Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, Pas kawasan itu boleh menggunakan bangunan tersebut untuk program-program parti secara percuma.
Malah Ahmad Zahid mempelawa Yang Dipertua Pas Kawasan Bagan Datuk, Misbahul Munir Masduki menggunakan bangunan UMNO itu sebagai pejabatnya.
"Pas boleh gunakan Bangunan UMNO di Simpang Empat, Hutan Melintang. Tawaran ini secara percuma, cuma bayar air dan api, penyelenggaraan sahaja.
"Beritahulah kepada kepimpinan Pas bahawa Pejabat UMNO di Bagan Datuk mempersilakan Yang Dipertua Pas kawasan menjadikan pejabatnya. Kalau nak bekerjasama kita kena khlas, kalau kita ada lebih, kena bagi pada mereka (Pas)," katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian dalam program Wacana Kepimpinan Kerjasama UMNO dan Pas Bagan Datuk, Sejauh Mana? yang turut disertai Misbahul di Dewan Utama Kompleks UMNO Bagan Datuk di sini semalam.
Menurut Ahmad Zahid, UMNO dan Pas Bagan Datuk sedia menjadi permulaan kepada kerjasama di antara kedua-dua parti untuk diterjemahkan secara nyata.
Beliau berkata, kerjasama kedua-dua parti bukan sandiwara tetapi ikhlas demi Islam, orang Melayu dan negara.
"Kedua-dua parti mesti ikhlas, tidak mempunyai agenda tersembunyi di sebalik kerjasama ini dan orang Melayu mahu melihat kerjasama ini diterjemahkan segera," katanya. - UTUSAN ONLINE