Saturday, March 09, 2019

6 Keluarga Tolak Tawaran K'jaan Negeri,Terus Tinggal Di Komtar.

PENDUDUK PPR Taman Manggis dan ahli Pas serta NGO mengadakan solat hajat
PENDUDUK PPR Taman Manggis dan ahli Pas serta NGO mengadakan solat hajat di pekarangan Komtar, Georgetown, Pulau Pinang malam ini.
PULAU PINANG 8 Mac - Meskipun diberi kelonggaran oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk pulang ke rumah masing-masing, namun enam buah keluarga yang dihalau dari Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis di sini enggan berbuat demikian.
SEBANYAK enam keluarga PPR Taman Manggis memilih untuk kekal tinggal di pekarangan Komtar
SEBANYAK enam keluarga PPR Taman Manggis memilih untuk kekal tinggal di pekarangan Komtar 

Mereka sebaliknya terus kekal berada di pekarangan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini sehingga malam ini sejak dihalau dari rumah masing-masing Rabu lalu.
Menurut mereka, keputusan untuk terus berada di pekarangan Komtar itu diambil selagi kerajaan negeri tidak membuat sebarang keputusan tetap dan tanpa syarat mengenai situasi yang dihadapi mereka ketika ini.
Suri rumah, Nazrimah Jamal Abidin, 44, berkata, dia membuat keputusan itu selepas tidak pasti dengan nasib mereka selepas berakhirnya kelonggaran memasuki rumah yang diberikan kerajaan negeri sehingga Ahad ini.
"Apa yang akan terjadi kepada kami selepas Ahad nanti? Adakah kami akan dihalau sekali lagi?
"Selagi tidak ada apa-apa yang pasti daripada kerajaan negeri, selagi itu kami akan terus tinggal di sini," katanya kepada pemberita di sini malam ini.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Khalidah Nazir Ahmad melahirkan rasa kecewa dengan tawaran kerajaan negeri yang disifatkan bukan penyelesaian jangka masa panjang.
Malah, dia juga melahirkan rasa terkilan kerana mendakwa penduduk diminta menandatangani dokumen tanpa dapat mengetahui kandungannya sekali gus menimbulkan kemusykilan penduduk.
Dalam pada itu, penduduk terlibat serta beberapa ahli Pas dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) malam ini turut mengadakan solat hajat di pekarangan Komtar bagi mendoakan penyelesaian terbaik berhubung kemelut tersebut. - UTUSAN ONLINE

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails