Abdul Hadi seterusnya menyifatkan kenyataan menteri kewangan itu sebagai orang dalam ketakutan setelah melihat penyatuan ummah Melayu khususnya antara UMNO dan Pas.
"Saya rasa itu ketakutan dia bila lihat berlaku kepada orang Melayu. Dia tak boleh guna orang Melayu untuk kepentingan politik dia. Itu ketakutan dia dan pada kita, kita tak abaikan kaum lain.
"Kita menerima konsep jau su lii, pendatang dibawa oleh British. kita terima hakikat ini. Sepatutnya kaum lain hargai jasa orang Islam terima mereka jadi rakyat, hak beragama, hak berbahasa pun. Sepatutnya mereka kenang budi, tapi nak mintak lebih lagi, ini tak patut," katanya.
Abdul Hadi menyatakan perkara itu dalam sidang media selepas mengimamkan solat sunat Dhuha dan menyampaikan tazkirah kepada penjawat awam di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang mengulas kenyataan Guan Eng semalam bahawa kerjasama UMNO-Pas yang secara rasmi dimeterai semalam dianggap sebagai perang ke atas bukan Islam sehingga mengundang kecaman warganet.
Bagaimanapun pemimpin DAP itu kemudian bertindak mengubah kenyataan lebih 'lembut' iaitu daripada perang kepada sasaran bagi meredakan sedikit keadaan. - UTUSAN ONLINE