Thursday, May 10, 2018

Tun M Angkat Sumpah Hari Ini. "Najib gone (hilang)...Kita tak akan membalas dendam.."




PETALING JAYA: Istiadat angkat sumpah Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Ketujuh dijangka dilaksanakan hari ini di Istana Negara.
Dr Mahathir berkata, pihak istana sudah menghubungi beliau setelah mendapat tahu Pakatan Harapan (PH) mencapai undi majoriti meskipun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum membuat pengumuman rasmi.

Beliau yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berkata, pihaknya dimaklumkan oleh SPR boleh membentuk kerajaan sendiri setelah mencapai majoriti 112 kerusi dan ia sudah pun dicapai berdasarkan kiraan tidak rasmi sendiri.
"Bila sudah capai undi majoriti dan hari ini (saya) sudah angkat sumpah di istana, PKR akan melantik Datuk Seri Dr Wan Azizah sebagai Timbalan Perdana Menteri," katanya pada sidang media PH di sebuah hotel terkemuka, hari ini.
Siaran langsung Majlis Angkat Sumpah Perdana Menteri Malaysia yang Ke -7 itu dijadualkan berlangsung di Istana Negara pada jam 9.30 pagi.
Yang turut hadir, Wan Azizah; Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.
Mengulas lanjut mengenai barisan Kabinet baharu Pakatan Harapan (PH), Dr Mahathir berkata, ia akan mempunyai barisan lelaki, wanita dan orang muda.
"Kita akan ada wanita, lelaki dan orang muda. Setakat ini, kita hanya sudah putuskan nama bagi jawatan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri selepas ini (Datuk Seri Anwar Ibrahim).
"Selepas ini, kita akan berusaha mendapatkan Pengampunan Diraja untuk Anwar bila dibebaskan pada 8 Jun. Selepas itu, barulah beliau akan jadi Perdana Menteri.
"Tapi mengikut proses undang-undang sebelum boleh jadi Perdana Menteri, dia (Anwar) kena bertanding pilihan raya dahulu, kena jadi ahli parlimen dulu," katanya.
Sementara itu, Dr Mahathir berkata, beliau belum dihubungi Datuk Seri Najib Razak mengenai kekalahan Barisan Nasional (BN).
"Najib gone (hilang)...Kita tak akan membalas dendam, cuma akan memulihkan undang-undang negara ini," katanya.

2 comments:

mahligaiseni said...

Assalamualaikum...
Alhamdulillah, tidak ada perkataan kurang enak dipaparkan. Ayuh kita menjadi orang Islam yang baik tutur katanya, insya-Allah.
Wassalam.

Unknown said...

Assalamualaikum.
Positifnya, PM baharu tu boleh bertaubat dan membuat banyak kebajikan untuk rakyat yg pernah menderita dulu2 semasa dia jadi PM 22tahun.
Jika peluang sekali ni, dia tak peka; takut2 akhir hayatnya jadi PENAMAT YG TERCELA.
Allahu a'lam.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails