Kehadiran Nasharudin tidak disedari oleh para wartawan yang menunggu sejak 8.30 pagi dan beliau dipercayai masuk ke Ibu Pejabat SPRM pada pukul 8.40 pagi.
Selain beliau, bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa turut dijangka akan dipanggil membabitkan kes sama.
Utusan Malaysia semalam melaporkan tiga ahli politik dijangka hadir ke SPRM untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan RM90 juta disyaki daripada 1Malaysian Development Berhad (IMDB) yang dikatakan dimasukkan ke akaun beberapa pemimpin Pas.
Menurut sumber, dua orang daripada mereka akan memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di sini manakala seorang lagi di Pejabat SPRM Kelantan. 
Dakwa sumber itu lagi, kesemua ahli politik tersebut dipercayai pernah berkhidmat di sebuah negeri pantai timur.
Sebelum ini, dilaporkan individu-individu berkaitan akan dipanggil serta beberapa dokumen diteliti SPRM berhubung dakwaan kemasukan RM90 juta ke dalam akaun pemimpin Pas.
Siasatan dibuat mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001.
SPRM dalam satu kenyataannya turut mengesahkan telah menerima laporan dan akan memulakan siasatan mengikut undang-undang yang diperuntukkan.
Pas turut mengumumkan pihaknya sedia menyerahkan semua dokumen kewangannya untuk membantu siasatan SPRM dan dokumen-dokumen itu akan membuktikan dakwaan tersebut tidak benar, dusta dan fitnah semata-mata.-UTUSAN ONLINE