Wednesday, January 09, 2019

Kisah Perompak Lelaki Parah Dibelasah Wanita Cantik Yang Dirompak. Rupanya..


Perompak Parah Dibelasah Atlet Seni Bela Diri Wanita
CANTIK jangan disangka lemah, lebih-lebih jika si cantik itu seorang pengamal seni bela diri — lagi hebat, petinju UFC!
Begitulah nasib seorang penyamun di Rio Di Janeiro, Brazil yang ternyata ‘tersilap langkah’ apabila tindakannya ingin menyamun seorang wanita berakhir dengan dirinya sendiri dibelasah teruk oleh wanita tersebut.
Suspek, seorang lelaki, dikatakan telah mendekati wanita tersebut dengan niat ingin merompaknya, namun tidak menyedari bahawa wanita itu ialah Polyana Viana, atlet profesional seni bela diri campuran (MMA) di UFC.
Viana, 26 tahun, dikatakan merebahkan suspek dengan hanya dua tumbukan dan satu sepakan, sebelum menguncinya dengan kuncian ‘rear-naked choke’.
Dia kemudiannya memanggil polis sambil memaksa suspek terbabit duduk sementara menunggu ketibaan pihak berkuasa.
“Pada mulanya dia datang dekat saya kononnya untuk bertanyakan waktu. Saya dah beritahu (waktu), tapi dia masih tidak berganjak.
“Kemudian, dia menghulurkan ‘pistol’… tapi saya sedar, takkanlah pistol sebab ia terlalu lembut.
“Jadi, saya pun bangun dah terus bagi dua kali penumbuk dan penendang. Dia jatuh, kemudian saya kunci dia dengan teknik ‘rear naked choke’ sebelum memaksa dia duduk dan tunggu polis datang,” katanya seperti dipetik BBC.
Viana pada ketika itu sedang berada di luar blok pangsapurinya sebelum didatangi suspek yang dikhuatiri memiliki sepucuk pistol.
Bagaimanapun, pistol yang dimiliki suspek hanyalah senjata olok-olok yang diperbuat daripada kadbod.
Viana merupakan seorang petinju kategori strawweight di UFC dengan rekod kemenangan 10-2.
Petarungan terakhirnya di kejohanan UFC 227, Ogos tahun lalu berkesudahan dengan kekalahan di tangan petinju Amerika Syarikat, J.J. Aldrich. – Awani
beladiri islami
Komen Weblog Ibnu Hasyim
Ini Ilmu Bela Diri Yang Sesuai Dengan Syariat Islam.

Pada dasarnya bela diri hukumnya mubah atau harus. Bahkan jika latihan ini dilakukan dalam rangka menyiapkan diri untuk berjihad, termasuk i’dad (mempersiapkan) yang Allah perintahkan.
Allah berfirman,
وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ وَمِنْ رِبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ
  • Persiapkanlah untuk menghadapi mereka, segala kekuatan yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah dan musuhmu (QS. al-Anfal: 60)
Ketika latihan bela diri dilakukan dalam rangka menyiapkan diri untuk berjihad membela kebenaran, insyaaAllah, ianya bernilai pahala. Tapi kalau hanya hobi atau happy, bahkan mengantarkan anda kepada kemaksiatan boleh mengundang dosa.

Lihat peraturan-peraturan ini..

Satu:

Bela diri hanyalah sukan dan permainan. Untuk itu, sikapi latihan ini sebagai sukan bukan aliran kepercayaan. Sehingga tidak boleh dijadikan standart al-wala wal bara’ (loyal dan benci).

Jangan sampai anda memusuhi muslim yang lain, hanya kerana beza perguruan bela diri.  Sebaliknya, anda juga tidak boleh loyal dengan orang kafir dan orang musyrik, hanya kerana dia teman seperguruan dalam latihan bela diri.

Islam melarang membangun loyalitas kerana latar belakang suku, kelompok, apalagi hanya sebatas perguruan bela diri. Kerana ini loyalitas model jahiliyah. Dari Jabir bin Abdillah RA, Rasul SAW berkhutbah..
أَلا وَإِنَّ كُلَّ شَيْءٍ مِنْ أَمْرِ الْجَاهِلِيَّةِ مَوْضُوعٌ تَحْتَ قَدَمِيَّ
  • Ketahuilah bahawa segala sesuatu yang menjadi tradisi jahiliyah, diletak di bawah kakiku. (HR. Muslim 3009, Abu Daud 1907 dan yang lainnya).
Jadi, orang yang mati kerana latar belakang kesukuan atau loyalitas kelompok, digolongkan sebagaimana mati gaya jahiliyah.

Dari Jundub bin Abdillah al-Bajali RA, Rasul SAW  bersabda,
مَنْ قُتِلَ تَحْتَ رَايَةٍ عِمِّيَّةٍ يَدْعُو عَصَبِيَّةً أَوْ يَنْصُرُ عَصَبِيَّةً فَقِتْلَةٌ جَاهِلِيَّةٌ
  • Siapa yang terbunuh kerana latar belakang yang tidak jelas, menghidupkan semangat kesukuan atau membela kelompok (asabiah atau puak), maka dia mati dalam kondisi jahiliyah. (HR. Muslim 1850).
Loyalitas yang diajarkan Islam adalah loyalitas yang dibangun di atas iman dan Islam. Allah berfirman,
إِنَّمَا الْمُؤْمِنونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ
  • Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu. (QS. al-Hujurat: 10)
Dua:

Hindari semua yang berbau klenik dan kesyirikan. Salah satu sarang menyusupnya syirik adalah kegiatan bela diri. Terutama yang banyak mengandal olah pernapasan. Terlebih, umumnya peserta bela diri, mereka memiliki latar belakang ingin memiliki kekuatan dan kesaktian.

Bagaimana mengatasinya? 

Hindarilah..


a. Guna azimat. Jika guru anda menjanjikan, siapa yang sudah mencapai derajat tertentu akan mendapatkan ‘tameng pelindung’ atau ‘tabir ghaib’, baik berupa cincin, sabuk, gelang, kalung atau apapun bendanya, anda perlu segera menghindarinya.

Terutama, jika cara untuk mendapatkan itu, perlu melalui ritual ibadah tertentu, seperti puasa, wirid, semadi di kuburan, hingga shalat tahajud malam Jumaat. Semua itu adalah saranan untuk mendatangkan jin yang akan membantunya.

Ini satu pantun Melayu yang boleh menjadikan pengamalnya 'syirik' atau menyengutukan Allah, teliti maksudnya...

"Malam ini malam Jumaat
pasang lilin di kepala titi
Tepuk bantal panggil semangat
semangat datang dalam mimpi."

b. Perguruan silat yang menawarkan ilmu kanuragan. Apapun cara yang digunakan, hakikat ilmu kanuragan adalah sihir. Meskipun dibungkus dengan kedok wirid, dzikir, amalan, suluk dan yang lainnya. Kerana amalan ibadah boleh saja dikerjakan dalam rangka pemujaan terhadap jin dan syaitan.

c. Latihan pernapasan namun diiringi dengan dzikir atau wirid tertentu. Dengan tujuan untuk meringankan tubuh atau pukulan jarak jauh atau keperitan pingsan. Semua ini kebohongan, kerana jelas di luar kemampuan manusia. Dia boleh lakukan itu karana bantuan jin. Medianya adalah wirid ketika proses pernapasan.

d. Membangun telapati antara guru dan murid. Boleh dengan memanggil nama guru atau mengingat wajah guru. Dengan itu, akan terhubung jalinan batin yang dianggap sumber kekuatan bagi si murid. Anda dapat memastikan, ini kedustaan. Kerana tidak mungkin, hanya sejenak membayangkan guru, dia dapat memiliki tambahan kekuatan.

Oleh sebab itu, prinsip penting yang dikedepankan ialah sikapi bela diri sebagaimana sukan biasa, murni latihan fizik, sehingga jauhkan semua bentuk ibadah, suluk dan amalan, ideologi, dan sebagainya.

Tiga:

Hindari bentuk salam yang dilarang, misalnya dengan membungkuk layaknya orang rukuk. Baik kepada guru mahupun sesama lawan tanding.

Dari Anas bin Malik RA, beliau menceritakan,

قال رجل: يا رسول الله أحدنا يلقى صديقه أينحني له؟ قال: فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم: لا

  • Ada orang yang bertanya kepada Nabi SAW ‘Ya Rasulullah, jika kami ketemu teman, apakah boleh membungkuk?’ Jawab beliau, ‘Tidak boleh.’

قال: فيصافحه؟ قال: نعم إن شاء

  • Dia bertanya lagi, ‘Bolehkah dia menyalaminya?’ Jawab Nabi SAW “Ya, dia salami, jika dia mau.” (HR. Turmudzi 2728, Ibn Majah 3702, dan dishahihkan al-Albani).

Syaikhul Islam mengatakan,

وأما الإنحناء عند التحية: فينهى عنه، كما في الترمذي عن النبي صلى الله عليه وآله وسلم أنهم سألوه عن الرجل يلقى أخاه ينحني له؟ قال : لا) ولأن الركوع والسجود لا يجوز فعله إلا لله عزوجل
  • Membungkuk ketika memberi salam hukumnya terlarang. Sebagaimana diriwayatkan Turmudzi dari Nabi SAW, bahawa para sahabat bertanya, jika ada orang yang bertemu temannya, bolehkah dia membungkuk? Jawab Nabi SAW, ‘Tidak boleh.’ Kerana rukuk dan sujud tidak boleh dilakukan kecuali untuk Allah. (Majmu’ Fatawa, 1/377)
Empat:

Hindari memukul wajah. Dari Abu Hurairah RA , Nabi SAW berpesan,
إِذَا قَاتَلَ أَحَدُكُمْ فَلْيَجْتَنِبِ الْوَجْهَ
  • Jika kalian hendak memukul seseorang, hindari wajah. (HR. Bukhari 2420)
Lima:

Jaga hati, jangan sampai kemampuan bela diri menjadi sebab anda bersikap sombong. Boleh jadi, syaitan memanfaatkan kondisi anda untuk dijadikan kesempatan menggoda anda untuk berbuat dzalim.
Rasulullah SAW bersabda,
لاَ تَكُونُوا عَوْناً لِلشَّيْطَانِ عَلَى أَخِيكُمْ
  • Janganlah kalian menjadi penolong bagi syaitan untuk mendzalimi saudara kalian. (HR. Ahmad 4252 dan dihasankan Syuaib al-Arnauth).
Disebabkan itu, pandai-pandailah jaga emosi. Di saat anda punya kelebihan bela diri, anda perlu lebih pandai bersabar.

Semoga Allah selalu memberikan bimbingan hidayah dan taufiq bagi kita semua.
Allahu a’lam.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails