Thursday, May 10, 2018

Mukhriz Dijangka Angkat Sumpah MB Kedah.




ALOR SETAR: Datuk Seri Mukhriz Mahathir, dijangka mengangkat sumpah kali kedua sebagai Menteri Besar Kedah di Istana Anak Bukit, di sini hari ini.
Mukhriz yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah diuar-uar sebagai calon utama untuk mengisi jawatan berkenaan selepas gabungan parti menggunakan logo PKR itu sah mengambil alih kerajaan negeri melalui Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ketika ditanya beliau mengesahkan PH sudah menyenarai pendek nama calon Menteri Besar Kedah selepas menerima undangan untuk majlis mengangkat sumpah di Istana Anak Bukit hari ini.
Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan secara spesifik nama calon yang disenarai pendek susulan mesyuarat tergempar Ahli Majlis Pengerusi PH Kedah itu.
"Kita sebenarnya belum dapat mandat sepenuhnya daripada pimpinan tertinggi parti dan masih menunggu surat perlantikan daripada pucuk pimpinan...jadi pagi ini belum boleh buat sebarang pengumuman," katanya ketika sidang media di Wisma Amanah di Stargate, di sini.
Ditanya siapa calon Menteri Besar Kedah itu, Mukhriz bagaimanapun meminta media bersabar dan menunggu beberapa jam lagi.
Berdasarkan maklumat Mukhriz yang pernah menjadi Menteri Besar selepas BN menang dalam PRU-13 adalah calon utama untuk mengisi jawatan Menteri Besar.
Nama lain ialah Datuk Johari Abdul yang menang di kerusi DUN Gurun dan Parlimen Sungai Petani, mengambil kira jumlah kerusi paling tinggi dimenangi parti itu dalam pakatan PKR.
Mengenai status 18 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dimenangi yang dilihat berisiko, Mukhriz mengakui pakatan menggunakan logo PKR memiliki jumlah kerusi paling banyak berbanding PAS dan BN yang masing-masing memiliki 15 dan tiga kerusi.
"Kita ada tiga parti dan yang paling banyak akan diberi mandat....kita ada 18 kerusi iaitu separuh daripada jumlah keseluruhan...kita paling banyak (menang kerusi) dan berhak tubuhkan kerajaan" katanya.
Mengenai kemungkinan untuk bekerjasama dengan parti lain bagi mengukuhkan penguasaan di Kedah, Mukhriz tidak menolak kemungkinan itu akan berlaku.
Berhubung faktor Tun Dr Mahathir Mohamad yang dikatakan mencetus kebangkitan rakyat untuk mengubah pentadbiran di beberapa negeri dan Persekutuan, Mukhriz mengakui ia antara pendorong.
"Dia (Mahathir) adalah faktor utama termasuk di Kedah...menjadi calon sendiri di Langkawi, beliau memainkan peranan penting dalam mencetus keyakinan rakyat," katanya.
Mengenai ekspresi beliau selepas menerima khabar kebangkitan rakyat, Mukhriz mengakui menarik nafas lega apa yang kita impikan jadi kenyataan.
"Kami sedar kami kena mula kerja bermula hari pertama sebab banyak yang kami janji kepada rakyat dan kami akan tunaikan.
"Apa yang kami nak ialah siasat 1MDB (1Malaysia Development Berhad) sampai hujung," katanya. (BH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails