Friday, February 08, 2019

RM90J: Siasat Parti Lain Juga - Abdul Hadi

Dana RM90 juta: Siasat parti lain juga - Abdul Hadi
Abdul Hadi berkata Pas mempunyai sumber kewangan yang tersendiri menerusi ahlinya dari seluruh negara. - Gambar fail

MARANG: Pas mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut  menyiasat parti politik yang lain bagi menentukan sumber dana yang diperoleh untuk menjalankan kegiatan politik terutama pada musim pilihan raya.

Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang berharap SPRM berlaku adil dan menyiasat semua parti terutamanya parti DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) yang menurutnya tidak mempunyai banyak cawangan.

Abdul Hadi berkata pihaknya sedia memberikan kerjasama kepada SPRM bagi menjalankan siasatan ke atas Pas mahupun individu daripada parti tersebut.

"Patutnya kena tanya parti lain, mana dapat duit? Jangan tuding jari pada kita sahaja. Kita ada sumber kita. Parti lain, mana sumber dia, cawangan dia banyak mana?
"Amanah mana ada cawangan. DAP mana ada cawangan. Dia bertanding begitu saja. Dari mana dia dapat duit? Itu kena siasat. Bukan saja kita, kena siasat semua.

"Pas buka pintu untuk SPRM siasat dan memang kita suka siasatan ini. Kita mahu jadi parti yang bersih."Bukan hanya cukup dengan kenyataan menteri sebelum pilihan raya mengenai berapa ramai ahli Parlimen yang disiasat," katanya.

Beliau berkata Pas mempunyai sumber kewangan yang tersendiri menerusi ahlinya dari seluruh negara.

"Sumber kita ahli-ahli kita sendiri. Di seluruh negara, kita punya 190  lebih kawasan, sejuta lebih ahli-ahli, dan kita mampu buka beribu Pasti, beratus sekolah di bawah Pas.
"Jangan peliklah Pas dapat duit. Jelas duit itu dari poket kita sendiri. Orang kita sendiri yang bekerja bertungkus lumus menyumbang derma.
"Apa yang dibuat itu (tuduhan terima dana dari UMNO) adalah semata-mata untuk menghilangkan kepercayaan rakyat kepada Pas," tambah Abdul Hadi.

Editor Portal Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown sebelum ini mendakwa pimpinan tertinggi Pas mungkin menerima RM90 juta daripada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak untuk mendorong kerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Abdul Hadi pada 2017 memfailkan saman fitnah terhadap penerbitan itu di Mahkamah Tinggi di London.

Bagaimanapun, minggu lalu, ahli Parlimen Marang itu dilaporkan bersetuju memuktamadkan penyelesaian dengan Rewcastle-Brown. (AA)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails