Hina Sultan Terengganu, Abdul Hadi: Dewan Pemuda Pas buat laporan polis
KUALA TERENGGANU 5 Sept. - Dewan Pemuda Pas Terengganu tampil membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Twitter, Tg. Haslinda yang menghina Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Laporan polis tersebut dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini hari ini oleh Ketuanya, Mohd. Nasir Abd. Razab bagi mendesak pihak berkuasa segera mengambil tindakan terhadap individu yang disifatkan cukup biadab itu.
Mohd. Nasir berkata, perbuatan Tg. Haslinda mengedit gambar Sultan Mizan semasa menyampaikan anugerah Tokoh Maal Hijrah kepada Abdul Hadi dalam majlis sambutan Maal Hijrah 1441H baru-baru ini merupakan penghinaan besar yang seolah-olah merendahkan baginda serta institusi raja-raja Melayu.
Malah, katanya, tindakan individu berkenaan mempertikai dan mempersendakan penganugerahan kepada tokoh ulama dan pemimpin gerakan Islam terkemuka itu juga disifatkan berniat jahat untuk memfitnah Abdul Hadi.
"Presiden Pas sama sekali tidak terlibat dalam jawatankuasa pemilihan Tokoh Maal Hijrah Terengganu.
"Kita harap polis dapat menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap individu tersebut kerana telah memfitnah serta menghina Tuanku Sultan, Presiden Pas dan kerajaan negeri," katanya kepada pemberita selepas selesai membuat laporan.
Tg. Haslinda dalam ciapan di Twitter menyebut Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Tokoh Maal Hijrah Terengganu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah memilih Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Tokoh Maal Hijrah 1441.
Individu berkenaan yang menulis adegan tersebut sebagai seronok untuk dilihat turut memuat naik gambar penganugerahan kepada Abdul Hadi yang telah diedit daripada gambar asal semasa majlis sambutan tersebut.
Sehubungan itu, Mohd. Nasir menuntut Tg. Haslinda untuk membuat permohonan maaf secara terbuka dan memadam status berkenaan dalam tempoh 24 jam. - UTUSAN ONLINE
Lihat lagi..
- Ini Peluang Kerja Dan Jadi Usahawan. (1)
- Hanya 30 Hari, Dapat Kerja Dan Boleh Jadi Usahawan...(2)
- Pembelanjaran Gunting Rambut Secara Ringkas..(3)
- Dari Ambil Alih Kedai Gunting Bapa, Kini Jadi Juta...(4)
No comments:
Post a Comment