Presiden MTUC, Abdul Halim Mansor berkata, seorang pekerja Hond Tat telah menghubunginya pada 30 Julai lalu dan bertanya tentang hak pekerja berhubung waktu solat.
Katanya, pada keesokan hari beliau menerima gambar memo yang menyatakan pekerja tidak dibenarkan sembahyang kecuali pada waktu makan tengah hari dan akan didenda RM500 untuk setiap kesalahan.
Ujarnya, menyedari kemungkinan berlaku pencabulan Akta Pekerjaan 1955 beliau segera mengemukakan aduan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) mengenai memo itu.
“Sebaik sahaja saya menerimanya, pagi itu kami menghubungi JTK Putrajaya yang kemudian mengarahkan JTK Selangor untuk menyiasat perkara itu,” katanya seperti dipetik Portal Malaysiakini.
Gambar memo berhubung larangan waktu solat itu sebelum ini tular dan mendapat kecaman warga maya yang rata-rata menyifatkannya sebagai melanggari hak keagamaan pekerja terutama bagi beragama Islam.
Semalam, pengurus operasi Hond Tat yang tidak dinamakan dilaporkan memberitahu New Straits Times bahawa memo bertarikh 30 Julai itu palsu.
Abdul Halim berkata, beliau mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa memo itu sebenarnya dikeluarkan oleh kilang berkenaan.
“Walaupun ia tidak ditandatangani, notis itu dipaparkan di papan notis di kilang. Ia tidak dihantar kepada pekerja individu tetapi didedahkan sebagai notis am kepada semua kakitangan.
“MTUC percaya memo itu dikeluarkan syarikat itu kerana ia mempunyai kepala surat syarikat dan ia dilihat di premis syarikat,” katanya. – UTUSAN ONLINE


Peluang Kerja Di Australia Dibuka Lagi..
Kerja Di Australia, Dibuka..