Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mazuki Mat berkata, suspek berusia 65 tahun itu ditahan di rumahnya di Kampung Rapat di sini selepas pihaknya menerima tiga laporan polis daripada tiga wanita masing-masing berusia 20 tahun berkenaan semalam. 
“Siasatan awal mendapati ketiga-tiga mereka hadir ke pejabat tersebut antara pukul 7.30 pagi hingga 4.30 petang untuk urusan temuduga bagi mengisi jawatan kerani di syarikat berkenaan. 
“Berdasarkan keterangan mangsa, suspek yang mengendalikan temuduga tidak bertanya mengenai urusan kerja sebaliknya banyak menceritakan berkaitan urusan peribadinya selain merakam gambar mangsa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi. 
Tambah Mazuki, mangsa turut memaklumkan bahagian badan mereka dipegang termasuk paha, bahu dan tangan selain dipeluk dari belakang dan dicium di leher, dahi dan pergelangan tangan. 
“Susulan itu, polis menahan lelaki terbabit pada awal pagi tadi dan dia kemudiannya dibebaskan dengan jaminan selepas keterangannya diambil. 
“Seorang saksi yang juga anak suspek turut diambil keterangannya namun dia memberitahu bahawa dia berada dalam biliknya ketika kejadian berlaku,” katanya. 
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul. - K! ONLINE
Lihat lagi..
Ini Peluang Kerja Dan Jadi Usahawan. (1)