Wednesday, May 09, 2018

Disangka PATI, 2 Beradik Dibelasah Penyokong PKR




AKIBAT fanatik dengan tohmahan pembangkang konon Barisan Nasional (BN) ada mengupah pendatang asing tanpa izin (PATI) sebagai pengundi hantu, dua beradik ini menjadi mangsa.

Insiden itu berlaku hanya kerana wajah mereka secara kebetulan mirip warga asing, mengakibatkan dua lelaki tempatan dipukul enam lelaki ketika mahu menjalankan tanggungjawab mengundi di Pasir Gudang, Johor, hari ini.
Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, mangsa A Ambiga Pathi, 28, dan abangnya A Ragupathy Raja Ram, 37, dihalang 15 individu sebelum dipukul enam lelaki lain dipercayai penyokong tegar pembangkang berlogo PKR.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd ketika dihubungi media tempatan berkata, susulan kejadian salah faham menyangka mangsa sebagai PATI itu, pihaknya sudah menahan enam lelaki untuk siasatan lebih lanjut.
“Kejadian berlaku di Sekolah Menengah Kebangsaan Johor Jaya 1 di Johor Jaya dan suspek memukul mangsa kerana syak mangsa bukan warganegara tetapi dari Bangladesh yang datang untuk mengundi.
“Semua enam suspek berusia antara 21 tahun hingga 27 tahun itu sudah ditahan pihak polis dan akan direman untuk seketika bagi membantu siasatan lebih terperinci,” kata beliau dipetik media tempatan.
Mohd. Khalil berkata, semua suspek ditahan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh. Kedua-dua mangsa bagaimanapun hanya lebam di bahagian belakang badan dan pipi.
“Polis menasihatkan orang ramai untuk tidak bertindak mengikut emosi kerana negara ini ada undang-undang dan jika tak puas hati, rujuk pada pegawai bertugas di semua pusat mengundi,” katanya. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails