juga pernah mengadakan beberapa siri himpunan tunjuk perasaan dalam sejarahnya, membantah Malayan Union. 


Bahkan ramai pemimpin-pemimpin UMNO yang naik kepimpinannya dengan demontrasi, terutama sewaktu mereka menjadi pemimpin pelajar. Apakah itu bukan budaya kita?

Kira-kira sebelum tahun 80an dulu, terkenal beberapa tuntutan pekerja terhadap majikan melalui kegiatan yang disebut ‘mogok’… Syarikat bas, kilang-kilang dan lain-lain, bahkan ada tindakan murid kepada guru sekolah melalui mogok. 

Mogok itupun demontrasi atau tunjuk perasaan. Apalagi bila berlaku penghinaan ke atas agama Islam, kebanyakan umat Islam di dunia yang tidak boleh berbuat apa-apa, hanya menentang melalui demontrasi atau ‘unjuk rasa’ (dalam bahasa Indonesia).

Saya paparkan beberapa catatan pengalaman saya (sekitar hujung tahun 80an) dalam beberapa demontrasi…

II. Demontrasi Umat Islam Yala.

Kami sampai di simpang tiga belakang pekan Yala. Tidak tahu jalan mana yang hendak dituju. Baru hendak tanya, tapi ditegur lebih dulu oleh seorang lelaki berkupiah putih, “Nak ke mana saudara?”

“Nak ke tempat perhimpunan Islam…”

“Perjumpaan yang mana? Ijtimak tabligh atau berarak ala Iran. Kedua-duanya diadakan serentak di sini!” Dia tanya balas.

“Tunjuk perasaan membantah Salman Rushdie yang menghina Islam.” Aku menegaskan.

Dia terus menunjukkan jalannaya. Kereta kami, kereta luar bernombor daftar Malaysia pun menyusur perlahan-lahan. Dari jauh nampak surau kecil di pinggir sebuah padang. Ramai orang Islam berhimpun. Suara azan bergema berkumandang di udara melalui pembesar suara yang tergantung di tiang tinggi dengan megahnya mengarah ke segenap penjuru. Kami pun solat zohor bersama-sama mereka. Dari cara bersolat dapat ku ketahui golongan Sunni dan Syiah sembahyang bersama-sama.

Orang Syiah meletakkan batu kecil di tempat sujud. Sama-sama bersujud. Tidak bermusuh, tidak bergaduh. Sama-sama mengadap Allah SWT. Membulatkan tekad menyatakan bantahan kepada agen-agen kuffar yang menghina Allah dan NabiNya Muhammad SAW. Itulah ujian kepada pendokong dan penyokong Islam supaya pertahankan maruah agamanya. Lepas sembahyang seorang lelaki naik ke pentas yang mengadap ke surau itu. Beliau berpidato dalam bahasa Thai.

Orang ramai mula berhimpun. Pemberita dan jurugambar sibuk dengan tugasnya. Tiap patah suara ditekankan kuat, disambut oleh hadirin dengan gema takbir seolah-olah mampu menggegarkan pekan Yala atau disebut juga pekan Nibung itu. Lepas satu, satu… Penceramah bertukar ganti. Bekas wakil rakyat di Selatan Thai pun berpidato. Juga ramai tokoh-tokoh muda tempatan berpidato dalam loghat tempatan, hampir-hampir macam loghat Kelantan.

Mereka menghuraikan tiap sudut buku ‘The Setanic Verses’ karya Salman Rushdie yang menghina Islam dan Nabi Muhammad itu. Mereka bersetuju dan mengucapkan syabas kepada Imam Khomeini pemimpin revolusi Islam Iran yang berani menghukum penjenayah. “Bukan Imam Khomeini penjenayah seperti tuduhan kuncu-kuncu barat, tetapi Salman Rushdie!! Salman rush-die mesti dibunuh!!” Kata seorang penceramah bersemangat, sambil mengangkat senjata M16 tiruan mainan kanak-kanak sebagai symbol hukum bunuh.

Disambut hadirin dengan takbir ‘Allahu Akbar!” dan seruan “Bunuh Salman Rushdie!!”

Sampai pula giliranku berceramah. “Cuba lihat saudara-saudara! Seorang tok guru agama yang mengajar di surau dan pondok Malaysia, sanggup turun ke padang berdemontrasi bersama-sama 50,000 rakyat untuk menyatakan kebiadaban Salman Rushdie di Kuala Terengganu beberapa hari lepas!!” Kataku.

“Kalau di zaman pemerintahan Khalifah Islam Al-Muktasim Billah… seorang wanita Islam sedang berniaga di negeri kafir ribuan kilometer jauhnya dari ibunegara, telah dijatuhkan maruahnya di khalayak ramai hingga terbuka auratnya.. Muslimah itu telah menjerit meminta perlindungan kepada Khalifah kerana maruahnya tercemar, maka Khalifah Islam itu sanggup menghantar satu angkatan tentera ke negeri kafir tersebut untuk menghukum penjenayah, hanya kerana aurat seorang Muslimah! 

"Apalagi Nabi kita, Nabi umat Islam, Nabi yang maksum telah dihina dan diperkosa maruahnya!! Apakah kita masih mahu berdiam diri??” Ucapanku disambut gegak gempita dengan gema takbir yang menyeram dan menegakkan bulu roma.

Bila masuk waktu Asar, perserta demontrasi pun bersembahyang beramai-ramai atas pasir dan rumput padang itu. Lepas sembahyang patung Salman keparat itu dibakar. Ramai-ramai keluar berarak ke dalam bandar. Dimulai dengan barisan kanak-kanak, mereka dilatih supaya tidak takut mati kerana Islam. Diikuti dengan muslimat-muslimat, kerana proses tarbiah bukan di bibir mulut atau atas kertas sahaja, bahkan perlu dipraktikkan dan diuji. Disambung oleh kaum lelaki samada tua atau muda.

Antaranya ada yang memakai kain lilit kepala bertulis ‘La Ilaha Illallah’. Bajunya bertulis beberapa tulisan Arab, sambil membawa bendera atau sepanduk tulisan Jawi dan Thai. Penceramah-penceramah terus membakar semangat, berceramah di atas jeep yang sedang bergerak perlahan, dengan corong pembesar suara dihalakan kepada orang ramai. 

Demontrasi terus berjalan lancar, tiada siapa mengganggu, terus masuk ke pekan Yala. Kerana polis pun turut berkawal dengan baik, tidak bertindak liar dan ganas. Orang ramai pun mendengar dengan tenang. Tiada apa-apa berlaku.

III. Demontrasi di KL.

Hal ini mengingatkanku kepada tragedi demontrasi 25 Disember Hari Natal tiga tahun sebelumnya di Jalan Ampang Kuala Lumpur. Kira-kira 70 aktivis Islam berhimpun di depan pejabat kedutaan Kesatuan Republik Sosialis Soviet (USSR), membantah secara aman penaklukan beramai-ramai tentera kafir Marxis Rusia di bumi Afghanistan. Aku juga berceramah mengutuk rejim diktatur penjajah Beruang Merah bangsat itu.

Seorang tokoh PAS berceramah, “… 7 tahun lalu bila fajar 25 Disember Hari Natal mulai menyinsing, maka lebih 5,000 tentera Rusia menyerbu masuk ke bumi Afghanistan. Mereka menyerang, membunuh, menyeksa, memperkosa rakyat, merosakkan tanaman, ternakan dan permukaan buminya, menandakan bermulanya penjajahan ke atas umat Islam di negara itu. Mereka terus menambahkan kekuatan dari masa ke masa demi mengekalkan kezaliman dan kekuatan mereka!” Suaranya yang parau semakin jelas dan lantang, “Kami mahu kamu wahai komunis Rusia, keluar dari bumi Afghanistan sekarang juga!!”

Disambut dengan takbir dan teriakan, “Kami tetap bersama mujahidin!” oleh para demontrasi.

Malangnya, pihak berkuasa Malaysia terus merempuh dan menyuraikan tunjuk perasaan itu dengan sewenang-wenangnya, walaupun ianya dilakukan secara aman. Akhirnya 17 orang ditahan. Lebih menyedihkan lagi, besoknya terpampang di dada sebuah akhbar tempatan, tajuk besarnya berbunyi ‘Bayangan Memali di Kuala Lumpur’. Orang ramai cuba dikelirukan, demontrasi yang dibayangkan sebagai ‘keganasan di Memali’.

Walaupun sebenarnya peristiwa di Memali itu sendiri adalah keganasan pembunuhan beramai-ramai pihak kerajaan ke atas rakyat, bukan sebaliknya, seperti yang gambarkan oleh media mereka. 

Berbeda dengan demontrasi di Tahailand yang ku hadiri kali ini, ianya dibiarkan dan dikawal. Peserta demontrasi boleh pulang ke rumah masing-masing dengan aman. Aku pun pulang ke tempat singghku di Pattani, boleh tidur dengan tenang hingga pagi.

Besoknya, sedang aku minum pagi di sebuah warung di pekan Palas Pattani seperti biasa, tiba-tiba datang kawanku anak tempatan yang sama-sama berdemontrasi semalam dengan tergopoh-gapah. Belum sempat duduk dia sudah menyapa, “Mu lihat tv malam tadi??”

“Tidak!” Kataku menggeleng kepala.

“Demo semalam dapat liputan molek di tv Thai Bahagian Selatan. Seterusnya akan diadakan demo di Hadyai, Bangkok dan beberapa bandar lagi..” Jelasnya dengan gembira dan sedikit bangga. “O ya, gambarmu sedang berceramah pun ada tersiar juga!!”

IV. Makkah. Demontrasi Adalah Tunjuk Perasaan.

Pada tahun 1987 yang lalu semasa aku berada di Makkah, telah berlaku suatu peristiwa pembunuhan beramai-ramai ke atas jamaah haji Iran berhampiran dengan rumah Allah atau Kaabah. Berlaku dalam sebuah demontrasi. Aku masih ingat, aku bersama kawanku dan dua orang lain sedang berbual-bual di dekat bangunan pejabat wakil Imam Khomeini, di kota Makkah.

Waktu itu suatu majlis perjumpaan kira-kira 200 orang sedang berlangsung. Terdengar beberapa pemimpin Iran sedang berpidato mengenai haji. Antaranya mereka menuntut beberapa rakyat mereka yang ditahan oleh kerajaan Saudi dibebaskan segera. Sedang kami berbual-bual sesama kami, tiba-tiba seorang pemuda Iran memberi sekeping surat. Aku membelek-belek. “Surat apa itu?” Tanya kawanku.

“Surat jemput hadir ke Perhimpunan dan Perarakan Haji, dari pejabat Imam Khomeini yang jauh di sana berdemontrasi hingga ke sini… besok, lepas Asar.” Jawabku, sambil menunjuk arah bangunan tersebut, beberapa kilometer sahaja dari tempat kami berdiri. Aku tunjukkan surat itu padanya.

Tetapi dirampas segera oleh seseorang dengan kasar. “Imam… Imam Khomeini?? Kau tahu siapa dia?” Sergahnya, sambil tangannya mengoyak-ngoyak surat itu dengan geram. Dia yang berpakaian macam orang Pakistan, bersama dua temannya.

“Khomeini kafir!” Sambung salah seorang mereka, dengan tidak semena-mena. Akhirnya, semua mereka berlalu dengan rungutan berpanjangan. Kami masing-masing tercengang. Hal ini membuat saya berminat dan tertarik untuk hadir di majlis itu besok hari.

Esoknya lepas sembahyang Asar di Masjidil Haram…

Aku cepat-cepat setelah keluar dari Masjidil Haram mencari sudut yang baik bagi meninjau dan melihat suasana demontrasi dari dekat. Aku naik tingkat atas bangunan letak kereta yang 4 tingkat itu. Hampir dengan pejabat pos, bersetentang agak jauh sikit dari pejabat wakil Imam Khomeini. Boleh lihat dari atas, perarakan yang akan melintasi bangunan itu. Dari jauh, kini sudah nampak berduyun-duyun ribuan manusia menuju arah bangunan tempat aku berada, bagaikan banjir sungai yang mengalir perlahan.

Mereka membawa sepanduk beranika ragam. Suara slogan beramai-ramai, sesekali jelas teriakan ‘Allahu Akbar’ berkumandang di udara memecah kebisingan kota Makkah itu. Bunyi bagai lebah mengaum itu makin jelas dan makin dekat. Perhatian dan pendengaranku mula tertumpu untuk mendengar butir-butir perkataan mereka. Tiba-tiba gegendang telingaku terpukul kuat oleh satu suara jarak dekat. Suara menyuruh dan menghambatku dengan kasar tidak bersopan supaya turun, segera berlalu dari situ.

Suara seorang lelaki berjubah tup, pakaian kebangsaan Saudi yang bergerak tergesa-gesa. Rupanya pihak polis Saudi ingin menggunakan bangunan itu. Kereta-kereta polis bergegas meluncur naik. Unit-unit penggambaran segera dipasang. Di bawah pula, di atas jalanraya unit-unit polis rusuhan sedang bersiap sedia, seolah-olah akan menghadapi suatu pertempuran dan perlawanan hebat. Mereka bersiap sedia untuk menyekat dan mengempang aliran arus demontrasi yang sedang mara itu.

Tetapi aku terpaksa mencari tempat lain pula untuk melihatnya. Kakiku melangkah turun, merayau-rayau di deretan kedai satu tingkat seberang jalan sana. Penunjuk-penunjuk perasaan sudah semakin hampir, arus derasnya terus melanda. Membuak-buak bagai sungai pecah empangan. Aku terjebak di dalamnya, tidak lagi dapat melihat demontrasi itu secara keseluruhan. Aku terus meredah di tengah-tengah 50,000 manusia itu. Aku tidak tahu lagi apa yang berlaku di depan, bila mereka disekat oleh empangan polis pencegah rusuhan itu.

Aku terus meredah dan menyongsang tunjuk perasaan itu ke belakang. Merentasi pelbagai sepanduk yang hampir semuanya terdapat gambar dan perkataan bertulis Imam Khomeini. Ada karikatur politik, gambar Presiden Amerika sedang peralatkan benoka-bonekanya, memecahkan perpaduan umat Islam. Gambar Khomeini sebagai penaung dan pembela rakyat tertindas. Sebuah Masjidil Aqsa kertas dipikul bersama-sama sebagai symbol kewajipan merampas kembali dari Yahudi adalah menjadi kewajipan bersama.

Ratusan pembesar suara tergantung di tiang-tiang tinggi yang diusung bersama-sama. Berselisih dengan kumpulan muslimat-muslimat yang telah berumur sedang bertakbir bersemangat, tangannya menggenggam penumbuk. Aku terus juga menyongsang perarakan itu. Agak beberapa lama badanku keletihan, tekakku terasa haus. Telan air liur aku, bila melihat lori-lori sedang menurunkan air batu bawah jejambat, di bulatan tempat cantum kumpulan manusia yang panjang datang dari pelbagai arah.

Air batu dibagi-bagikan. Aku hampiri kumpulan itu dengan harapan dapat basahi tekakku. Tetapi terlalu ramai, mereka macam berebut-rebut walaupun agak beradap. Aku tidak sabar lagi menunggu giliran. Rupanya 2 polis Saudi berunifom sedang perhatikan tingkahku. Mereka membantuku dapatkan minuman. Alhamdulillah! “Apa pandangan encik mengenai demontrasi ini?” Seorang dari peserta demontrasi itu menanyaiku.

“Bagus!” Jawabku ringkas.

Tiba-tiba beberapa pemuda Iran sedang berlari-lari anak dari hadapan menuju kami. Mereka membawa berita cemas. Dari jauh ternampak asap hitam berkepul-kepul di udara tepat di atas penunjuk-penunjuk perasaan di barisan depan. Tanda ada letupan dan kebakaran. Dari bangunan-bangunan tinggi di kiri kanan jalan, nampak benda-benda berat dilontarkan ke atas lautan manusia itu. Termasuk dari bangunan tempat saya berdiri mula-mula tadi yang dikuasai pihak polis Saudi itu.

Kedengaran pula bunyi tembakan berturutan bagaikan satu serangan hendap musuh, beberapa minit lamanya. Pemuda-pemuda Iran tadi mengisyaratkan supaya penunjuk-penunjuk perasaan berpatah balik. Bila berselisih denganku, mereka menuding jari ke arahku supaya keluar dari barisan tunjuk perasaan itu. Sebentar kemudian, arus saf itu sudah bergerak ke belakang, patah balik. Letupan tembakan masih kedengaran jarang-jarang. Tetapi makin dekat.. dan makin membimbangkan.

Helikopter-helikopter Saudi terus berlegar-legar di atas kepala. Ambulan bulan sabit merah bergerak bagaikan bot-bot membelah lautan manusia dengan tenang selesa menjalankan tugasnya. Sesekali motosikal polis Saudi pula meredah dan merentasi gelombang lautan manusia itu dengan tenang. Arus demontrasi itu terus berundur. Antara yang berselisih denganku ialah ramai muslimat-muslimat yang luka. Orang tua yang cedera parah. Dipapah, dirawat oleh teman-temannya, sambil berlari-lari anak.

Tiba-tiba… “Moya! Moya!!” Jerit seorang lelaki tua. Dia tersungkur di hadapan ku meraung-raung meminta air dengan kepala yang berlumuran darah.

Aku nak tolong, tapi tanganku ditarik supaya keluar dari barisan tunjuk perasaan itu. Akhirnya aku menyimpang arah kubur Ma’la, keluar dari barisan yang bertali arus itu dan berlalu dari situ. Malamnya aku datang lagi, terlihat mayat-mayat bergelimpangan. Khabarnya kira-kira 500 nyawa terkorban. Ramainya ialah wanita, warga tua dan ada juga sikit-sikit hujjaj dari negara selain Iran.

Itulah peristiwa demontrasi dan tunjuk perasaan. Mereka dibantai hingga terkorban, namun mereka sanggup menghadapinya. Ada yang tanya bagaimana nak hindarinya? Jawapan saya cukup mudah, polis jangan bertindak ganas! Itu saja, tak kira di Malaysia, Thailand, Filipina atau Saudi. Masing-masing ada agenda perjuangan masing-masing. Maka demontrasilah tempat meluahkan perasaan perjuangan. Inilah yang berlaku walaupun dekat kelambu kaabah seperti yang diceritakan.

Sekarang orang sibuk-sibuk tunaikan ibadat haji di Baitullah. Ibadat haji itupun suatu cara atau demontrasi menunjuk perasaan dan keikhlasan kita kepada Allah SWT. 

Lihat perintah dalam ayat 26 & 27 dalam Surah Haji, surah ke 22, dari Al Qur’an. Buat apa datang jauh-jauh ke rumah Allah walaupun ‘berjalan kaki dan tunggang unta kurus’ kalau bukan nak tunjukkan perasaan ikhlas serta cinta kita kepada Allah SWT??


Catatan Perjalanan: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) KL. 16-12-2007. KL

Hasil carian imej untuk melayu dipinggir kota mekah
E-Buku IH-124: Budaya Saudi&Melayu Kota Mekah Kini.
Bab 1

Bab 2
Bab 3 Bab 4

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails