Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintendan Azman Shariat berkata, berdasarkan maklumat tular itu saman terbabit dikeluarkan polis trafik Petaling Jaya atas kesalahan ‘pakai baju Ysuku’.
“Hasil semakan nombor siri pada saman itu mendapati saman tersebut dikeluarkan pada tahun 2007 atas kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar dan bayarannya sudah dijelaskan.
“Susulan itu, kita percaya saman itu sengaja diubah suai bagi menimbulkan kegusaran orang awam berhubung isu motosikal Ysuku yang sedang hangat dalam kalangan rakyat di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya lagi, pihak polis trafik sudah membuat laporan berhubung gambar saman yang tular itu bagi membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap mereka yang menyebarkan maklumat serta cuba menjatuhkan imej pihak polis.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia,” ujarnya.
Terdahulu, sekeping gambar tular di media sosial sejak pagi tadi berkaitan sekeping saman palsu membabitkan motosikal Ysuku. - K! ONLINE

Lihat Sebelum Ini..