Friday, May 10, 2019
Wanita Rohingya, Didagang Untuk Kahwin Di M'sia.
Kebanyakan pelarian wanita Rohingya beranggapan idea untuk meneruskan hidup di Malaysia adalah satu peluang lebih baik berbanding keperitan yang dialami mereka semasa di kem pelarian.
COX BAZAR, 4 Ramadan 1440H, Khamis – Puluhan pelarian wanita Rohingya kini sering memasuki Malaysia untuk dikahwinkan oleh sindiket pemerdagangan manusia yang setakat ini berjaya memindahkan ribuan pelarian dalam masa setahun, kata aktivis dan kumpulan hak asasi Rohingya.
Kebanyakan wanita muda dan kanak-kanak perempuan belasan tahun itu diseludup keluar melalui sempadan, dengan terpaksa menempuh pelbagai halangan dan dugaan, termasuk memanjat gunung, menaiki bot dan menyeludup di sempadan.
Katanya, aturan perjalanan perkahwinan itu dilakukan oleh lelaki Rohingya di Malaysia yang menggunakan khidmat sindiket, kerana kebanyakan mereka tidak dibenarkan menikahi wanita tempatan.
Susulan pemergian mereka dilakukan tanpa dokumentasi mengakibatkan mereka tidak dapat kembali ke Myanmar atau kem pelarian di Bangladesh untuk berkahwin.
Mereka dilaporkan akan menghantar lamaran melalui rakan atau saudara-mara untuk mengatur perkahwinan yang selalunya tanpa persetujuan gadis-gadis berkenaan dan akan dibawa melalui sindiket itu.
Seorang wanita Rohingya, Senwara Begum berkata, dia terpaksa mengembara selama dua minggu melalui jalan darat dan bot, termasuk mengharungi perjalanan gunung-ganang dan sungai dengan hanya diiringi ‘orang tengah’ sebelum tiba di Malaysia untuk menikahi seorang lelaki yang tidak pernah ditemuinya.
“Bermula dari kem dengan menaiki kereta dan pergi ke sempadan India, kemudian kami akan dibawa menuju ke Malaysia bersama seorang lelaki – perantara haram.
“Saya tidak mengenali perantara itu, jadi saya juga berasa takut diganggu oleh mereka. Sebelum ini, saya pernah mendengar cerita mengenai perantara lelaki yang merogol wanita yang dibawanya,” kata Begum dalam satu kenyataan kepada Al Jazeera.
Terdahulu, Fortify Rights telah mendokumentasikan kes-kes gadis yang telah disalahgunakan oleh suami mereka di Malaysia.
Melalui penyelidikan yang dijalankan mereka bersama Rangkaian Pembangunan Wanita Rohingya yang dikendalikan oleh pelarian Rohingya, Sharifah Hossain berkata, kebanyakan wanita di sana telah dinafikan hak mereka mendapatkan kebebasan untuk bergerak sendiri, bekerja mahupun bersekolah.
“Fortify Rights juga pernah mendedahkan laluan darat yang digunakan sindiket berkenaan dalam melakukan aktiviti penyeludupan. Perjalanan bermula dari Myanmar ke Bangladesh dan India.
“Kemudiannya ke Chin State di Myanmar dan melalui bandar-bandar Mandalay dan Yangon. Akhir sekali, mereka akan menyeberangi sempadan Myanmar-Thailand dan kemudian masuk ke Malaysia,” kata seorang penyelidik Fortify Rights, John Quinley.
Sementara itu, seorang aktivis Rohingya di Thailand, yang tidak mahu dikenali berkata, jumlah sebenar sebanyak mana pelarian telah dibawa masuk ke Malaysia tidak dapat dikenal pasti, tetapi sindiket berkenaan telah mempunyai aturan yang tetap mengenai caranya.
Di samping itu, kebanyakan pelarian wanita Rohingya beranggapan idea untuk meneruskan hidup di Malaysia adalah satu peluang lebih baik berbanding keperitan yang dialami mereka semasa di kem pelarian.
“Ramai kanak-kanak perempuan dan wanita Rohingya meneruskan niat mereka ke dalam aturan perkahwinan berkenaan kerana kos saraan bulanan yang tidak mencukupi dan tiada sumber pendapatan yang lain,” katanya.- Agensi
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment