Menurut Perdana Menteri, mesyuarat tersebut dijangka diadakan pada pukul 10 pagi di ibu negara. Beliau berkata, walaupun mempunyai kuasa mutlak untuk melantik secara terus barisan Kabinet namun berpandangan suara semua presiden parti perlu diambil kira.
"Esok (Jummat) cuti tetapi saya tidak bercuti kerana perlu mengadakan perbincangan untuk membentuk Kabinet iaitu pembahagian menteri.
"Selain itu, beberapa perkara lain juga perlu dilakukan antaranya melibatkan perkara rasmi dan berkaitan polisi," katanya dalam sidang akhbar, malam tadi.
Ketika ditanya sama ada ketua-ketua jabatan sedia ada akan dirombak, Dr. Mahathir memberitahu, sesetengahnya akan digugurkan kerana didapati bersekongkol dengan kerajaan terdahulu.
Dalam pada itu, mengulas tentang manifesto, beliau memberitahu pihaknya sentiasa berusaha untuk memastikan setiap inisiatif yang dirangka termasuk pemansuhan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan menstabilkan harga minyak akan dilaksanakan dalam tempoh ditetapkan.
Menjelaskan tentang perancangan masa depan negara pula, Dr. Mahathir berkata, pihaknya akan memberi fokus terhadap kewangan negara dan pengurusan ekonomi.
Malah beliau turut komited untuk menjadikan Malaysia sebagai negara yang mesra perdagangan sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur dalam dan luar negara. - UTUSAN ONLINE